20090501

Penanti medan terbaik BN tamat muslihat Pakatan Rakyat

LAWAN tetap lawan. Barisan Nasional (BN) tidak wajar menyerah kalah. Menang atau kalah tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada kedudukan BN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Itu antara beberapa ungkapan yang dilafazkan kalangan pemimpin BN Pulau Pinang apabila dilontarkan pertanyaan sama ada parti itu wajar meletakkan calon atau memboikot pilihan raya kecil DUN N12 Penanti berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin.

Penanti adalah di antara tiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh. Dua lagi DUN ialah Seberang Jaya dan Permatang Pasir, masing-masing diwakili oleh BN dan Pas.

Memperhalusi kata-kata itu serta berdasarkan kepada maklum balas awal, majoriti pemimpin BN Permatang Pauh cenderung supaya parti meletakkan calon dan mereka bersedia menghadapi siapa juga calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Meskipun kata putus terserah kepada pucuk pimpinan parti, pemimpin BN Permatang Pauh yang diterajui Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, jelas membayangkan parti tidak harus mempersia-siakan peluang kali ini.

Malah, mereka mahu menjadikan pilihan raya kecil Penanti sebagai satu titik perubahan bagi menghentikan segala tindakan pembangkang yang melaksanakan agenda untuk mencari populariti bagi meraih sokongan rakyat di seluruh negara.

"Penanti perlu menjadi titik perubahan bagi menghentikan segala kegiatan ini. Biar pengundi tahu yang mana batu, kaca dan permata," kata Abdul Jalil yang juga Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh.

Apa yang diperkatakan Abdul Jalil ada kebenarannya. Bukan soal beliau secara peribadi mahu menebus kekalahan kepada Mohammad Fairus bagi kerusi Penanti pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, tetapi untuk membuka 'mata rakyat' terhadap mainan politik pembangkang.

Peluang itu akan digunakan seluas-luasnya oleh BN untuk mendedahkan tabiat buruk pembangkang yang bukan saja menyusahkan rakyat, malah ada yang terpaksa 'ikat perut' kesan daripada kegawatan ekonomi, tetapi juga tidak menghargai amanah dan mandat yang diberikan setahun lalu.

Bermula dengan tsunami politik pada Mac tahun lalu, diikuti peletakan jawatan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen pada Ogos lalu, pembangkang sudah jelas terarah kempen untuk mewujudkan krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Selepas menang empat daripada lima pilihan raya kecil dalam tempoh setahun selepas pilihan raya lalu, pembangkang dilihat akan terus mencari helah supaya diadakan lagi dan lagi pilihan raya kecil sehingga pilihan raya umum akan datang untuk mengekalkan momentum sokongan rakyat kepada mereka.

Jika itulah keadaannya, hasrat BN Permatang Pauh untuk menjadikan pilihan raya kecil Penanti sebagai satu penamat kepada mainan politik Pakatan Rakyat amat dihargai dan perlu sokongan padu semua pihak.

Tembelang pembangkang perlu dipecahkan supaya rakyat dapat menilai dan membuat pilihan di antara batu, kaca dan permata.

Tetapi, soalnya mampukah BN menghentikan tarian politik anak kelahiran Cherok To' Kun itu, apatah lagi Penanti terletak di dalam kubu Pakatan Rakyat?

Bukannya mahu memperkecilkan kemampuan BN Permatang Pauh kerana segala kemungkinan boleh berlaku, tetapi hakikatnya BN perlu menempuh ujian getir seperti dihadapi Datuk Arif Shah Omar Shah ketika berhadapan dengan Anwar pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

BN sudah pasti akan mengambil kira semua faktor sebelum membuat keputusan meletak calon atau menarik diri daripada mengambil bahagian dalam proses demokrasi yang selama ini dipertahankan.

Apa juga keputusan yang akan diambil oleh BN, diharapkan bukan faktor menang atau kalah yang menjadi penentu kerana ia sudah menjadi adat pertandingan, tetapi peluang yang tersedia untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai pembangkang yang bersikap 'matlamat menghalalkan cara.'

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com