Begitu juga dengan terminal bas utama yang lain. Jalan Duta juga hanya bangunan sebegitu. Hentian Putra juga seperti itu sedangkan rancangannya adalah hendak membina di Terminal Putra di Gombak. Apa yang berkaitan dengan rakyat bawahan tidak begitu diambil serius oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Keluhan rakyat mengenai kelemahan pengangkutan awam tidak begitu diambil peduli. Keadaan pengangkutan awam terus sesak dan tidak menarik bagi orang ramai. Bukanlah tiada usaha tetapi dibandingkan tumpuan pembangunan adalah untuk orang kaya-kaya. Lihatlah bagaimana pihak berkuasa membangun sekitar kawasan Hartamas tentunya jauh berbeza apabila dibandingkan dengan apa yang dicurahkan kepada kawasan Puduraya.
Perbezaan ketara lebih-lebih lagi pada zaman Dr Mahathir Mohamad dahulu. Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) diusahakan dengan penuh bersemangat. Begitu juga dengan lebuh-lebuh raya bagi menampung kereta yang bertambah banyak dan mewah.
Sememangnya kecenderungan perkhidmatan kerajaan adalah kepada golongan kaya. Iaitu apabila dibandingkan layanan yang diberikan kepada pengangkutan awam, termasuk stesen-stesennya.
Sememagnya selama ini, Umno yang memimpin Perikatan dan BN tidak mendahulukan rakyat. Maka Najib Razak hendak mengubah keadaan ini. Maka antara yang dilakukan ialah melawat Petaling Street, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Puduraya. Itulah usaha untuk mendahulukan rakyat. Maka ditekankan betapa kesesakan yang ditanggung oleh rakyat perlu diatasi.
Tetapi janganlah hendaknya ia hanyalah untuk mencari populariti. Hakikatnya, mana-mana pemimpin politik, sama ada daripada BN mahupun Pakatan Rakyat, tidaklah perlu melakukan perkara-perkara yang bersifat menunjuk-nunjuk. Buat saja apa yang memudahkan kehidupan rakyat. Dapatkan penyelesaian mana-mana masalah yang ditanggung secara seharian oleh rakyat.
Ingatlah masalah-masalah rakyat banyak yang tertumpu di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi tentulah sebahagiannya memerlukan campur tangan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Maka sekiranya seseorang pemimpin politik ikhlas untuk membantu rakyat, mereka perlu melakukannya serta merta dan tidak perlu untuk menunjuk-nunjuk.
Namun begitu, ingatlah hakikat perjalanan kerjaya seorang ahli politik yang kehidupannya dikelilingi dengan kesenangan. Lebih-lebih lagi bagi mereka daripada kalangan golongan elit. Mereka membesar di lingkungan mewah, dan apabila semakin tinggi seseorang itu naik dalam tangga politik, makin jauh mereka daripada kehidupan rakyat biasa.
Sepuluh, 20 hinggalah 30 tahun, ada kalangan mereka yang sudah lupa bagaimana orang kebanyakan menaiki bas untuk tempat pekerjaan. Dengan perkhidmatan pengangkutan awam yang mengecewakan mereka tidak dapat menyelami kehidupan rakyat yang susah. Ada kalangan politik yang berasal daripada golongan susah seringkali juga lupa bagaimana orang susah hidup.
Tidak cukup untuk melawat bandar-bandar dengan begitu saja jika prihatin sebenar tidak ada. Mereka tidak akan berasa masalah sebenar rakyat walaupun diusahakan untuk menghayatinya. Mungkin akan diusahakan penyelesaian masalah melalui senarai yang diberikan oleh pegawai-pegawai, tetapi kesemuanya tidak akan dapat menggambarkan kesusahan rakyat. Namun begitu, usaha untuk menyelami perasaan rakyat dalam menghadapi kesusahan wajarlah dihargai.
Pendek kata, golongan senang akan berasa susah untuk menyelami kehidupan orang susah. Jadi apa yang perlu mereka lakukan untuk benar-benar menjunjungi slogan mendahulukan rakyat? Selain daripada menyelesaikan semua masalah rakyat, yang sebenarnya kecil dan remeh-temeh bagi golongan kaya, tetapi bagi individu kecil, ia merupakan masalah maha besar. Maka selain daripada penyelesaian itu, apa yang perlu dilakukan ielah untuk menyokong pihak rakyat apabila berdepan dengan dua pilihan.
Apa saja masalah dan timbul pula dua pilihan yang bertentangan dengan kedua-duanya memiliki hujah untuk disokong, maka sikap yang perlu ada bagi pemimpin ialah memilih opsyen yang memihak kepada rakyat. Umpamanya dalam kerja-kerja pembangunan atau pembukaan kawasan baru. Andai kata sesuatu langkah itu lebih menguntungkan golongan kaya daripada miskin, maka wajar pilihanya jalan yang memihak pada orang miskin, walaupun langkah itu seumpama menjejaskan kepentingan orang ramai, masyarakat dan negara.
Kerajaan perlu mendahulukan rakyat
Sebagai contoh, pembukaan satu wilayah milik Orang Asli. Berkurun-kurun golongan Orang Asli menyara hidup mereka melalui pencarian rezeki dalam hutan yang sememangnya kampung halaman, malah negara mereka, lama sebelum datangnya orang Melayu, apatah lagi penjajah Inggeris. Tetapi katakan, apabila membangunkan wilayah itu boleh membantu negara kerana nilai tanah itu tinggi dan jika dimajukan, dapatlah banyak rumah dan rumah kedai dibina. Maka, apakah yang perlu dilakukan oleh kerajaan yang mendahulukan rakyat?
Kalau pemimpin berkenaan memikirkan betapa susahnya kehidupan Orang Asli jika tanah mereka diambil untuk pembangunan, maka kerajaan yang prihatin kepada kepentingan rakyat akan memihak kepada golongan terpinggir ini. Tanah Orang Asli itu akan dipelihara supaya masyarakat itu akan dapat terus hidup dengan mencari bahan-bahan jualan di hutan mereka.
Sementara bagi pemaju, mereka harus mencari tempat lain yang tidak menjejaskan kehidupan Orang Asli itu. Tetapi kaedah ini akan sukar untuk dilaksanakan kerana tentunya pemaju mempunyai pengaruh lebih kuat daripada Orang Asli. Lebih-lebih lagi para pelabur yang menggunakan dorongan wang untuk membangun dan membina.
Maka dalam keadaan begini, badan bukan kerajaan (NGO) yang bersifat rakyat dan ideologikal, maknanya tidak terikat atau terluntur dengan pengaruh harta benda dan kuasa, wajar wujud membela golongan susah dan terpinggir. Masyarakat sivil dengan aktivis-aktivis ini wajar menjadi pengimbang kepada kerakusan di pihak yang lagi satu.
Maka mengapa Umno melalui Perikatan dan BN boleh bermaharajalela sejak tahun 1957 dengan membelakangkan rakyat adalah kerana kurang wujudnya gerakan NGO rakyat yang boleh menjadi pengimbang kepada golongan elit politik. Tetapi akhirnya apabila keadaan bermaharajalela ini terlalu lama, maka ia memakan iri Umno sendiri. Akibatnya ialah kebangkitan pihak pembangkang.
No comments:
Post a Comment