Ketua Umno bahagian Selayang, Syukur Idrus berkata, Umno perlu bertanding di DUN Penanti "kerana lebih baik kalah di dalam gelanggang daripada dianggap pengecut" oleh pemimpin pembangkang.
"Adat pertandingan, ada kalah ada menang. Tetapi kalah dalam gelanggang lebih mulia dari tidak bertanding.
"Kita tahu pertandingan ini adalah permainan PKR, sebab itu kita kena lawan mereka habis-habisan," katanya.
Syukur berkata, budaya meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada orang lain merupakan satu budaya yang tidak sihat.
Budaya itu, katanya, amat digemari PKR kerana parti itu menang dalam dua pilihanraya terdahulu.
"Pertama, dalam pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh dan kedua di DUN Bukit Selambau.
'Serah pada pengundi'
"Saya tidak tahu apa motifnya tetapi mungkin kerana PKR terlalu yakin di Penanti," katanya.
Manakala ketua Umno bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, jika Umno tidak bertanding di Penanti, pembangkang akan menggunakan isu itu untuk mendakwa Umno lemah.
Katanya, cara terbaik ialah bertanding dan serahkan kepada pengundi untuk menentukan parti mana yang mereka pilih.
"Saya cadangkan Umno meletakkan calon di Penanti. Jangan biarkan pembangkang menang percuma," katanya.
Tambahnya, Umno negeri akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan calon Umno menang di Penanti.
Biro politik Umno akan mengadakan mesyuarat Isnin ini untuk memutuskan sama ada parti itu akan bertanding atau tidak, di Penanti.
No comments:
Post a Comment