Maksud krisis atau delima di sini ialah krisis keyakinan kepada kekuatan orang Melayu dan krisis itu kemudian meletakkan Melayu dalam delima – dalam serba salah dan berkucah sesama sendiri sehinggakan hulang punca untuk mengatasinya.
ANTARA KITA
Oleh MOHD SAYUTI OMAR
JIKA dilontarkan pertanyaan apakah orang Melayu kini dalam krisis atau dalam delima, yang mana satu betul dan tepat dengan situasi dan kondisi orang Melayu kini? Ataupun kedua-dua sekali - berkrisis dan dalam delima! Persoalan itu sebenarnya kuat berlegar dalam lingkiran minda orang Melayu mutakhir ini.
Hari ini perbicaraan mengenai masa depan Melayu, mengenai nasib Melayu dan kedudukan Melayu terancam dan berpecah belah sering diperkatakan. Ia sudah menjadi menu utama perbualan harian orang Melayu baik dalam majlis ilmuan atau secara santai dan rileks di mana-mana saja.
Melihat betapa isu perpecahan Melayu ini menjadi topik utama, ia seolah-olah masalah masalah sosial, ekonomi, pendidikan dan hambatan-hambatan lain yang mengekang orang Melayu sejak lama dulu tidak penting lagi. Walhal segala permasalahan sampingan itulah yang mewujudkan masalah utama kepada orang Melayu.
Manakala parti politik paling kerap memperkatakan dan membangkitkan soal ini ialah parti Umno. Seolah berhubung nasib orang Melayu ia tanggungjawab peribadi tergalas di belakang Umno saja. Parti-parti lain bersikap menyerahkan kepada Umno untuk menyelesaikannya!
Barangkali ada baiknya tindakan Umno itu. Dan Umno pula jadi begitu bimbang dengan keadaan itu adalah bertolak daripada keputusan pilihan raya umum lalu yang telah memberi kesan politik yang teruk kepada parti itu. Umno jadi sedar diri dan menyalahkan kepada orang Melayu. Mungkin kalau Umno tidak kalah, masalah Melayu ini tidak timbul! Ini jelas kerana bila di masa aman Umno jadi lupa langsung untuk memikirkan soal Melayu dan lebih obses kepada dunia global, bercakap fasal liberalisasi dan sebagainya!
Kalau begitu elok juga dengan keadaan itu menyebabkan parti yang tegar memperjuangkan Melayu itu bingkas dari lena lantas menimbul dan menyebut perkara itu! Ada benar juga sindiran oposisi, Umno menjadi mabuk memperkatakan soal perpaduan Melayu apabila parti itu dalam keadaan tertekan. Konotasi kata-kata oposisi itu, pembicaraan mengenai nasib Melayu itu tidak tulus dan bermotif politik sepihak.
Kembali kepada perbicaraan asal apakah Melayu bermasalah! Dan apakah kerana bermasalah itu orang Melayu sedang berkrisis dan berada dalam delima? Maksud krisis atau delima di sini ialah krisis keyakinan kepada kekuatan orang Melayu dan krisis itu kemudian meletakkan Melayu dalam delima – dalam serba salah dan berkucah sesama sendiri sehinggakan hulang punca untuk mengatasinya.
Mengapa dikatakan begitu? Kerana jika dilihat kepada peralatan atau benteng, orang Melayu mempunyai peralatan jauh lebih baik daripada kaum lain untuk mempertahankan dirinya. Dengan peralatan itu sebenarnya orang Melayu tidak perlu risau lagi. Sekurang-kurangnya ada dua faktor yang boleh orang Melayu jadikan senjata atau mekanisme bagi mengukuhkan kedudukannya atau untuk tidak merasa walang mengenai masa depannya.
Pertama ialah sejarah dan kedua perlembagaan atau kuasa politik.
Hal ini diungkitkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang juga seorang tokoh nasionalis yang terkemuka dalam Umno. Ketika menyampaikan ucaptama pada satu persidangan mengenai oang Melayu di Kuala Lumpur minggu lepas Rais menarik perhatian agar orang Melayu memperhatikan kepada kedua factor ini bagi mengukuhkan Melayu.
Ujar Rais, sejarah menjadi faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali dunia sebagai Malaya (Land of the Malays).
Apa yang ingin ditegaskan Rais ialah bahawa keabsahan tanah air ini adalah Melayu sebagai tuannya yang tidak boleh dipertikaikan lagi dari sisi sejarah.
Memang dari perspektif sejarah tidak dapat siapa mempertikaikan mengenai kedudukan itu. Banyak fakta dan kajian ilmiah atau dokumen klasik baik bersifat akademik dan kreatif menjelaskan bahawa orang Melayulah yang mula-mulai mendiami Semenanjung Tanah Melayu ini.
Justeru jika fakta sejarah boleh dijadikan asas dan kekuatan kepada orang Melayu, orang Melayu tidak perlu bimbang, dan mana-mana pihak tidak wajar cuba mempersoalkan lagi hakikat ini. Bagaimanapun yang menjadi persoalannya sejauh manakah fakta itu diguna pakai?
Memang sejarah dan susurgalur itulah yang dijadikan modal dan bukti mempertahankan kedudukan Melayu. Ironisnya sejarah yang digunapakai itu pula ditulis oleh bangsa lain. Bermakna kita mempertahankan kekuatan kita dengan senjata yang ada kepada kita tetapi senjata itu diperbuat oleh orang lain. Mungkin keadaan ini menjadikan ada pihak yang berani mempertikaikan status quo orang Melayu menurut sejarah dan helaian dokumen berbagai itu.
Selain faktor sejarah menurut Rais Yatim kedudukan Melayu itu diperkemaskan oleh undang-undang atau perlembagaan yang dibuat menerusi kuasa politik. Perlembagaan cukup banyak memberi kekuatan dan ruang kepada Melayu untuk merasakan mereka kuat dan terpelihara!
Beliau lantas menghuraikan terdapat sekurang-kurang enam Perkara mutlak disebut dalam perlembagaan yang kesemuanya memberi ruang dan jaminan pembelaan kepada Melayu. Perkara-perkara itu ialah; Perkara 38 (majlis raja-raja), Perkara 63(4) (Keistimewaan-keistimewaan Parlimen), Perkara 70 (Keutamaan Yang Di-Pertua Negeri dan Raja), Perkara 71(1) (Jaminan Kerajaan Persekutuan terhadap Perlembagaan negeri), Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan) 153 (Hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera) 181 (Kedaulatan & keistimewaan Raja-Raja Melayu).
Jelas sekali jaminan menersui perlembagaan itu memberi benteng bagi orang Melayu mempertahankan kedudukan dan keberadaan mereka dalam tanahair ini. Seharusnya orang Melayu tidak merasa bimbang dan ragu lagi mengenai masa depan mereka. Tetapi kenapa dua faktor itu masih tidak boleh memberi keyakinan kepada orang Melayu daripada tidak membimbangi nasib mereka?
Keadaan inilah yang saya mengandaikan Melayu berkrisis dan berdelima. Ketidakyakinan kepada diri. Dalam konteks ini delima dalam menentukan arah dan menggunakan kekuatan bagi mengukuh diri sendiri. Melayu tidak berani menggunakan seoptima hak-haknya untuk membela dan melindungi diri sendiri. Dalam bahasa yang mudah orang Melayu sudah ada payung tetapi malu untuk membuka payung walaupun hari sudah hujan.
Malu ini ada berbagai sebab. Antara kerana malu takut ianya dikata oleh kawan lain yang tidak mempunyai payung. Takut diejek sebagai orang yang takutkan hujan walaupun kegunaan payung itu fitrahnya untuk melindungi hujan dan panas. Malu takut kita menggunakan kemudahan itu untuk diri sendiri. Keadaan atau pemikiran sebeginilah yang melemah dan merugikan Melayu.
Maksudnya orang Melayu bukan tidak tahu kepada kuasa itu. Tetapi mereka tidak mahu menggunakannya. Keengganan ini disebabkan orang Melayu tebal dengan sikap tolak ansur, berbudi bahasa, menghormati kawan yang mana sifat ini sudah menjadi satu sifat negatif dalam dunia orang banyak kurang ajar kini.
Selain itu orang Melayu kini sudah meninggalkan adat dan budaya berpakat, berat sama dipikul ringan sama dijinjit, hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah. Orang Melayu kini hidup secara berkelompok dan berfikir secara nafsu nasfi.
Misalnya semua orang Melayu baik yang mendiami organ siasah Pas atau Umno menyedari betapa perlunya kepada kekuatan politik. Tetapi kerana masing-masing lebih melihat kepada kepentingan kelompok menyebakan mereka tidak membina kekuatan. Kedua pihak lebih mempercayai kepda pihak lain – bukan Melayu untuk membantu mereka. Ideologi yang menjadi anutan parti telah mengasingkan sesama sendiri.
Bagi Umno mereka tidak berani untuk berbaik dan bersedia melayan rakan mereka bukan Melayu kerana bimbang takut kehilangan kuasa. Mereka bersedia berbalah sesama Melayu walaupun tindakan itu menyebabkan bukan Melayu bertepok tangan. Demikian juga dengan Pas, mereka takut untuk berbaik dengan Umno kerana untuk meraih simpati bukan Melayu dengan harapan mereka akan berjaya mengambil alih kekuasaan politik. Walhal dalam masa sama bukan Melayu mempermainkan kedua entiti berkenaan secara tersirat dan tersurat.
Keadaan inilah yang meletakkan Melayu dalam keadaan delima dan krisis yang mana akhirnya nanti merugikan semua orang bernama orang Melayu.
Justeru, untuk keluar dari kemelut ini ia bukan sesuatu yang mustahil. Orang Melayu mulai hari ini harus buang bahawa faktor sejarah dan perlembagaan tadi mampu mempertahankan mereka. Sebaliknya mereka harus bingkas dan sedar bahawa yang boleh mempertahankan mereka ialah persatuan (ukhwah) dan kuasa politik. Sejarah dan perlembagaan tidak lebih dari sebuah nostalgia yang berpaksikan kepada kebenaran saja.
Dari itu yang penting orang Melayu kena ada senjata atau ikatan berterusan untuk menguatkan kedudukan di samping bersedia menggunakan kuasa yang ada dalam perlembagaan dengan sepenuhnya tanpa bertolak ansur kepada apa-apa elemen lain. Melayu kena meletakkan keutamaan kepada diri sendiri daripada kepentingan lain.
Orang Melayu juga kena ubah semula persepsi pemikiran mereka daripada melihat kepada nasib orang lain kepada melihat nasib sendiri. Orang Melayu tidak boleh menjadi tukang tilik nasib yang arif mengenai lakaran di telapak tangan orang lain tetapi jahil mengenai makna dan erti urat tangan di telapak tangan sendiri.
Saranan yang dikemukakan oleh Rais, supaya Melayu – Bumiputera kena mempunyai kuasa yang besar adalah satu cadangan yang sangat pratikal dan boleh memberi kesan segera. Untuk mencapai ini kedua parti orng Melayu Umno dan Pas harus bergabung. Sudah pasti kalau Melayu dan Bumiputera ada kuasa politik yang besar ia akan digeruni oleh pihak yang cuba meruntuhkan kekuasan dan keagungan Melayu.
No comments:
Post a Comment