Berbicara dengan Datuk Noh Omar mengenai Majlis Amanah Rakyat (MARA) nyata nadanya penuh kekecewaan kerana agensi itu dianggapnya belum banyak yang berubah.
Sewaktu berbual hampir satu jam dengan Agendadaily di bangunan Parlimen beliau melihat MARA masih ditakuk lama disegi peranan serta tanggungjawabnya bagi membantu penduduk luar bandar.
Sikap sesetengah pegawai dan kakitangan MARA yang bekerja sekadar makan gaji, tidak berinovasi serta kurang kreatif semakin memburukkan keadaan sehingga ada pihak melihat agensi indah khabar dari rupa.
Bagi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini, MARA hampir sebati dengannya kerana beliau pernah berkhidmat dengan agensi berkenaan.
Pendek kata, pegawai atau kakitangan MARA yang ada sekarang sukar hendak kelentong beliau jika Noh minta jawapan sekiranya berlaku kesalahan urus atau kepincangan dalam pentadbiran.
Sebab itulah, apabila diberikan tugas di kementeriannya sekarang dan MARA di bawah tanggungjawabnya, Noh sanggup turun padang mengejut meninjau ke pejabat atau premis milik MARA yang berjumlah lebih1,200 buah di seluruh negara.
Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Tanjung Karang itu, beliau lebih menekannya soal perlunya MARA mengkaji balik peranan dengan memberi tumpuan aktiviti luar bandar manakala UDA Holdings Berhad (UDA) di dalam bandar.
Terbaru, Noh mengarahkan MARA mengkaji balik pengambilan masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) supaya diberi lebih ruang dan tumpuan kepada pelajar luar bandar.
Alasannya, di luar bandar, ada pelajar sekolah tak dapat 5A berbanding di bandar
“Ini bermakna pelajar bandar dan luar bandar bermain di padang tidak sama rata. Ini tidak adil Hasrat kita ada ujudkan kesedaran ibu bapa bagi lahirkan genersasi pertama dalam sesuatu keluarga untuk maju dalam pendidikan seterusnya masuk universiti,” ujarnya.
Menurut Noh, jika ada yang berjaya, adik-adik akan bersemangat mengikut mereka yang berjaya .
Bagaimanapun katanya, masalah di luar bandar sekarang apabila segelintir ibu bapa anggap pendidikan hanya tradisi dan beban bukan anggap pendidikan sebagai pelaburan.
“Kita kena berusaha tukar minda mereka. Sebab itu, kita kena beri peluang pelajar-pelajar luar bandar masuk MRSM. Dapat 4A 1B pun tak mengapa. Saya sudah arah supaya nisbah 70-30 dikaji dengan bilangan lebih besar kepada masyarakat luar bandar,” ujar beliau.
Lagipun katanya, akta asal MARA adalah membantu masyarakat luar bandar.
Beliau juga menyatakan, MARA tidak perlu menambah bilangan MRSM sebaliknya mesti melihat hasil serta kualiti pendidikan dan pelajar-pelajarnya.
“Jangan ghairah buka sana, buka sini, Nanti dah tak glamor nak masuk MRSM. Sebab itu, saya sudah hentikan dulu beberapa pembinaan MRSM,” katanya.
Noh juga mencadangkan MRSM mesti ada bahagian pendidikan agama bukan khusus kepada sains seperti sekarang.
“Kita mahu pelajar bukan sahaja tahu sains tetapi bidang agama dan boleh menyambung pengajian di Timur Tengah. Inilah cara kita lahirkan tokoh ulama yang ada pengetahun akademik,” katanya.
Selain itu tegasnya, MRSM juga perlu bahagian pendidikan teknikal supaya pelajar yang masuk dan keluar nanti boleh mengisi bidang kemahiran yang diperlukan.
Perubahan lain yang mahu dilihatnya adalah MARA menghantar pelajar cemerlang ke top universiti di luar negara.
Baginya, adalah tidak berguna menghantar pelajar cemerlang ke universiti biasa yang mana mereka akan bergaul dengan pelajar biasa.
“Tak adalah bezanya mereka cemerlang. MARA kena cari universiti yang top. Jadikan skim pelajar cemerlang kita dengan hantar mereka ke universiti cemerlang atau top 10 yang budak lain sukar masuk. Ini baru ada erti pelajar cemerlang,” katanya.
Mengenai perubahan MARA, Noh berpendapat, sekiranya mahu berbuat demikian ianya mesti membabitkan semua peringkat termasuk Ketua Pengarah, timbalan ataupun ketua jabatan.
“Kalau KP saja orang luar, orang bawah tidak, ini susah,” katanya.
Noh turut menyentuh mengenai sistem penyampaian yang lemah dalam pentadbiran dan pengurusan MARA.
Beliau memberi contoh mengenai tindakan disiplin pada pegawai atau kakitangan MARA.
“Tindakan hanya terhadap mereka yang tak datang kerja, berhutang tak bayar atau penyelewengan bukannya terhadap mereka yang tidak capai prestasi memuaskan,”.
“Sebab itu, saya mahu MARA ambil tindakan tatatertib juga terhadap mereka yang tidak capai tahap ini.”
“Pegawai MARA daerah patut diberi surat tunjuk sebab jika gagal urus tadbir premis perniagaan…kalau jawapan tidak menyakinkan, ambil tindakan kerana ketidakcekapan, baru orang takut,” tegas beliau.
Masalah seperti ini katanya menjadi punca premis MARA kosong tanpa penyewaan dan ini merugikan.
Dalam sesetengah keadaan pula kata Noh, pegawai MARA tidak kreatif memikirkan produk atau jenis perniagaan di premis atau gerai MARA.
“Patutnya kita tentukan apa perniagaan yang sesuai supaya tiada persaingan di sesuatu tempat. Ini peniaga yang tentukan. Akhirnya jadi caca merba…semua nak jual,” katanya.
Katanya, ada bangunan cantik tetapi perniagaan tidak maju dan gagal tarik pelanggan.
Beliau memberi contoh Anggerik Mall di Shah Alam yang menjual pelbagai produk sedangkan di kedai-kedai berdekatan termasuk kompleks PKNS turut jual barangan sama.
Noh sudahpun mencadangkan kompleks itu dijadikan pusat perniagaan peralatan teknologi maklumat (IT) seperti Plaza Low Yat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur kerana amat sesuai memandangkan di Shah Alam terdapat beribu pelajar ITM yang memerlukan komputer dan sebagainya.
Dalam nada kecewa Noh berkata, lebih baik unit urus bangunan di tutup sahaja jika gagal mengurus bangunan yang ada.
Katanya, semua ini berpunca sikap sesetengah pegawai yang tidak berani melakukan perubahan bagi memastikan MARA mampu berdaya saing dan dihormati sebagai agensi yang dilihat memikul tanggungjawab besar membantu terutama orang Melayu.
Sebab itu kata Noh beliau akan terus turun padang meninjau aktiviti MARA dan akan memberi peluang mana-mana pegawai MARA yang rajin serta kerap turun padang mendapat tempat sewajarnya dalam agensi itu.
No comments:
Post a Comment