20081121

'Cabaran terhebat hidup saya'


ABDUL RAZAK (kanan) mendengar sesuatu daripada peguamnya pada sidang akhbar di ibu negara semalam.


KUALA LUMPUR - "Saya tahu saya tidak bersalah sejak hari pertama saya ditangkap dan saya juga optimis akan dibebaskan apabila sampai waktunya kelak.

"Alhamdulillah akhirnya Tuhan tunjukkan kebenaran tersebut selepas 22 bulan saya meringkuk di penjara."

Demikian penjelasan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang muncul buat pertama kali selepas dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 31 Oktober lalu.

Abdul Razak meluah perasaannya ketika ditemui Kosmo! kira-kira sejam di pejabatnya di bangunan Lembaga Getah Malaysia (LGM) di sini selepas memberi sidang akhbar di Hotel Maya yang terletak kira-kira 100 meter dari pejabatnya semalam .

Cerita Abdul Razak, sepanjang ditahan, beliau dilayan sama seperti banduan lain.

"Cuma perhatian diberikan lebih sedikit kerana kes itu melibatkan kes berprofil tinggi dan semua banduan di Penjara Sungai Buloh dari kes bunuh hingga curi motosikal menjadi kawan saya.

"Penahanan saya secara tidak langsung seolah-olah satu rahmat di mana saya boleh muhasabah diri," katanya yang menyifatkan ia sebagai pengalaman terhebat sepanjang hidupnya.

Katanya, setiap hari Sabtu merupakan hari yang paling ditunggu-tunggu kerana anggota keluarganya akan datang melawat beliau.

"Sepajang ditahan tidak pernah dalam seminggu mereka tidak datang,'' katanya yang rasa sangat bertuah.

Apabila ditanya bagaimana dia boleh mengenali Altantuya, Abdul Razak memberitahu.

"Saya tidak mahu memberi apa-apa komen mengenai itu kerana saya dinasihatkan oleh peguam saya tidak akan menyentuh perkara yang masih dibicarakan di mahkamah.

"Lagipun saya tidak nampak kesannya jika saya menjawab soalan itu kerana ia tidak membawa apa-apa perubahan," katanya.

Menurut Abdul Razak, beliau tidak dapat menggambarkan perasaan sebenar mengenai pembebasannya kerana perkara itu sukar ditafsirkan melainkan beliau yang mengalaminya sahaja.

"Ia (pembebasan itu) tidak boleh dikatakan dengan gembira atau seronok tetapi ia satu perasaan yang tidak dapat saya tafsirkan," katanya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com