20081119

PM janji selesaikan kemelut Wanita bila kembali ke tanah air

TASHKENT (Uzbekistan) 18 Nov. – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berjanji akan ‘menyelesaikan’ kemelut dalam pergerakan Wanita parti itu sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air dari lawatan rasminya ke dua buah negara di Asia Tengah.

Katanya, beliau tidak mahu memihak kepada mana-mana pihak “kerana tidak mahu mengganggu mereka”, namun beliau tidak mahu masalah itu akan membawa kepada perpecahan hingga pergerakan itu menjadi lemah.

“Saya dengar ada berlaku perebutan dan persaingan di dalam pergerakan itu. Mereka yang bagi undi kepada calon-calon ini mungkin nak biar semua ini berlaku, tapi saya berharap janganlah berlaku perpecahan,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasminya ke negara ini, di sini semalam.

Kemelut dalam Pergerakan Wanita UMNO timbul selepas salah seorang Exconya, Datuk Kamilia Ibrahim menyatakan hasrat untuk tetap bertanding bagi jawatan Naib Ketua selepas melayakkan diri, manakala penyandang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kini dalam dilema sama ada kekal dengan jawatannya sekarang sehingga Jun 2009 atau bertanding jawatan Ketua Wanita.

Shahrizat mendapat 73 pencalonan untuk bertanding dengan penyandang, Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua Wanita, dan 113 pencalonan untuk jawatan Naib Ketua.

Ditanya adakah beliau mahu memberi kata dua kepada para pemimpin pergerakan itu yang sedang bercakaran, Abdullah berkata: “Nantilah saya balik tengok (jumpa) mereka.”

Diminta nasihatnya pula, katanya: “Saya tidak mahu perpecahan, pergaduhan hingga jadi lemah. Wanita bukan pergerakan yang cetek dan bukannya baru.”

Katanya, beliau berjanji akan mencari penyelesaian bagi memelihara kekuatan pergerakan itu.

Abdullah berkata, UMNO tidak menentang demokrasi (dengan membenarkan persaingan) “tapi jika bergaduh dan berpecah tidak baiklah.”

– Utusan

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com