20081124

Selamat Kembali Pet: Terus berjuang

Image

Aku percaya Pet akan buat begitu. Mungkin esok atau lusa Pet akan mengemukakan saman di mahkamah menuntut ganti rugi atas penahanan yang tidak sah itu!

ANTARA KITA

Oleh MOHD SAYUTI OMAR

LEWAT malam ini sebelum melelapkan mata aku mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bebas dan kembali ke pangkuan rakyat kepada Raja Blogger, Raja Petra Kamarudin (Pet).

Pembebasan hari ini memberi erti besar kepada dunia keadilan kita. Apakah pembebasan itu menunjukkan kehakiman kita adil? Ataupun pembebasan itu kerana ada motif terselindung disebaliknya? Atau pembebasan itu kerana mahkamah tidak boleh meyonglapkan lagi kebenaran demi kebenaran yang wujud dan nyata?

Apapun Pet, pembebasan itu adalah kemerdekaan. Kemerdekaan itu adalah kebahagian. Kebahagian itu adalah dambaan semua makhluk bernyawa.

Malam ini Pet kembali berada di rumah sendiri, yang bebas dan penuh oksigen. Langisir rumahmu yang beberapa minggu lalu terkatuk malam ini terbuka luas mengangga sebuah langit malam.

Aku menanti tulisanmu Pet yang selalu kontroversial dan menakutkan kadang-kadang! Dan selama Pet berada di Kemunting aku menjadi malas untuk menulis mengisi kolom ini. Fikiran menjadi begitu dingin dan adakalanya bebal dan tidak bernafsu. Semuanya seolah-olah satu simpati yang tertumpah dari luar tambok batu itu dari seorang yang penakut seperti aku!

Sudah tentu bermula esok, sebelum Subuh pena Pet sudah akan melakar. Mencari kertas atau membuka laptop terus mencatat menumpahkan rasa dendam dan marah, mendedahkan penyelewengan dan membongkar segala rahsia. Teruskan. Ataupun polis belum menghantar kembali kesemua laptop yang dirampas! Tidak patut...

Menulis dan berjuang berpacakkan sendi kebenaran. Halakan pena ke Kiblat hakiki. Kita berani menyatakan sesuatu kerana benar, dan kita tidak akan membuka mulut membela kebatilan meskipun diupah berguni duit. Aku tahu rahsia itu sudah lama Pet menggengamkannya pada telapak tangan yang senantiasa hangat.

Berbagai andaian dan spekulasi dengan pembebasan kau hari ini, Pet. Ada yang mengaitkan dengan keputusan mahkamah yang memanggil dua orang yang dituduh membunuh Altantuya Sharribuu, Cif Inspektor Azilah Hadari dan Koperal Sirul Azahar Umar. Di mana Pet disebut akan diapanggil untuk menjadi saksi.

Benarkah begitu? Aku tidak mahu menerima hakikat itu, sebalik pembebasan (hebeas corpus) yang Pet perolehi hari ini adalah berlandaskan undang-undang. Bahawa penahahan mu itu tidak mengikut peraturan dan syarat. Nah... kalau begitu giliran kau Pet pula untuk membuli kerajaan Malaysia dan Polis. Tuntutlah kerugian seberapa banyak yang mahu. Itu adalah hak Pet.

Buatlah macam Malik Hussein itu. Si Malik telah menang dalam tuntutan dan saman ke atas kerajaan yang menahannya di bawah akta zalim itu, ISA. Mahkamah sudah mengarahkan kerajaan membayar RM1 juta. Smpai kini Kerajaan belum membuat bayaran kepada Malik kerana pihak kerajaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung.

Namun begitu Malik kini sudah kaya, kaya dengan angan-angan dan kaya dengan kemenangan. Sudah berapa buah show room kereta dimasukinya mengira-ngira untuk tidak berjalan kaki atau naik bas lagi. Setiap hari nampak dia tersengeh-sengeh di kantin Parlimen. Mungkin dia terasa dirinya juga sebahagian daripada 222 ahli sarkas dalam dewsan berhawa dingin dan dilengkap peralatan IT itu.

Aku percaya Pet akan buat begitu. Mungkin esok atau lusa Pet akan mengemukakan saman di mahkamah menuntut ganti rugi atas penahanan yang tidak sah itu! Bawalah Kerajaan, Polis, Menteri Dalam Negeri ke Mahkamah..... hadapkan mereka ke muka pengadilan. Biar mereka tau!

Dan Pet jika kamu dipanggil ke kandang saksi dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya kau ceritalah apa-apa yang kau tahu. Belalah mereka yang menjadi mangsa dan teraniaya dengan penuh keredhaan. Jangan sembunyikan fakta dan mereka-reka cerita. Ingatlah kepada anak Altantuya yang kini sudah menjadi yatim piatu.

Aku dan rakyat mahukan kebenaran keluar dari bibirmu. Kebenaran dan fakta yang kau bawa akan merubah segala-galanya. Dan kalau ini berlaku kaulah sebenar pencetus perubahan dan pembakar kemerdekaan daripada belenggu kedurjanaan. Dari kalangan kami kaulah Obama yang baru mendapat kuasa untuk melepaskan sebuah negara yang terbelenggu kesekian lama.

Selamat malam Pet dan aku serahkan kau kembali kepada Kak Marina dan anak-anakmu!

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com