NEW DELHI - Sebanyak lima mayat warga Israel yang menjadi mangsa tebusan kumpulan militan ditemui di sebuah pusat kebudayaan Yahudi di Mumbai selepas bangunan berkenaan diserbu anggota-anggota komando India, kata seorang diplomat Israel.
"Kami mengesahkan lima tebusan ditemui mati. Mereka ialah warganegara Israel. Kami kesal perkara ini terjadi," kata ketua misi kedutaan Israel, Eli Belotsercovsky.
Akhbar Press Trust of India melaporkan Ketua Pengawal Keselamatan Kebangsaan India, JK Dutt berkata, kesemua mangsa dibunuh semasa pasukan komando melancarkan operasi menyelamat di bangunan itu.
Sejurus pasukan komando bergerak ke tingkat tiga bangunan, kumpulan itu membunuh dua tebusan di tingkat empat, tambahnya.
Bunyi letupan dan tembakan senjata api kedengaran sepanjang hari selepas sepasukan tentera berpakaian hitam turun dengan menggunakan tali dari sebuah helikopter ke atas bumbung bangunan tersebut pada waktu subuh semalam.
Tembakan dan letupan kedengaran sekali sekala sejak pagi namun ia semakin kerap menjelang tengah hari.
Sejurus operasi menuju ke penghujungnya, asap berkepul-kepul kelihatan keluar dari tingkap kompleks kebudayaan itu.
Kedutaan Israel menyatakan, kira-kira 10 hingga 20 warga Israel dijadikan tebusan dalam kejadian serangan di dua hotel dan beberapa lokasi sekitar Mumbai. - AFP
No comments:
Post a Comment