20081119

Sabah mahu kepimpinan contohi Pak Lah

KOTA KINABALU 18 Nov. - Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz diminta mencontohi pengorbanan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sanggup mempercepatkan tarikh peralihan kuasa dari Jun 2010 ke Mac 2009.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad berkata, tindakan yang sama perlu dilakukan Rafidah demi perpaduan parti dan bukan untuk kepentingan diri.

"Kalau Perdana Menteri boleh berkorban untuk anak bangsa dan negara dengan meninggalkan jawatan, mengapa Rafidah tidak boleh melakukannya?

"Justeru, kami sebagai Wanita UMNO Sabah merayu supaya peralihan kuasa antara Rafidah dan naib ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dipercepatkan dari Jun 2009 kepada Mac," katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata demikian pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-13 di sini hari ini.

Jainab mengulas kemelut yang melanda Wanita UMNO selepas Rafidah bertegas dengan keputusannya pada Selasa iaitu mengekalkan pelan peralihan kuasa antaranya dan Shahrizat.

Bagaimanapun sehari selepas itu, Shahrizat meminta agar tarikh pelan peralihan diselaraskan semula, tetapi gagal meyakinkan Rafidah dan sebilangan anggota Exco Wanita berkenaan yang mahu ia dikekalkan.

Jainab berkata, bagi mendapat sokongan penuh semua Ketua Wanita UMNO di Sabah supaya sebulat suara menyokong pelan peralihan itu dipercepatkan, satu mesyuarat khas akan diadakan.

"Wanita UMNO Sabah akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat, sebelum ini 14 daripada 25 Wanita UMNO bahagian telah pun menyatakan persetujuan," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Beaufort, Datuk Azizah Mohd. Dun pula meminta supaya kemelut tersebut tidak dipanjangkan lagi dan mencari penyelesaian yang terbaik.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah itu berkata, kenyataan yang berbeza dan tidak sependapat hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Diharap dihentikan kenyataan yang bercanggah di antara satu sama lain dan berbincang semula secara bijaksana dan matang," katanya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com