20081117

Sarawak Adalah Kunci Kerajaan PKR, Kata Anwar

SIBU, 16 Nov (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sarawak, yang mempunyai 30 anggota Parlimen adalah kunci kepada kerajaan Pakatan Rakyat di negara ini.

"Apabila Sarawak mengubah haluannya, kerajaan Barisan Nasional akan runtuh," katanya pada majlis makan malam anjuran "Friends of PKR" di Pusat Perdagangan dan Pameran Sibu di sini malam tadi.

Beliau berkata pemimpin dalam Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dari DAP dan diri beliau dan isternya akan terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan anggota Parlimen BN untuk memujuk mereka supaya berpaling tadah menyertai mereka.

Kira-kira 3,000 tetamu hadir pada majlis itu, yang terbesar setakat ini bagi majlis PKR di sini.

Mereka yang hadir termasuk Naib Presiden PKR Datuk Seri Dr Jeffery Kitinggan, Ketua DAP Sarawak Wong Ho Leng, bekas anggota Parlimen Sri Aman Jimmy Donald, dan Baginda Minda, bekas ketua publisiti Parti Rakyat Sarawak cawangan Balleh, yang mencetuskan isu dengan kenyataannya mendakwa parti BN negeri yang dominan, Pesaka Bumiputera Bersatu, suka membuli.

Pada majlis itu, Anwar menerima borang permohonan keanggotaan daripada Gabriel Adit Demong, seorang daripada dua anggota Dewan Undangan Negeri Bebas dan daripada 11,752 individu dari seluruh negeri.

Anwar berkata rakyat Sarawak kini sudah bersedia bagi perubahan, menyatakan Adit telah menawarkan diri untuk mengetuai kempen menarik keanggotaan bagi Pakatan Rakyat.

"Jangan terkejut jika apa yang berlaku di lima negeri di Semenanjung dalam pilihan raya umum Mac lepas akan berlaku di sini," katanya dan menurutnya Pakatan Rakyat sudah membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Beliau juga mendakwa beberapa orang dari negeri itu telah datang berjumpa beliau menyatakan minat untuk menyertai PKR.

Sementara itu, Adit berkata banyak anggota BN sedang "menunggu masa" untuk menyertainya dan keputusannya untuk menyertai PKR " adalah yang pertama daripada banyak ansuran" dalam beberapa bulan akan datang."

-- BERNAMA

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com