KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- MCA mengutamakan soal mengenal pasti masalah yang dihadapi rakyat, khususnya beban yang terpaksa mereka tanggung akibat krisis ekonomi dan bukannya memberi tumpuan kepada kepentingan politik peribadi, kata Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.
"Yang penting sekarang adalah rakyat, masalah rakyat. Jadi semua orang harus memberi tumpuan kepada masalah rakyat bukan masalah dalaman parti atau masalah kepentingan politik peribadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perdagangan Teh Puer Asia Tenggara Keempat di sini hari ini.
Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata MCA kini menekankan daya usaha dan strategi yang membolehkan masyarakat dan pihak pengusaha mengatasi masalah liberalisasi pasaran yang semakin terserlah.
Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara penjanji yang terlibat dengan pelbagai perjanjian seperti perjanjian liberalisasi harus memberi tumpuan kepada rakyat dan bukannya membincangkan isu-isu kepentingan politik peribadi yang tidak memberi faedah kepada rakyat.
"Selaras dengan itu, MCA sudahpun bergerak ke beberapa negeri bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh rakyat dan sudah memperolehi beberapa cadangan dari akar umbi parti bagi membantu rakyat yang tertekan akibat kegawatan ekonomi sekarang," katanya.
Sementara itu, mengenai audit projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Ong berkata laporan auditnya akan dibentangkan kepada umum sebelum akhir tahun ini.
"Segala formaliti yang diminta oleh kementerian kewangan dan segala kronologi yang berkaitan dengan perkara tersebut sudahpun diselesaikan dan ia akan dibentangkan selepas saya mendapat hasil laporan itu," katanya.
Ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat Mei lepas, Ong berkata kerajaan bukan hendak 'menyelamatkan' projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tetapi hanya memberi pinjaman mudah kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment