20081119

Rafidah, Shahrizat tentukan penyelesaian terakhir - TPM

SUBANG JAYA 18 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jalan penyelesaian terakhir berhubung krisis kepimpinan dalam Pergerakan Wanita UMNO terletak kepada keputusan yang diambil oleh kedua-dua calon Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam menyelesaikan kemelut tersebut, pergerakan itu perlu mencari jalan penyelesaian iaitu pertamanya, melalui rundingan dan sekiranya ia tidak berjaya, terpulang kepada Rafidah dan Shahrizat untuk membuat keputusan.

Katanya, nasihat beliau kepada pergerakan itu ialah UMNO memerlukan Wanita yang kuat dan berwibawa untuk memainkan peranan penting memberi sumbangan kepada pemulihan serta kekuatan parti itu dan Barisan Nasional (BN).

''Ada dua aliran pendapat dalam Wanita. Satu, mereka mahu pelan peralihan kuasa Ketua Wanita kekal seperti asal. Ada pula aliran pendapat kedua bahawa pelan itu perlu dipercepatkan. Oleh kerana ada dua pendapat, maka Wanita harus mencari jalan penyelesaian.

''Jalan pertama ialah melalui rundingan. Kalau rundingan tidak berjaya, terpulang kepada kedua-dua pihak untuk membuat keputusan. Nasihat saya kepada Wanita ialah kita perlu kepada Wanita yang kuat.

''Walau apa pun keputusan mereka buat, mereka perlu memastikan kekuatan Wanita tidak terjejas dari segi kewibawaannya untuk memainkan peranan penting dalam konteks menyumbang kepada pemulihan dan kekuatan UMNO serta BN," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai desakan akar umbi Wanita UMNO yang mahu Shahrizat bertanding merebut jawatan Ketua Wanita sedangkan kepimpinan pergerakan itu sebelum ini bersetuju untuk meneruskan peralihan kuasa seperti yang dirancangkan iaitu pada Jun depan.

Kemelut juga timbul selepas Exco pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim menyatakan hasrat untuk terus bertanding jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan parti Mac depan selepas memperoleh cukup pencalonan.

Bagaimanapun, keputusannya itu mendapat kecaman sesetengah pemimpin wanita UMNO di peringkat negeri yang menyatakan Kamilia tidak mengendahkan pelan peralihan yang dipersetujui antara Rafidah dan Shahrizat, yang dijadualkan pada Jun depan.

Isnin lepas, Shahrizat dalam satu kenyataan mengejutkan, meminta agar tarikh pelan peralihan diselaraskan semula, tetapi gagal meyakinkan Rafidah dan sebilangan anggota Exco Wanita yang mahu ia dikekalkan.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com