20081119

Saksi: Dua bekas Menteri Sabah turut terima bayaran

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Bekas Pengarah Briskmark Enterprise Sdn. Bhd., memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dua bekas Menteri Kabinet Sabah adalah antara yang menerima rasuah daripadanya untuk kelulusan transaksi saham pada 1996.

Dalam kenyataan amaran yang dirakamkan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Wasli Mohd. Said telah menyebut mengenai pembayaran tersebut kepada bekas menteri berkenaan dan kesemua Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).

Pada 16 Jun lepas, Wasli memberitahu mahkamah bahawa Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, mengarahkan pembayaran RM5 juta hasil keuntungan jualan saham syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah itu kepada ejen pilihannya pada 1996.

Disoal balas oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdulah, Wasli, bekas Pengurus Besar LKTNS, menjelaskan antara mereka yang beliau beri suapan ialah Tan Sri Kasitah Gaddam, walaupun tidak menyebut nama-nama penerima dalam laporan polisnya.

Saksi itu berkata, beliau membuat laporan di Balai Polis Kota Kinabalu pada 20 Disember 1999 sebaik sahaja beliau keluar dari Hospital Queen Elizabeth.

Katanya, dalam laporan itu beliau menyatakan bahawa beliau telah ditahan pada 7 hingga 17 Disember 1999 bagi membantu siasatan BPR terhadap dakwaan rasuah dalam penjualan 16.8 juta saham Sapi Plantation kepada Briskmark.

Wasli memberitahu mahkamah bahawa dalam laporan polis itu, beliau menarik balik beberapa maklumat yang dinyatakan dalam kenyataan amarannya kerana pegawai BPR memukul dan mengugutnya semasa dalam tahanan.

"Walaupun laporan polis untuk menarik balik beberapa maklumat dalam kenyataan amaran saya, ia tidak bermakna kesemua kandungan kenyataan itu tidak benar," katanya.

Ditanya oleh peguam Muhammad Shafee, yang mewakili Kasitah, sama ada pegawai BPR memaksanya mengaitkan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi (Kasitah) itu dengan dakwaan rasuah, Wasli tidak bersetuju.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan Kasitah yang didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi LKTNS untuk kepentingan kewangannya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan meluluskan penjualan 16.8 juta saham Sapi Plantations yang dipegang oleh lembaga itu kepada Briskmark.

Kasitah, 60, juga didakwa menipu LKTNS dengan tidak mengumumkan tawaran PPB Oils Palms Sdn. Bhd., untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap saham Sapi Plantations dalam cadangan PPB untuk disenaraikan pada Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE), kini Bursa Malaysia.

Wasli juga memberitahu mahkamah, sehingga ini polis belum menyoalnya berhubung laporan polis terhadap BPR.

Menjawab soalan lain, Wasli berkata, beliau menghadapi tujuh tuduhan rasuah, dua di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan lima di Kota Kinabalu.

Antara pertuduhan di Kota Kinabalu ialah dia didakwa memberi rasuah kepada Kasitah dengan 3.36 juta saham Sapi Plantations sebagai hadiah.

Dia juga menghadapi 95 tuduhan pengubahan wang haram yang semuanya bernilai RM23.6 juta dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan semua kesnya itu belum bermula sejak dia didakwa pada 2004.

Perbicaraan di hadapan Hakim Suraya Othman disambung esok.

- Bernama

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com