20081124

Institusikan Pakatan Rakyat - Jim

(Hrkh) - Jamaah Islah Malaysia (Jim) melihat Pakatan Rakyat boleh berjaya sekiranya ditubuhkan Majlis Kepimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat, Perjanjian Penubuhan Pakatan Rakyat serta Dasar-dasar Pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Presiden Jim, Zaid Kamaruddin sewaktu menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Perwakilan Nasional Jim ke-18 yang bertempat di Kompleks Darul Puteri, Cheras, semalam.

Jelas Zaid, ketiga-tiga perkara tersebut amat penting bagi Pakatan Rakyat, yang mana dengan adanya perjanjian Penubuhan Pakatan Rakyat, ia dapat memperincikan sekurang-kurangnya sifat, objektif serta proses membuat keputusan.

Manakala dengan adanya Dasar-dasar Pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat. ia dapat menggariskan dasar pemerintahan kerajaan Pakatan serta pendirian bersama dalam isu-isu yang dipertikaikan seperti isu negara Islam serta kedudukan Islam dan Melayu.

Tambah Zaid, amat penting bagi kepimpinan Pakatan Rakyat bertindak sebagai satu badan dan perlu diinstitusikan kerana rakyat mahu melihat satu kepemimpinan bersama dan bukan suara-suara daripada tiga penjuru yang kadang-kadang senada seirama dan ada kalanya kurang harmoni dan sumbang.

"Sukar untuk Jim menerima ketiadaan tiga perkara asas ini. Sukar untuk mempercayai, satu pakatan yang hampir mengambil alih kepimimpinan negara tiada dasar-dasar pemerintahan yang disepakati bersama atau kabinet bayangan yang bakal diterajui.

"Jika Pakatan Rakyat tidak segera bertindak mengukuhkan pakatan, tidak mustahil akan ada kerajaan Pakatan Rakyat yang tumbang. Ini akan membawa implikasi yang besar. Tumbangnya sebuah kerajaan mesti disebabkan adanya anggota parti rakan yang berpaling. Hubungan antara parti-parti boleh terjejas. Domino lain boleh rebah,"tegasnya.

Dalam ucapan yang bertema, 'Meneguh Gagasan Ummah Menyerlah Kerahmatan Syariah', Zaid menekankan sungguhpun Pakatan rakyat merupakan perkongsian diantara parti-parti yang berlainan ideologi politik, ia wujud persamaan yang boleh diadun menjadi dasar pemerintahan yang baik.

"Perbezaan di antara parti-parti angota Pakatan Rakyat amat ketara. Pegangan parti yang berbeza dan berpunca daripada perbezaan ideologi politik tidak perlu ditolak. Tetapi langkah-langkah proaktif mesti diambil untuk memupuk pakatan berasaskan polisi yang dipersetujui bersama, untuk menjadi pasukan yang berkesan.

"Menghormati perjanjian, menghormati rakan dan disiplin ahli menjadi penting dalam menjaga keutuhan pakatan seperti ini,"katanya.

Sementara itu, Zaid turut menyatakan sebagai sebuah NGO Islam, Jim ingin menyumbang untuk menjayakan Pakatan Rakyat dan Jim akan menyokong siapa sahaja yang boleh bekerja demi kepentingan Islam, ummah dan masyarakat serta menjadi sahabat yang kritis.

Perhimpunan Perwakilan Nasional Jim ke-18 berlangsung selama dua hari yang akan berakhir hari ini. Kelmarin, Perhimpunan Perwakilan Wanita Nasional, Jim, yang ke-15 telah berlangsung.

Selain anggota kepimpinan tertinggi Jim, antara tetamu yang hadir dalam perasmian Perhimpunan Perwakilan Nasional Jim ke-18 ialah mantan Presiden Jim, Saari Sungib yang juga Adun Hulu Kelang.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com