20081119

Wanita P. Pinang tolak pelan peralihan kuasa

PULAU PINANG 18 Nov. - Sebanyak 10 daripada 13 Ketua Wanita UMNO bahagian di Pulau Pinang menolak pelan peralihan kuasa antara Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz dan naib ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang ditetapkan Jun tahun depan.

Menurut mereka, pelan peralihan tersebut tidak akan memberi apa-apa makna, sebaliknya hanya akan terus memecah belahkan perpaduan pergerakan itu dan UMNO secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjong, Norjan Hamid selaku jurucakap kepada kumpulan tersebut menggesa, pelan peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin berkenaan dipercepatkan dari Jun tahun depan kepada Mac.

''Jika pelan tersebut diteruskan, apa yang boleh dilakukan Rafidah dalam jangka masa hanya tiga bulan. Mungkin hanya satu atau dua mesyuarat sahaja yang dapat dijalankan.

''Kalau Shahrizat tidak diberi laluan menerajui Wanita UMNO pada Mac depan, maknanya selepas peralihan kuasa, Shahrizat cuma akan memangku jawatan Ketua Wanita selama tiga tahun dan beliau tidak akan ada naib untuk membantu beliau," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas yang dihadiri tujuh daripada 10 Ketua Wanita UMNO Bahagian di Pulau Pinang di sini hari ini.

Selain Norjan, mereka ialah Ketua Wanita UMNO Kepala Batas, Zabariah Wahab; Bukit Mertajam, Faridah Hussain; Permatang Pauh, Normala Abdul; Batu Kawan, Rohaya Ismail; Jelutong, Saripah Syed Mohd.; Bukit Gelugor, Norliza Abdul Rahim; Nibong Tebal, Sofiah Sharif; Bukit Bendera, Datin Haslinda Hashim dan Bagan, Jumahee Mohd.

Kemelut dalam Pergerakan Wanita UMNO timbul selepas salah seorang Exconya, Datuk Kamilia Ibrahim menyatakan hasrat untuk bertanding bagi jawatan naib ketua manakala penyandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kini dalam dilema sama ada kekal dengan jawatannya sekarang sehingga Jun 2009 atau bertanding jawatan Ketua Wanita.

Shahrizat mendapat 73 pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita dan 113 pencalonan untuk jawatan naib ketua.

Menurut Norjan, mereka juga sebulat suara menolak kenyataan Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Jahara Hamid yang mendakwa semua ahli pergerakan itu mahu pertandingan bagi jawatan tertinggi perlu dielakkan dan semua pihak perlu menghormati keputusan tersebut.

''Macam mana Jahara kata kami semua sokong sedangkan Wanita UMNO negeri tidak pernah mengadakan sebarang mesyuarat untuk membincangkan mengenai pelan peralihan kuasa tersebut," katanya.

Tambah Norjan, kenyataan yang dikeluarkan setiap hari di akhbar-akhbar oleh Wanita negeri juga jelas menunjukkan terdapat banyak perpecahan dalam pergerakan itu.

''Sebagai seorang pemimpin yang begitu lama dalam arena politik, kami berharap dan merayu supaya Rafidah memberi laluan kepada Shahrizat.

''Cara ini lebih terhormat dan menunjukkan beliau lebih menyayangi parti lebih daripada dirinya sendiri.

''Dengan cara inilah Wanita UMNO dapat disatukan semula. Inilah yang diminta oleh mereka di peringat akar umbi,'' katanya.

Tambahnya, beliau yakin, Shahrizat terlalu banyak membuat pertimbangan untuk bertanding atas dasar menghormati jasa dan ketokohan Rafidah sebagai ketua.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com