KOTA BAHARU, 27 Nov (Bernama) -- Pemimpin Wanita Umno diminta segera menghentikan membuat kenyataan di akhbar yang dikhuatiri memburukkan lagi imej pergerakan itu di mata rakyat.
Exco Pergerakan Wanita Umno yang juga Ketua Wanita Umno Pahang, Datuk Maznah Mazlan berkata kini terdapat kecenderungan membuat kenyataan yang mendedahkan kelemahan pemimpin pergerakan itu.
"Sudahlah membuat kenyataan yang pelbagai dan bertandinglah secara sihat dan penuh kekeluargaan, Saya khuatir lebih banyak membuat kenyataan, lebih banyak pula keburukan diterima," katanya selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar kepada lebih 100 pemimpin wanita yang mewakili Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, hari ini.
Maznah berkata banyak perkara lain yang perlu dilakukan pergerakan itu terutama menangani masalah rakyat khasnya membabitkan golongan wanita.
Beliau berkata demikian mengulas beberapa kenyataan pemimpin Wanita yang membabitkan keputusan Tan Sri Rafidah Aziz yang merupakan Ketua Wanita Umno dan juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mempertahankan jawatan itu setelah Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu sayap berkenaan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment