20081127

Antara Politik Berasaskan Kaum dan Politik Perkauman

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Minggu lalu saya berkesempatan berbicara isu antara politik berasaskan kaum dan politik perkauman dengan Setiausaha Agung PKR Datuk Salahuddin Hashim dalam rancangan Sudut Pandangan di rangkaian Astro Awani.

2. Saya bertolak dari premis bahawa UMNO dan BN bukan parti sekumpulan manusia politik yang bersifat perkauman. Sebaliknya UMNO dan BN lebih merupakan kepada ideologi politik berasaskan kaum.

3. Sungguhpun dicanangkan oleh PKR bahawa dalam pilihan raya lalu, isu-isu kaum tidak lagi penting atau sudah ketinggalan zaman, namun hakikatnya PKR sebagai sebuah parti politik yang "menolak" agenda kaum hanya menguasai sekitar 13% daripada jumlah kerusi Parlimen. Selebihnya ia masih lagi dikuasai oleh parti yang berasaskan kepentingan kaum tertentu. Ini termasuk parti DAP dan Pas.

4. Manakala parti-parti yang dikatakan multiracial seperti Gerakan (?) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) jelas hilang kekuatan. DAP sungguhpun kononnya memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia, namun jelas bahawa agenda perjuangan mereka banyak berlegar di kalangan kaum Cina. Demikian juga Pas sungguhpun membawa ideologi Islam namun ia masih berasaskan kepentingan orang Melayu sebagai penganut agama Islam terbesar di negara ini.

5. Adalah tidak salah kita memperjuangkan agenda kaum tertentu asalkan ia tidak menindas dan menzalimi kaum yang lain.

6. Bagi saya, politik perkauman ialah ideologi atau tindakan yang mementingkan sesuatu kaum dengan menindas, membenci malah menyakiti kaum lain. Kumpulan ini sanggup melakukan apa sahaja sama ada huru-hara atau menimbulkan pertelingkahan kaum demi memenuhi agenda politik dan kepentingan kaum sendiri.

7. Sejarah politik perkauman ini sebenarnya berakar umbi di Eropah dan Amerika Syarikat. Ideologi anti-Yahudi dan white Supremacy merupakan contoh-contoh terbaik politik perkauman.

8. Mungkin contoh politik perkauman yang paling mudah ialah kemunculan Nazi di Jerman yang membunuh jutaan orang Yahudi yang dianggap telah merampas kekayaan orang jerman.

10. Di Eropah, kumpulan anti orang asia atau anti bukan kulit putih masih wujud sehingga hari ini. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan neo-nazi. Mereka bukan sahaja tidak bersetuju secara idea atau akademik mengenai kehadiran bangsa lain tetapi turut mengambil tindakan menghasut agar orang ramai membenci bangsa asing. Malah di sesetengah tempat serangan fizikal dan vandalisme harta benda kaum pendatang berlaku secara teratur dan sistematik.

11. Di Amerika sendiri terdapat beberapa bentuk politik perkauman. Sebaik ditamatkan penghambaan di negara tersebut terdapt undang-undang baru diperkenalkan yang jelas menunjukkan politik perkauman. Jim Crow laws pada 1876-1965 telah mengasingkan sekolah awam, pengangkutan awam, restoran dan tandas awam antara kulit putih dan kulit hitam.

12. Salah satu organisasi yang telah terkenal dalam melaksanakan politik berasaskan kebencian ini ialah kumpulan Ku Klax Klan di Amerika Syarikat. Ku Klax Klan ini bukan sahaja menyebarkan ideologi membenci kaum pendatang terutamanya kulit hitam, malah mereka melakukan pelbagai keganasan dan kekerasan bagi memberi tekanan kepada bukan kulit putih dan yahudi.

13. Selain kumpulan Ku Klax klan, orang kulit putih di Amerika juga mewujudkan pelbagai sistem berasaskan politik perkauman yang mengasingkan terus sekolah, kedai dan ruang pengangkutan awam antara mereka dengan kulit hitam dan lain-lain bangsa. Di Malaysia juga sudah ada ciri-ciri perkauman apabila ada sebuah pertubuhan kaum tertentu yang menuduh pemimpin Melayu melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas kaum India di Malaysia.

14. Politik Perkauman merupakan satu idea dan usaha untuk mengangkat bangsanya menjadi paling hebat, kuat dan berkuasa sama ada dalam bentuk kedudukan politik mahu pun kekuatan ekonomi dan sosial dengan cara menimbulkan kebencian, mengenakan tekanan emosi dan fizikal serta mewujudkan sistem-sistem yang secara sistematik merampas kekayaan dan kehidupan sosial kaum lain.


Politik berasaskan kaum

15. Politik berasas kaum lebih merupakan bentuk politik Malaysia sejak merdeka lalu. Iaitu parti-parti politik ditubuhkan berasaskan kaum tertentu bagi memperjuangkan kepentingan dan kebajikan kaum tersebut. Misalnya UMNO ditubuhkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu dari segi agama Islam, bangsa Melayu itu sendiri dan tanah air atau negara. Kemudiannya peranan UMNO ditambah dengan usaha menjaga kepentingan bumiputera lain.

16. MCA ditubuhkan bagi menjaga kepentingan kaum Cina di negara ini. Demikian juga MIC yang menjaga kepentingan kaum India. Parti-parti ini bukan sahaja memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

17. Terdapat juga parti-parti yang membuka keahlian kepada semua bangsa tetapi asas perjuangan mereka masih tertumpu kepada kaum mana yang mendominasi parti politik tersebut. Kita lihat sungguhpun DAP terbuka keahlian kepada semua namun asas perjuangan mereka masih lagi tertumpu kepada kepentingan orang Cina. Demikian juga Pas yang terbuka kepada semua orang Islam tetapi ia masih berasaskan politik Melayu.

18. Gerakan juga sungguhpun parti multi racial tetapi masih bersikap parti orang Cina. Politik berasaskan kaum lebih merupakan politik tolak ansur antara kaum yang dipraktikkan dalam negara berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia. Politik ini berjaya mengelakkan pertumpahan darah dan konflik antara kaum yang berlaku di banyak negara-negara pelbagai kaum lain seperti di negara-negara balkan suatu ketika dahulu.

19. Politik berasaskan kaum tidak menindas mana-mana kaum atau mengambil hak mana-mana kaum mahu pun mengenakan sebarang tindakan mendiskriminasi mana-mana kaum. Misalnya hak-hak istimewa melayu, kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu merupakan sebahagian tolak ansur dan power bargain kemerdekaan yang turut memberikan hak kerakyatan, hak mengundi, hak mengamalkan adat istiadat dan budaya serta pendidikan berasaskan bahasa-bahasa kaum lain. Justeru ia tidak boleh dilihat sebagai tindakan satu kaum menindas kaum lain.

20. DEB juga bukan satu polisi perkauman tetapi merupakan polisi berasaskan kaum demi kepentingan sosial. Contoh – Peruntukan 30% ekuiti bumiputera, biasisiwa dan kuota universiti untuk bumiputera tidak merampas hak kaum lain. Ini kerana jumlah yang diperuntukan lebih kecil atau setara daripada jumlah penduduk bumiputera di negara ini.

21. DEB juga tidak pernah melakukan perampasan harta bukan Melayu untuk dijadikan harta kaum Melayu. Politik berasaskan kaum ini tidak pernah menindas mana-mana kaum bukan peribumi dari mencapai kedudukan, kuasa mahu pun penguasaan ekonomi.

22. Bahkan politik berasaskan kaum seperti di Malaysia ini telah melahirkan ramai jutawan dari kaum cina dan India.

23. Ini jelas berbeza dengan politik perkauman yang melakukan tekanan, dan diskriminasi secara sistematik bagi menaikkan bangsanya dengan memusnahkan bangsa lain.

24. Tiada apa yang perlu digundah gulanakan apabila kita dilabelkan pejuang bangsa. Yang kita khuatir ialah jika perjuangan bangsa digunakan untuk memusnahkan bangsa lain. Ini tidak akan berlaku di Malaysia selagi Barisan Nasional kekal memerintah dengan konsep politik berasaskan kaum ini. Ini kerana politik menjaga kepentingan kaum tertentu ini diikuti oleh tolak ansur dan persefahaman yang akhirnya menghasilkan situasi menang-menang kepada semua kaum.

25. Memang secara idealnya politik yang tidak berasaskan kaum merupakan satu hujah akademik yang cantik molek. Namun realitinya ia tidak seindah digambarkan. Ia akhirnya akan menjadi keadaan di mana kaum yang kuat dan gagah dari segi ekonomi membolot segala kekayaan dan keselesaan manakala yang lemah dan kurang kekuatan akan terus ketinggalan.

Dr Mohamad Khir Toyo

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com