KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini berkata tidak perlu ada individu menjadi orang tengah untuk menyelesaikan perseteruan antara beliau dengan Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.
Dr Chua berkata apa yang penting adalah untuk merapatkan barisan dan bergerak ke hadapan.
"Jika kita benar-benar mahu bekerja, tidak perlu ada individu ketiga untuk menjadi perantara. Kami bukan anak-anak kecil lagi. Kita mendakwa sebagai parti politik yang kedua terbesar di negara dan jika (kami) tidak tahu bagaimana hendak bekerja dan memerlukan orang ketiga untuk campur tangan, maka ini merupakan suatu yang menyedihkan bagi MCA," katanya pada satu sidang akhbar di Wisma MCA hari ini.
Dr Chua berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Bendahari Agung MCA yang baru Senator Tan Sri Tee Hock Seng yang menawarkan diri menjadi perantara bagi menyelesaikan perbalahan antara kedua-dua pemimpin berkenaan.
Timbalan Presiden MCA itu berkata untuk mereka bekerjasama, mestilah wujud keikhlasan.
"Ia tidak boleh hanya menjadi kenyataan politik. Keikhlasan mesti kelihatan dalam tindakan. Kerjasama ini bukannya satu persoalan bahawa Tee Keat menang dan Chua kalah atau Chua menang dan Tee Keat kalah.
"Kerjasama ini akan menjadi persoalan jika kami tidak bekerjasama, seluruh parti ini kalah," katanya.
Perbalahan antara kedua-dua pemimpin itu dilihat bermula sejak pelantikan pemegang-pemegang jawatan parti yang diumumkan pada 11 Nov berikutan pemilihan parti.
Dr Chua, yang juga bekas menteri kesihatan, tidak dilantik memegang jawatan utama seperti pengerusi negeri atau mengetuai lembaga disiplin parti.
Sebaliknya, beliau dilantik sebagai Pengerusi Biro Pemantau Dasar Kerajaan. Teek Keat, yang merupakan Menteri Pengangkutan, melantik dirinya sebagai Pengerusi MCA Johor, jawatan yang sebelum ini pernah dipegang Dr Chua.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment