Pukul empat petang 29hb. Oktober 2008 sebaik keluar dari rumah terbuka Dato’ Azim di Bank Simpanan Nasional (BSN) saya terjumpa Nadzru kawan lama yang wajahnya mirip rupa saya, kami satu keturunan, tok nenek kami dari Hadaramaut, Yamen. Kami berpeluk cium cara Arab. Syukur pada Allah yang mempertemukan saya dengan Nadzru seorang ‘chartered engineer’ kawan arwah Haroun Perancis.
Nadzru selain seorang tokoh korporat yang berjaya juga penterjemah bahasa Melayu dan Inggeris ke bahasa Arab, selain dia boleh menguasai bahasa Perancis, dia turut menulis di Editorial, The Nation dan Bangkok Post. Sikapnya masih mesra seperti dulu juga. Selalunya ‘orang kita’ bila sudah berjaya ‘sombong gila’.
Inilah pertama kali kami bertukar ‘bisnes kad’ untuk menyambung semula ‘silatulrahim’, sebelum ini kami sekadar bertemu di KLIA atau di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Jakarta secara berselisih. ‘Maklum’ kita ini bukan ‘orang pencen’ yang tak tahu apa hendak buat melainkan duduk di kedai kopi berbual kosong yang tak berfaedah.
Dia ada pejabat di Jakarta, Bangkok, Timur Tengah dan Utara Afrika, Oil & Gas, minyak dan gas adalah perniagaannya, sibuk gila setiap masa. Tidak ramai anak Melayu yang meniaga Oil and Gas yang baik dengan saya, adapun YB Senator Dato Syed Ali Al-Habshi, Ketua UMNO Bahagian Cheras. Ramai kenalan saya taukeh minyak urat, kaki mengurat... tahu tak pa.
‘Alhamdulillah’, Nadzru yang menjadi Pengarah beberapa public listed, di antaranya Ranhill Berhad di tingkat 40, Empire Tower, di Jalan Tun Razak, bersebelahan hotel Crown Princess, Kuala Lumpur mengundang saya ke pejabatnya. Kalau hendak tangkap ikan besar mesti pergi ke laut dalam, hendak cerita yang tinggi nilainya cari orang yang ada kebijaksanaan. Inilah yang sedang saya lakukan. Kalau seronok jangan berhenti membaca.
Tuah dan nasib penting dalam apa saja yang kita buat, ketika saya sedang mencari ‘ubat’ untuk bangsaku yang ‘sakit’ terutama para pemimpin, tak kira India, Cina dan Melayu nasib baik terjumpa dengan orang yang tak disangka-sangka, yang boleh dijadikan ‘role model’ tentang istilah ‘ketuanan Melayu’ yang tak menentu ada takpe, tak ada pun takpe, tak percaya ke?
Ketika ramainya penghuni kota yang ‘sakit jiwa’, lebih ramai rakyat Malaysia yang ‘sakit hati’ kerana tak mendapat penjelasan mengenai ‘ketuanan Melayu’ dan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa politik mempergunakan ‘ketuanan Melayu’ untuk kronis dan diri sendiri.
Memang seronok boleh ada pejabat di atas pencakar langit yang boleh melihat betapa indahnya Kuala Lumpur, tapi mungkin lebih sedap jika dapat jadi ‘tuan’ di tingkat empat tanpa berusaha. Bukan mudah mahu jadi boss di mana ‘Mat Salleh’ orang putih, Arab, Afrika sebagai pekerja tapi amat mudah memerintah mereka yang mahu hidup mewah tanpa titik peluh dan berusaha yang terdapat di keliling orang yang berkuasa. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘ketuanan Melayu’, yang bukan saja tidak disenangi oleh bukan Melayu tapi Melayu sendiripun yang sudah lebih 50 tahun merdeka tapi dianaktirikan kerana tidak berada dalam kumpulan elite yang menguasai politik hari ini.
Siapa pun tak marah Melayu jadi Pengerusi syarikat yang menjual kepakaran teknologi namun yang menyebabkan ramai yang ‘sakit hati’ dan ‘sakit jiwa’ apa pun tak tahu, tapi equiti 30 peratus yang sepatutnya dikongsi bersama-sama dengan setiap bumiputra, yang dapat cuma anak, menantu, kronis saja. Mereka yang ada ‘connection’ saja yang jadi kaya raya, jadi pengarah syarikat gergasi yang memakai nama Bumiputra telah dialibabakan, sedangkan mereka hanya alat semata-mata.
‘Coffee boy’ bukan Saiful ‘The International Coffee Boy Anwar Ibrahim’ membawakan kami dua cawan teh. Nadzru memulakan ceritanya dengan mengucapkan terima kasih pada Tun Razak yang mengambil alih dari Tunku Abdul Rahman. Selepas terjadinya peristiwa berdarah 13 May 1969, ramai Melayu yang berpeluang ke universiti, tidak sekadar di bidang sastera saja. Memang tak patut kalau kita tak tahu berterima kasih.
Cakap-cakap yang terkeluar dari mulutnya menunjukkan yang dia bangga menjadi Melayu ketika Melayu lain malu. Betapa hebatnya bangsa Melayu jika dikaji dari segi geografi dan bukannya politik. "Dari Sabang hingga ke Marouke di mana ada daun niur melambai-lambai, kerbau berkubang, di situlah tanah air ku." - Bung Karno. Melayu nusantara yang berada di gugusan kepulauan Melayu melebihi 500 juta penduduk, paling ramai penduduk Islam di dunia berada di Indonesia.
Mereka yang mengkaji sejarah Melayu, yang kenal siapa Tok Ku Paluh yang boleh menewaskan Armada British di Terengganu tahu ‘ketuanan Melayu’ berada di tangan ulama pewaris Nabi yang ditunjuk oleh Tuanku Sultan berunding dengan wakil Great Britain akhirnya mengalahkan British dengan menggunakan ‘karamah’ sahaja.
Nadzru kata, kalau tak adanya ITM yang memperkenalkan jurusan kejuruteraan kepada anak-anak Melayu, kalau dia tak menguasai bidang agama di sekolah pondok dan di madrasah dulu, mungkin dia tak berpeluang berniaga dengan Arab di Sudan dan Timur Tengah yang menghendakkan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Samakah orang yang berilmu dengan orang yang tak berilmu?
Dia memulakan perniagaan di luar negara dengan berbekalkan kepakaran kejuruteraan bila Pak Lah baru jadi PM 2004. Waktu itu bila Tun Mahathir berhenti selepas memegang jawatan selama 22 tahun, Pak Lah memberitahu tabung negara sudah kosong. Nadzru terus cari duit di luar negara, dia yakin Allah Maha Kaya, dia berhijrah, tak perlu minta projek dalam negara kalau tak kenal rapat dengan mereka yang ada kuasa.
Nadzru yang sejak kecil boleh menguasai tiga bahasa, Melayu, Arab dan Inggeris adalah anak seorang Tok Guru Madrasah di Kelantan, bukan dari keluarga Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri atau ada hubungan kronis dengan Menteri. Kekayaan yang diperolehi di luar negara hasil usaha sendiri tapi tetap mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai ‘homebase’ kepada perniagaannya. Alangkah beruntungnya Melayu jika ramai tokoh korporat yang berjiwa nasionalis dan patriotik sepertinya. Cintakan negara itu sebahagian dari iman, bukan asobiah yang mengutamakan puak dan kaum serta menindas, tidak berlaku adil pada kaum yang lain.
Sedang dia menceritakan peri pentingnya ilmu sains dan teknologi serta bahasa arab di bidang kejuruteraan dan kemahiran istilah yang memerlukan usul fikir. Seorang ‘mat salleh’ ketuk pintu, dia suruh jurutera yang membawa plan itu masuk, dia minta maaf kerana ada yang perlu diselesaikan, kemudian seorang lagi ‘mat salleh’ masuk menghulurkan kertas yang memerlukan tandatangannya, Mat Salleh tu keluar. Ini yang dikatakan kemajuan ‘cemerlang, gemilang dan temberang'.
Ramai ahli UMNO yang dapat kerusi politik menggunakan wang jadi Pengerusi beberapa syarikat gergasi milik bumiputra untuk tambah wang tetapi tetap hamba orang, tak pandai berniaga, yang pandai menutup penyelewengan dan pandai menjaga rahsia menteri yang tunggu masa nak kena buang.
Tiba-tiba saya teringat e-mail Dato Haji Ikram Bin Ibrahim dato_ikram@rahmanbrothers.com.my yang tulisannya telah pun saya siarkan dalam www.shalattas.com kini saya petik semula secara ‘cut’ & ‘paste’ kerana saya yakin pengalaman dari perbualan saya dengan Nadzru biarpun singkat mudah-mudahan boleh membuka minda Melayu yang tertutup rapat kerana tidak terbuka pada ilmu yang berada dikeliling mereka. Akibat tak suka membaca, lebih suka bercerita.
‘Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri’. - Al-Quran.
Sampai bila mereka yang tidak berpeluang menikmati equiti 30 % dari Dasar Ekonomi Baru terus ‘sakit hati’ dengan konsep ‘ketuanan Melayu’ tapi tak mahu mengubah nasib sendiri. Tuk nenek Nadzru dulu berhijrah ke Persekutuan Tanah Melayu, dia Melayu yang jiwa raga dan genetiknya bukan Melayu. Melayu campur Turki bangsa jadi Melayu.
"Berapa peratus orang-orang yang mendakwa mereka Melayu ada pertalian dengan 30 generasi orang Melayu yang pernah wujud di bumi ini? Mungkin 10% sahaja. Anda sendiri lebih rupa Arab dari Melayu.Darah Melayu anda mungkin 10% sahaja. Begitu juga Tun Mahathir, Ahmad Ismail, Pak Lah, Reezal Merican, Md Nor Yakop, Mohd Maidin, dan lain-lain semuanya adalah 2 atau 3 generasi sahaja berada di Malaysia." Itulah kata Ikram yang tak faham definasi Melayu mengikut Perlembagaan, sebab itu dia tak senang Melayu yang bangga dengan ‘ketuanan Melayu’ bukan tak mahu menjadi Malaysian, tapi persaudaraan Islam itu penting kerana kita jadi Melayu melalui integrasi perkahwinan.
Di mana kita pergi kita adalah warga negara Malaysia tapi ‘jati diri’ dan kuatnya semangat keMelayuan yang tertanam dalam diri sukar memisahkan Melayu bila memperjuangkan hak asasi bangsa sendiri. Tidak bererti yang kita tak mengamalkan sikap toleransi terhadap semua kaum di negara ini.
Ikhram ingat semua Melayu boleh faham bahasa Inggeris macam dia ke? "So, do not talk about Malay issues. forget about being proud of being a Malay because you and people like you are not really Malays, but Malay celop, I should say - Celop Arab, celop Mat Salleh, celop Siam, celop India dll. Let us talk as Malaysians."
Saya fikir Ikram ini sakit. Merepek meraban tak tentu bahasa ini pasal apa? Bebal kot?
Maka apakah kerana kita takut berdepan dengan Ikram dan kritikan oleh mereka yang ‘asobiah’, yang mengutamakan puak dan kaum mereka yang sudah jadi Malaysian kerana menolak pemimpin Melayu dulu yang dilabel celop maka kita tak buat apa-apa?
Bagaimana dengan pegangan bumi ini yang dipijak, langit ini yang mesti dijunjung? Apakah kerana kita bangga dengan menjadi Malaysian Malaysia kita hapuskan ‘ketuanan Melayu’ atau ‘totoknya’ ‘asobiah’ keMelayuan kita maka kita suruh orang Cina, India yang sudah 60 tahun menjadi rakyat negeri ini balik negeri seperti yang dilakukan oleh Adi Amin Uganda bila mereka mempersoalkan ‘ketuanan Melayu’?
Mengenai asal usul orang Melayu, memang betullah saudara kata tentang ‘Melayu celup’, berbeza dengan orang Arab dan orang Cina yang ada ‘seah’, mereka bangga dengan susur galur dan akar umbi keturunan mereka kerana mereka memberikan keutamaan kepada genetik supaya cicak mengkarung tak boleh sesuka hati mengaku dari ‘kabilah’ mereka.
Mungkin ada jenis Melayu dalam negara kita Malaysia ini yang tak tentu asal usulnya. Anak buluh betung ker, atau anak ayam terjumpa di tepi tong sampah, anak sapa ni? Ada orang yang kenal bapa kepada bapanya, kalau di tanya siapa bapa kepada toknya dia terpingga-pingga, geleng kepala, sedangkan kalau nak beli daging lembu di pasaraya di London kita berhak bertanya, siapa tok nenek lembu, takut daging yang kita nak makan tu ada genetik lembu gila.
Kalau ada keturunan lanun, perompak mana hendak mengaku.. tahu tak apa. Cakap Melayu pun lintang pukang. Sendiri punya diri, sendiri mahu ingatlah. Mentang-mentang terasa hebat, tulis ikut suka hati mak bapak dia aje. Jangan ikut bloggers gila. Orang berniaga kena jaga nama. Manusia mati tinggal dua benda, nama baik atau nama buruk.
Saya bukan ‘Arab celup’, Syed, dipangkal nama saya bukan ‘Syed’ mamak yang dilahirkan pada hari Jumaat, mengikut kepercayaan kaum yang bangga dapat anak hari Jumaat secara automatik anak jadi Syed tanpa nasab, tanpa salasilah.
Kunta Kinte seperti yang ditulis oleh Alex Haley tahu asal usulnya, mencari susur galurnya seperti yang dilakukan oleh Barak Obama orang kulit berwarna yang pertama menjadi Presiden Amerika yang ke-44 boleh menduduki rumah putih biarpun sepatutnya dinamakan Rumha Hitam kerana kini diduduki pemimpin keturunan Kulit Hitam.
Tidak mengapa siapa datuk nenek kita selagi kita bernama manusia. Kita adalah anak cucu Adam dan Hawa. Manusia yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang taqwa. Allah tak tengok rupa, Allah tengok hati. Tak kira berasal dari keturunan ‘mamak tongkang’ atau ‘Jawa’ yang datang dari tanah seberang. Siapa pun kita, yang bernama manusia, asal usul kita, kini kita semua adalah rakyat Malaysia. Malaysia boleh, mari kita adakan ‘cease fire’ seperti yang dilakukan oleh para blogger. Mari kita muhasabah diri kita.
"Katakanlah: ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari siapa yang kau kehendaki. Engkau muliakan seorang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".
Al-Quran 3:26
Dua belas tahun selepas Merdeka, Tunku Abdul Rahman yang memimpin UMNO ketika itu tidak mengamalkan konsep ‘totok’ asyik dengan ‘tak pa.. tak pa...’ akhirnya UMNO dan orang Melayu terus hanyut sehinggalah Tun Razak mengusulkan Dasar Ekonomi Baru.
Jangan salahkan Dasar Ekonomi Baru jika Melayu tertipu, yang salah sikap mereka yang tak bertanggungjawab. Ramai sangat yang jadi penyamun tarbus bila berkuasa. Hari ini hampir semua kalangan generasi Melayu yang Dato’ katakan sebagai memiliki "pendidikan yang tinggi, dengan pergaulan yang lebih terbuka dan dengan ‘exposure’ mereka kepada maklumat yang begitu luas, cara mereka berfikir dan bertindak adalah lebih strategik dan pragmatik".
Bolehkah Dato nafikan kejayaan ini adalah terhasil dari ‘ketotokan’ para pemimpin UMNO yang dimulakan oleh Tun Razak menerusi DEB serta semangat "ketuanan Melayu" yang ditanamkan oleh UMNO kepada jiwa dan hati orang Melayu." Di mana hari ini anaknya Dato Najib sudah pun menang kerusi Presiden UMNO tanpa bertanding. Menunggu final countdown untuk menggantikan Dato Seri Abdullah Badawi.
Bayangkan apa jadi pada orang Melayu kalau tidak ada ketotokan yang diamalkan oleh UMNO ini? Namun kerana sikap ‘tolerance’ sikap ‘tak pa... tak pa...’, Tunku Abdul Rahman dulu banyak sangat tolak ansur akhirnya Melayu tergelunsur. Apakah tak ada Melayu yang macam Tunku sebagai pemimpin UMNO hari ini?
Yang rosakkan UMNO, yang bunuh UMNO sebenarnya adalah pemimpin dan ketua orang Melayu sendiri bukan Melayu ‘totok’ yang cintakan bangsa melebihi diri sendiri. Yang merosakkan UMNO adalah pemimpin yang bila tak mendapat undi salahkan orang lain rasuah. Taukeh-taukeh Melayu yang cari makan dengan UMNO bila tak dapat projek UMNO dinista dan dicaci maki, dapat juta-juta, ratus juta lari sembunyi tak tolong parti sehingga orang Melayu hilang kepercayaan kepada UMNO lari kepada pembangkang tapi bila tersedar keluar dari mulut rimau masuk mulut buaya baru nak menyesali diri.
Ingatlah sikit pesan orang tua-tua. kalau sakit pergi cari ubat. Terasa diri banyak sangat dosa berhenti buat jahat. Pergi bertaubat. Barulah orang Melayu boleh selamat.
Cuma ada 50% orang Melayu di Malaysia ini, kalau kita tak berhati-hati, berapa ramai pelajar yang ada kreadibiliti, yang ada intigriti, keluar dari universiti luar negara, cakap Inggeris lintang pukang, ilmu terdapat yang tertulis pada scrool saja boleh kira dengan jari. Yang boleh diterima oleh syarikat bukan bumiputra, kalau tak boleh menguasai bahasa yang mereka kehendaki.
Tahukah pemimpin Melayu yang jual koyok kononnya nak jadikan Melayu sebagai ‘Malaysian Malaysia’, Berapa ramai Melayu yang ada exposure yang ada ‘leadership quality? Apa akan jadi dengan orang Melayu nanti kerana kebanyakan Melayu masih hidup dalam ‘comfort zone’ terutama golongan muda yang bergantung hidup dan masa depan pada kerajaan BN? Jika UMNO ditalkinkan sekali lagi atau jadi seperti cerita Gulliver's travel oleh Jonathan Swift.
Yesterday is History,
Tomorrow is mystery,
Today is a gift,
That's why it's called the present.
Unknown
Manusia hanya hamba Allah yang boleh disamakan seperti tukang kebun yang berkerja dengan tuan menjaga kebun dari zaman tok nenek, tapi bila dia sudah hilang kemahiran, tapi mahu tetap berdegil terus duduk di atas tanah yang jadi amanah kerana tok neneknya dulu pernah berkerja dengan tuan tanah maka tuan tanah berhak mengusir dia digantikan dengan tukang kebun yang baru.
"Allah sentiasa melihat setiap kebaikan, reformasi serta kacaubilau yang manusia lakukan di muka bumi ini.
Selagi kebaikan mereka melebihi kejahatan dan selagi belum ada orang yang lebih baik, Allah akan mengekalkan kedudukan mereka ini walaupun dengan jenayah dan dosa yang mereka lakukan. Tetapi imbangan pencapaian lebih
cenderung kepada kehancuran, Allah akan membuang mereka daripada kekuasaan. Di tempatnya akan digantikan dengan orang-orang yang lebih baik yang akan mengendalikan dunia ini dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Allah itu juga."
Jatuh Bangun Sesuatu Bangsa
Syed Abul Ala Maududi
Kenapa salahkan mereka yang mempertahankan 'ketuanan Melayu’ sedangkan musibah yang dilakukan oleh mereka yang mahu menggunakan 'ketuanan Melayu’ untuk agenda peribadi dan puak mereka yang menguasai equiti 30 % bumiputra untuk selama-lamanya. Membuat Melayu lain melopong terganga boleh tak menyingga?
Saya tak setuju dengan mereka yang cuba menggunakan ‘ketuanan Melayu’ ke atas pribumi yang sudah lebih 60 tahun hidup di negara samada China, Benggali atau India semata-mata kerana adanya kontrak sosial. Kita ikat ‘kontrak sosial’ rakyat dengan hati bukan dengan ‘kontrak sosial’?
'Be Godly, dont play God'. Amalkan sifat-sifat ketuhanan pemurah, pengasih, penyayang adanya rasa kepedulian dan sentiasa bersedia bermaaf maafan berbaik sangka dengan sifat loving, giving, caring, sharing and forgiving. Dengan adanya keadadilan, kedamaian akan muncul memadamkan permusuhan dan kebencian.
Kita berada di akhir zaman. Manusia sudah tak takut pada ugutan pemimpin yang berlagak macam tuhan pada hal mereka adalah Firaun yang mengaku tuhan dalam diri penuh dengan sifat-sifat kehaiwanan.
Rakyat bukan bodoh, mereka kenal siapa sebenarnya yang gila, yang hendak kekal sebagai perompak dan penyamun, menggunakan kuasa politik adalah satu perbuatan yang boleh menghancurkan bangsa dan negara.
Memperjuangkan ‘ketuanan Melayu’ bukan suruh menindas atau berlaku tidak adil kepada bangsa lain di dalam negara ini.
Dunia ini sementara, milik Allah yang Maha Esa. Kita diutuskan ke atas muka bumi ini untuk menyembah Allah SWT. Jangan sembah ego dan ikut kehendak hawa nafsu tanpa bertanya siapa kita sebenarnya sebelum orang tanya lu siapa? Jadi kaya macam mana? Kalau makan minum pun ditanggung oleh cukai hasil pendapatan ‘tax payer’, janganlah nak banggakan ‘ketuanan Melayu’?
Menurut pengalaman saya yang berulang-alik ke Afrika Selatan, yang kaya dengan perusahaan berlian dan emas, tetapi yang menguasai kekayaan negara itu adalah Yahudi. Orang kulit hitam yang bekerja sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, pengurus dan sebagainya hanyalah kuli kepada dua tiga kerat yang menguasai ekonomi negara mereka. Apa bezanya orang Melayu yang menjadi Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat-syarikat awam di Malaysia yang saham-sahamnya dikuasai oleh orang bukan Melayu.
Hari ini bila diperlukan kerana pengaruh dan kuasa, mereka jadikan macam ‘nasi lemak’ yang sedap dimakan tapi lepas makan, Melayu yang macam daun pisang layu yang membungkus nasi lemak akan dibuang dalam tong sampah, hendak dikitar semula tak laku, daun pisang berbeza dengan botol kosong biarpun sudah terbuang masih boleh dikitar semula.
Cerita rakyat peribumi Afrika Selatan dengan rakyat peribumi Malaysia sama sahaja. Di Afrika Selatan pun ada orang Melayu. Mereka adalah kaum minoriti. Di Malaysia juga walaupun orang Melayu bukan kaum minoriti tapi kita bukan juga kaum majoriti. Kuasa politik pun tinggal macam minyak dalam kereta yang hampir hendak kering sedangkan perjalanan masih jauh lagi. Perjuangan masih belum selesai, bila Mahathir hendak selesaikan dengan Pak Lah?
Apakah kerana di negara kita ini ramai orang Melayu ‘Melayu celup’ yang sanggup jadi hamba kepada orang bukan Melayu, macam juga di Afrika Selatan kita semua mesti berpeluk tubuh dan matikan rasa ‘kepedulian’ terhadap bangsa kita dan kita pun turut takut hendak memperjuangkan ‘ketuanan Melayu’?
Kasihan... nampaknya Dato’ tak faham apa itu yang dikatakan "ketuanan Melayu"? Ketuanan Melayu itu adalah konsep Islam yang bermaksud "khalifatullah", bermaksud bahawa setiap manusia itu adalah ‘tuan’ yang berjaya memimpin dirinya, yang berjaya mengangkat dirinya menjadi ‘insanul kamil’’, manusia suci yang menjadi bayangan Tuhan di atas muka bumi. Ketua yang sentiasa berlaku adil, tidak angkuh, tidak bakhil, menjadi pewaris Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat kepada sekian alam. Allah huma soli ala Muhammad wa ala Ali Muhammad.
Firman Allah:
"Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan engkau kahlifah di bumi, maka hukumlah antara manusia dengan kebenaran, dan jangan engkau turut hawa nafsu, nanti ia sesatkan engkau dari jalan Allah...." (As-Saad : 26)
"Dan ingatlah ketika Nabi Ibrahm diuji oleh tuhan dengan beberapa khalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahimpun menyempurnakannya. Setelah itu Allah berfirman "Sesungguhnya aku melantik mu menjadi 'imam' (pemimpin ikutan) umat manusia..."(Al-Baqarah:124)
"Dan Nabi Daud membunuh Jalut dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya kuasa pemerintahan (Raja)". (Al-Baqarah:151)
Bercakap dalam kerangka hujah, cemuhan dan istilah Dato’ sendiri, iaitu UMNO ‘totok’ dan siapakah yang boleh mengaku diri sebagai ‘Melayu’, terlebih dahulu Dato’ perlu tahu definasi Melayu mengikut perlembagaan. Agaknya Dato’ juga terlupa kerana ketotokan UMNO itulah hari ini ada orang Melayu yang berjaya seperti Dato’, Nadzru dan lain-lain tokoh korporat.
"Bersyukur dengan yang sedikit Tuhan akan menambah, seandainya anda tak bersyukur anda akan dilaknat."
Begitulah maksud Al-Quran.
Saya bukan ahli UMNO, UMNO tak suka penulis macam saya yang tak mahu bertuankan manusia. Cukuplah Allah SWT sebagai Tuhan yang ku sembah. ‘La ila ha illallah Muhammadul Rasulullah.’ Tiada Tuhan yang ku sembah melainkan Allah. Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah SWT.
Pesan orang tua-tua kerana pulut santan binasa kerana menulis ikut sedap hati kena tahan ISA akhirnya baru padan muka. Saya sendiri pun pernah di arahkan membayar RM1.5 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sewaktu mempertahankan UMNO, Team A berlawan Team B. Kalau itu dianggap ‘totok’ maka ‘totoklah’ saya, biarpun ibu kepada ayah saya berasal dari Jawa, saya bukan ‘Jawa totok’. UMNO ‘totok’ o.klah.
Mungkin saudara terlupa, definisi orang Melayu dalam negara ini ialah seperti dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebab itu kalau orang Cina masuk Islam dulu kita sebut dia ‘masuk Melayu’, ‘bersunat’ dikata ‘masuk jawi’, sebab bila masuk Islam, dia kena hidup cara Melayu kerana di Malaysia ini Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Biarpun mungkin Islamnya di kad pengenalan maklum kita kekurangan ‘dai’ dan susah nak cari orang yang kita yakin yang dia mengamalkan keIslaman mengikut syariat, hakikat, tarikat dan makrifat. Bukan mudah hendak cari orang Melayu yang ikut adat istiadat Melayu, di mana agama dijunjung adat dikelik. Yang ini saya setuju jika adanya ‘Melayu celup’ tapi susah nak cari Arab dan Cina celup. Mereka ada salasilah, ada akar umbi dan susur galur.
Saya mempunyai ‘salah silah’ yang sampai ke Nabi Muhammad SAW, keturunan dari Saidina Hussein anak kepada Saidina Ali sepupu Nabi yang bernikah dengan Fatimah Az-Zaharah anak perempuan Nabi Muhamamd SAW dari bani Hashim, Arab dari kaum Quraish. Kalau saudara anggap saya ‘Arab celup’, saudara menghina datuk nenek saya yang tak berdosa dengan saudara.
Datuk saya Almarhum Habib Omar bin Abdul Rahman ‘Sahibul Ratib’, mereka yang mengamalkan ‘Ratib Al-attas’ kenal siapa tok nenek saya. Maka saya kira saudara sudah bersedia menanggung dosa kerana menghina orang yang tak berdosa dengan saudara seperti yang dilakukan oleh Raja Petra terhadap YB Dato Syed Ali Al-Habshi yang mengatakan Syed Ali keturunan Habshi dari Afrika sedangkan datuknya adalah seorang awlia Allah yang mempunyai karamah yang luarbiasa.
Tahukah saudara keluarga saya Haidir Abu Bakar Al-Attas pernah menjadi Presiden di Yaman Selatan dan manten Menteri Luar Indonesia Syed Ali Al-Attas adalah zuriat dari Habib Umar Bin Abdul rahman Al-Attas. Kami bukan arab celup.
Bapa kepada ibu saya arwah Sharifah Zainah ialah Dato Syed Hassan bin Ahmad Al-Attas pengasas madrasah Al-attas dan Kuliyyatul Attas Kolej Islam yang pertama di Malaysia, ada hubungan rapat dengan Almarhum Ahmad datuk Sultan Ahmad Shah Sultan Pahang hari ini.
Kalau nak kira rumpun bangsa paling awal datang dan menetap di Malaysia ini mungkin orang Asli. Tetapi kenapa mereka tidak diberikan takrif dan taraf orang Melayu kalau bukan kerana Melayu itu Islam dan semua Raja-Raja Melayu itu Islam? Sebab itu setiap rakyat menggunakan bahasa Tuanku kepada Raja-Raja Melayu kerana hidupnya ‘ketuanan Melayu’ sebagai institusi Raja Berpelembagaan.
Dari segi genetik saya bukan ‘Arab celup’, ‘Melayu celup...’ mungkin, celup pun celuplah. Saya tak malu jadi Melayu selagi Melayu belum dipisahkan dari Islam. Melayu adalah satu-satunya bangsa di dunia yang diiktiraf Islam. Orang Arab yang Nabinya bangsa Arab, Al-Quran bahasa Arab, masih tercari-cari identiti bangsa Arab sebab itu mereka masih berperang sesama sendiri.
Berfikirlah.....Berfikir sesaat sama seperti beribadat seratus tahun....
Bersambung......
http://www.shalattas.com
No comments:
Post a Comment