20081127

Adun PAS Nafi Wujud Desakan Supaya Nik Aziz Berundur

KOTA BAHARU, 26 Nov (Bernama) -- Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat hari ini menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Nik Mat berundur dari jawatannya.

Malahan beliau, yang juga ADUN Pulai Chondong, berkata pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama.

"Sepatutnya Tok Guru (Nik Abdul Aziz) memerintah lebih lama lagi. Tiada pakatan untuk gesa tok guru berundur sama ada secara sulit atau tidak," katanya kepada pemberita selepas taklimat Homestay anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang "tidak sabar" untuk melepaskan jawatan itu jika Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan daripada Pas memintanya berbuat demikian semalam.

Sebelum ini, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan "pada masa gemilang beliau" dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui kerajaan Kelantan.

Malahan, menurut laporan Mingguan Watan itu, golongan berkenaan mahu Nik Abdul Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Sementara itu, ADUN Pas Bukit Tuku, Abdul Fatah Haron meminta pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil ke hadapan agar bersuara mengenai gesaan itu.

"Tidak ada sebab kami mahukan tok guru berhenti. Tok guru memang dikenali sebagai bapa perpaduan. Kami tidak mahu dia berhenti," katanya.

ADUN Tawang, Hassan Mohamood berkata isu gesaan itu tidak pernah dibangkitkan di kalangan ADUN Pas kerana mereka akan menyokong Nik Abdul Aziz sehingga akhir hayatnya.

"Kita sokong Tok Guru sampai mati. Semua terus sokong," katanya sambil menyifatkan gesaan itu datang daripada pihak luar dan bukan di kalangan ADUN Pas.

-- BERNAMA

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com