20081117

Ong Kesal Dengan Tuduhan Melulu Kerajaan Pulau Pinang

PULAU PINANG, Nov 17 (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat menegur kerajaan negeri Pulau Pinang yang membuat tuduhan melulu bahawa projek pembinaan landasan kereta api berkembar menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini banjir.

Beliau yang kesal dengan perkara itu berkata siasatan yang dijalankan kementerian mendapati projek itu tiada kaitan langsung dengan banjir yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini.

"Saya tidak akan menunding jari pada mana-mana pihak tetapi ingin menjelaskan bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng itu tidak benar sama kali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-49 Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Malaysia, di sini Isnin.

Ong berkata, kontraktor utama yang dilantik bagi projek itu, MMC Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MMC-Gamuda JV) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut kesal dengan arahan supaya kerja pembinaan diberhentikan.

Pada 22 Okt lalu, kerajaan negeri mengarahkan KTMB memberhentikan pembinaan landasan kereta api berkembar berkuatkuasa serta-merta atas alasan ia menyebabkan banjir.

Projek berkenaan bermula Januari lalu dan dijangka siap pada awal 2013, membabitkan kos RM12.485 bilion.

Dalam pada itu, Ong menggesa lebih banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat korporat tampil dalam usaha memupuk amalan dan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya di kalangan orang ramai.

Katanya, penglibatan mereka itu bukan lagi sebagai penaja seperti yang dilihat selama ini tetapi perlu lebih fokus dalam mewujudkan kesedaran awam mengenai betapa pentingnya untuk tidak mengabaikan keselamatan di jalan raya.

"Biasanya kita nampak mereka ini sebagai penaja bersama sahaja. Tetapi saya ingin mengumumkan di sini bahawa NGO dan syarikat korporat dibenar menganjur program dan kempen yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com