KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Bekas anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC Datuk V.K.K. Teagarajan mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden parti dalam pemilihan MIC dijadualkan September tahun depan.
Bercakap kepada Bernama, bekas presiden Gabungan Dewan Perdagangan dan Perindustrian India Malaysia itu berkata, parti itu yang kehilangan sokongann masyarakat India Malaysia pada pilihan raya umum 8 Mac, perlu "mendapat suntikan baru dan diperkasakan kembali".
"Saya mengisytiharkan hasrat saya ini selepas berbincang dengan para penyokong saya dan anggota parti amnya.
"Mereka berpendapat mesti ada darah baru dalam parti dan dengan ini saya menawarkan diri untuk jawatan timbalan presiden," kata ahli perniagaan berusia 60 tahun itu.
Tidak seperti jawatan presiden, seseorang yang ingin bertanding jawatan timbalan presiden, tiga naib-presiden dan 23 anggota CWC, memerlukan hanya satu pencalonan untuk layak bertanding.
Bagaimanapun, untuk bertanding jawatan presiden, seseorang calon perlu mendapat 50 pencalonan dan setiap pencalonan mesti disertai seorang pencadang dan lima penyokong dengan semua pencadang dan penyokong adalah pengerusi cawangan.
Sementara presiden akan dipilih oleh kira-kira 3,200 pengerusi cawangan, semua jawatan kebangsaan yang lain akan dipilih oleh kira-kira 1,400 perwakilan di perhimpunan agung parti tahun depan.
Teagarajan, yang menyertai parti politik India terbesar dalam negara pada 1987, bertanding jawatan naib-presiden pada pemilihan paling akhir parti pada 2006 tetapi menduduki tempat keempat.
Pada 2003, beliau mengemukakan kertas pencalonan untuk jawatan naib tetapi menarik balik tidak sampai tujuh jam selepas itu setelah dipujuk oleh presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu.
Teagarajan, bekas senator yang berkhidmat sebagai ketua penerangan parti pada 2003, telah dipilih ke CWC, badan tertinggi pembuat keputusan parti, pada 1997 dan memegang jawatan itu hingga 2003.
Dengan pengumuman itu, beliau menjadi pemimpin kedua MIC mengumumkan hasrat bertanding jawatan penting parti.
Minggu lepas, bekas naib-presiden Datuk M. Muthupalaniappan mengisytiharkan diri bertanding jawatan utama parti itu.
Pada pemilihan parti 2006, timbalan presiden sekarang Datuk G. Palanivel mengalahkan penyandang Datuk S. Subramaniam yang menjadi timbalan presiden selama lebih 20 tahun.
Perebutan jawatan nombor dua parti itu dijangka sengit oleh kerana Samy Vellu pernah memberitahu beberapa orang pemimpin bahawa beliau akan mengosongkan kerusinya sejurus selepas pemilihan MIC dan menyerahkan kepada timbalan presiden untuk memangku jawatan presiden.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment