20081124

ISA: GMI cabar Pewaris, Dr. Maamor

(Hrkh) - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mencabar Majlis Permuafakatan Ummah atau Pewaris untuk bersemuka bagi membincangkan isu-isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, GMI terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya, Dato' Dr Maamor Osman yang tidak mendapat maklumat tepat mengenai Akta drakonian itu.

"Mungkin maklumat tersebut tidak tepat, hanya mendapat info daripada sebelah pihak sahaja. Sepatutnya mereka kena pergi bertemu sendiri dengan tahanan ISA dan keluarga mereka," katanya.

Tambahnya, Pewaris perlu menyemak terlebih dahulu sesuatu kes sebelum mengenakan tindakan ISA bagi menjamin keadilan dan hak semua bangsa terpelihara. Image

"Saya juga sedih dengan penglibatan Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM) dalam Pewaris yang memperjuangkan isu yang menindas masyarakat umum melalui akta yang zalim ini," katanya.

Dalam Islam, tidak ada sesiapa yang bersalah sehingga dibuktikan ianya bersalah yakni menerusi siasatan dan perbicaraan bagi memberikan haknya untuk seseorang membela diri, kata Syed Ibrahim.

Terdahulu, Maamor yang juga merupakan Setiausaha Agung PPIM mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan supaya mengekalkan penggunaan ISA bagi menjamin keharmonian negara ini daripada diganggu-gugat oleh anasir-anasir jahat.

"ISA masih relevan dan melalui ISA, keharmonian negara dapat dikekalkan, dan dalam prinsip Islam pencegahan adalah lebih baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pewaris di Wisma Sejarah semalam. Image

Selepas mesyuarat itu, Maamor dan 100 anggota Pewaris berarak dari Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak menuju ke Balai Polis Jalan Tun Razak, di Jalan Ampang untuk membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pihak yang memainkan isu-isu perkauman.

Maamor bagaimanapun enggan memberikan nama-nama individu yang didakwa mereka memainkan isu perkauman yang dinyatakan dalam laporan polis itu.

Dilaporkan kekecohan juga tercetus pada awal perhimpunan apabila peserta perhimpunan bertindak memukul beberapa individu yang lalu lalang di kawasan perhimpunan iaitu di Wisma Sejarah.

Pihak polis didakwa hanya duduk berehat di perkarangan jalan bangunan Bernama yang terletak berhampiran bangunan Wisma sejarah itu.

Insiden tersebut menimbulkan rasa kurang senang apatah lagi sepanduk dan kain rentang yang dipamerkan menyebabkan mereka yang melalui kawasan tersebut bertindak mengeluarkan kata-kata yang tidak sesuai. Image

Antara kata-kata pada sepanduk tersebut yang mengundang provokasi adalah 'Bubarkan Majlis peguam', 'Yes to ISA', 'bebaskan Dato' Ahmad Ismail' dan 'tanah Malaysia tidak perlukan babi import sahaja babi daripada luar'.

Selain itu turut kelihatan sepanduk 'pengkid haram : bukan Islam jangan masuk campur hal Islam', 'jangan sentuh ketuanan melayu', 'surau dan masjid dirobohkan atas kesan pembangunan - kenapa kuil tidak?' dan jangan gadaikan maruah melayu demi kepentingan politik peribadi.

Terdapat juga sebuah kain rentang yang paling besar berbunyi:'kekalkan ISA demi keamanan, keselamatan dan kemakmuran' dipasang menutupi bangunan Wisma Sejarah.

Kebanyakan peserta yang berarak memakai kemeja-t berbunyi yes to ISA dan kain pengikat dahi berwarna kuning bertulis 'hidup melayu, hidup Islam'.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com