20081117

Komposisi Penuh J/kuasa Pemantau Dasar Kerajaan MCA Selepas Penubuhan J/kuasa Perhubungan Negeri

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Biro Pemantau Dasar Kerajaan yang baru ditubuhkan oleh MCA akan mendapat komposisi penuh anggotanya hanya selepas pembentukan jawatankuasa badan perhubungan negeri-negeri.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari Isnin berkata ini kerana setiap jawatankuasa badan perhubungan negeri akan mempunyai seorang anggota dalam biro itu bagi memastikan keberkesanan biro itu dalam mengenal pasti sebarang kelemahan dalam dasar tertentu kerajaan.

Biro yang diterajuinya itu akan dianggotai profesional dalam pelbagai bidang dan juga akan mempunyai laman web untuk membolehkan orang ramai menyuarakan masalah dan aduan mereka mengenai dasar kerajaan yang tidak adil, katanya.

"Fungsi biro ini, sepertimana namanya, ialah memantau dasar-dasar kerajaan. Kami juga akan memantau prestasi dan keberkesanan kementerian dan ini termasuk kementerian yang diterajui pemimpin MCA. Mereka juga tidak terkecuali daripada kritikan membina.

"Selain daripada dasar, kami juga akan memantau peruntukan yang disalurkan kepada semua kementerian. Kami juga akan mendapatkan pandangan mereka yang menggubal dasar berkenaan. Tugas ini akan dilakukan secara profesional," katanya kepada pemberita di ibu pejabat MCA di sini.

Dalam perkembangan lain, Dr Chua, yang dipilih timbalan presiden pada bulan lepas, memberikan reaksi lebih diplomasi ketika diminta mengulas "perang mulut" antara beliau dan presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat.

Ditanya sama ada beliau bersedia berdamai dengan Ong dan bekerja untuk mendapatkan kembali sokongan kaum Cina Malaysia, yang menyisihkan parti itu pada pilihan raya umum Mac lepas, katanya: "Berbeza pendapat adalah perkara biasa.

"Ini lebih-lebih lagi dalam parti besar seperti MCA. Kita tidak dapat lari daripada mempunyai perbezaan pendapat dan tidak semestinya bersetuju dalam semua perkara. Jika parti ini tidak mempunyai perbezaan pendapat, dengan itu barulah tidak normal... dengan itu kita semua akan menjadi pak turut.

"Pandangan kami mesti menyeluruh. Sebarang pandangan anda juga perlu mengambil kira pandangan orang lain, dengan itu baru lagi parti boleh maju ke depan."

-- BERNAMA

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com