20081124

Kempen mansuh ISA, polis tak patut halang

Mohd Khalil Abdullah, Harakah

Walaupun berdepan dengan keengganan pihak polis dalam memberikan permit dan berisiko menghadapi tindakan, namun Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tetap komited untuk meneruskan program yang telah dirancang.

Selain itu, prosedur untuk menganjurkan perhimpunan telah dibuat dengan baik dan sewajarnya program yang bertujuan baik tidak wajar dihalang.

Demikian pandangan dan ketegasan yang diutarakan oleh Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh apabila diminta untuk mengulas mengenai keengganan pihak polis dalam mengeluarkan permit bagi program 'Pelancaran Kempen Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)' Ahad ini (esok).

Menurut Syed Ibrahim, pihaknya kesal kerana telah membuat permohonan dengan baik untuk mendapatkan permit bagi program tersebut.

"Kita akan teruskan (program tersebut). Permit ini untuk maklumkan sahaja. Polis tidak patut halang," katanya semasa dihubungi lewat petang semalam.

Menurut Syed Ibrahim alasan pihak polis bahawa program mereka akan menganggu ketenteraman awam dan menyebabkan kesesakan lalu lintas tidak boleh diterima.

Ini disebabkan,katanya, pihak GMI telah meminta bantuan penganjur bersama program berkenaan iaitu Pemuda PAS untuk membantu dengan menggunakan Unit Amal bagi mengawal kedua-dua situasi tersebut.

Katanya lagi, Pemuda PAS sebagai penganjur bersamanya, akan mengerahkan pasukan Unit Amal mereka bagi memastikan perhimpunan berlangsung dengan aman dan tiada kesesakan lalu lintas.

"Kita minta kerjasama polis. Ia akan jadi perhimpunan yang baik dan aman," katanya.

Majlis tersebut dijangkakan akan dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang akan melancarkan kempen tersebut di Dataran MPAJ, Pandan Indah pada jam 9 malam esok.

Kempen anjuran GMI bersama parti-parti pembangkang itu adalah bagi mendesak kerajaan untuk memansuhkan ISA yang merupakan antara tinggalan zaman penjajahan British lalu.

Selain Anwar, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang dijangka hadir dalam majlis berkenaan beserta pimpinan pelbagai peringkat dalam parti pembangkang dan NGO-NGO.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com