20090104

2009: Pemulihan BN harapan semua

Oleh: Badrul Hisham Abdul Aziz

Tepat jam 12 tengah malam ini merupakan detik penutup tirai tahun 2008 dan sesaat kemudiannya memulakan langkah baru ke tahun 2009. Sambutan detik 12 malam yang seperti lazimnya diadakan di seluruh negara dan dunia lebih tertumpu kepada acara-acara hiburan dan yang berkaitan dengan kegembiraan.

Ketibaan tahun baru juga dikaitkan dengan harapan, cita-cita dan azam - walaupun 'keinginan' itu kadangkala bertahan sepanjang bulan Januari sahaja.

Walaupun bagi kebanyakan orang, tahun baru adalah tanggal 1 Januari, namun bagi umat Islam, 1 Muharram adalah permulaannya dan bagi kali ini, 1 Muharram 1430 yang disambut sebagai Maal Hijrah ialah pada 29 Disember 2008.

Kini, 1 Januari muncul kembali, Apakah yang menanti kita pada tahun baru 2009 ini? Yang pasti satu Akta Pengangkutan Jalan yang dipinda baru-baru ini, akan dikuaatkuasakan iaitu mewajibkan pemakaian talipinggang keledar bagi penumpang belakang kereta (termasuk van dan pacuan empat roda).

Walaupun mendapat pelbagai pandangan termasuk rasa tidak setuju dan ketidakpastian siapa yang akan dikenakan saman iaitu penumpang yang engkar atau pemandu selaku pengendali utama kenderaan, akta ini tetap dikuatkuasakan kerana pihak berkuasa berpendapat ia wajar.

Dengan penguatkuasaan ini, orangramai hendaklah lebih berwaspada terhadap peraturan ini kerana pihak berkuasa telah lama mewar-warkannya dan tidaklah boleh sesiapa memberi alasan tidak mengetahui mengenai peraturan terbaru ini. Saman tetap saman dan jumlah saman itu patutlah dielakkan kerana boleh dihalakan untuk membiayai pembelian pakaian dan buku sekolah anak-anak.

Walaupun yuran pelajaran sudah ditiadakan dan buku teks pula dipinjamkan oleh Kementerian Pelajaran, ibu bapa masih terasa 'senak perut' menyediakan pakaian dan buku tulis serta alat tulis. Jika seorang pelajar memerlukan RM100, bayangkan jumlah yang perlu diasingkan jika sesuatu keluarga mempunyai lima orang yang bersekolah.

Ini belum mengambil kira lagi perbelanjaan poket harian serta tambang bas yang pasti tidak akan turun walaupun harga petrol dan diesel trelah beberapa kali dirunkan. Ura-ura yang didengar ialah tambang akan dinaikkan tidak kurang daripada 30 peratus.

Walaupun banyak bidang menjanjikan pelbagai kemungkinan, arena politik tetap mendapat tempat teratas di negara kita. Pada tarikh 17 Januari nanti, perhatian tentulah tertumpu kepada Kuala Terengganu. Di situ akan diadakan pilihanraya kecil peringkat Parlimen ekoran kematian wakilnya, Datuk Razali Ismail baru-baru

Walaupun pilihanraya hanya diadakan pada tarikh tersebut, kerja-kerja awalan telah bermula lebih awal dan menjelang tarikh penamaan calon, ia pasti lebih hebat,

Pilihanraya kecil ini sangat bermakna kerana ini adalah pilihanraya kecil peertama yang sebenar selepas pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac lalu. Dikatakan pilihanraya kecil pertama kerana peristiwa yang sama di Permatang Pauh adalah pilihanraya dirancang dan diketahui umum memang cenderung kepada tokoh yang bertanding iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di Kuala Terengganu, walaupun sebelum ini dikuasai Barisan Nasional melalui UMNO, pilihanraya kecil kali ini belum tentu menjanjikan apa-apa kepada sesiapa. Sungguh boleh dilihat sebagai kubu BN, kebangkitan pembangkang selepas kemenangan mengejutkan di seluruh negara sebelum ini tidak boleh dipandang sepi.

Oleh itu, UMNO pastinya perlu bekerja keras untuk mengekalkan kerusi itu manakala MCA pula perlu membuktikan kesetikawanan mereka dengan meraih sebanyak mungkin undi untuk BN. Faktor ini juga menjadi tugas berat kepada Datuk Seri Ong Tee Keat kerana beliau juga perlu membuktikan kehebatan dan kemampuannya selaku presiden parti yang baru. Beliau harus menebus kelemahan MCA sebelum ini. Begitu juga dengan timbalannya, Datuk Dr Chua Soi Lek yang tidak memegang jawatan penting dalam parti dan dalam kerajaan. Beliau tentu akan membuktikannya!

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang pertama kalinya akan mengetuai jentera negeri pasti mahu membuktikan kemampuannya sebagai orang nombor satu kerajaan negeri selepas mengambilalih jawatan daripada Datuk Seri Idris Jusoh.

Ahmad Said tidak boleh kecundang di Kuala Terengganu kerana itu akan memberi kesan kepada kepimpinannya manakala bekas Menteri Besar pula perlu memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi bagi membuktikan taat setianya kepada parti dan perjuangan bangsa.

Sementara itu, bidang ekonomi tidak boleh dipisahkan dari politik, kerana kedua-duanya saling berkaitan dan saling memerlukan.

Tatkala harga kelapa sawit dan getah merudum, harga minyak kelihatan mengarah ke stabil. Namun, menurut telahan para pakar dan pengalisis, tahun .2009 menjanjikan harga yang baik bagi besi. Setelah menjunam sehingga 70 peratus harganya sejak Julai 2008, mereka yakin ia akan melonjak kembali pada tahun hadapan berdasarkan permintaan yang semakin meningkat.

Bagi harga sawit pula ia akan diperbaiki dengan penggunaan bio-disel sawit kenderaan kerajaan seawal Januari walaupun pada awalnya direncanakan pada akhir suku pertama tahun 2009. Langkah menggunakan bio-diesel diharap akan meningkatkan penggunaan sawit sebagai bahan sumber.

Dalam industri pembinaan pula, banyak pihak terus membayangkan 'cuaca suram' akan menyelubunginya. Justeru, tidak banyak pembangunan yang diduga akan mengambil tempat, sebaliknya menurut penggiat industri berkenaan, harga barang-barang pembinaan dijangka bertahan jika tidak turun.

Dalam bidang pertanian pula, akhir tahun 2008 membuktikan harga baja sudah mulai diturunkan. Baja penggalak buah yang dahulunya dijual dengan harga RM180 bagi sekampit 50 kilogram, kini boleh dibeli dengan hanya RM130.

Namun begitu, bagi para petani yang cukup gigih pada akhir 2008, pasti akan menyambut kedatangan 2009 dengan puas dan senang hati kerana harga beberapa hasil pertanian agak tinggi masa ini. Harga borong kacang panjang umpamanya mencecah RM4.00 sekilogram berbanding RM2.50 sahaja sebelumnya.

Jika kacang panjang dijual secara runcit, RM6.00 sekilogram, cili padi kampung mencecah RM20.00 sekilogram. Cili merah pula harganya sehingga RM16.00 sekilogram. Yang menanam sekarang dan menunai tahun depan, pasti akan tersenyum lebar.

Selain politik di Kuala Terengganu, Perhimpunan Agung UMNO pada Mac 2009 nanti, pasti menjadi fokus utama semua pihak di peringkat kebangsaan pula. Melalui perhimpunan agung yang akan menyaksikan pemilihan di peringkat tertinggi parti, umum tentunya amat tertunggu-tunggu siapakah yang akan menang jawatan Timbalan Presiden parti kerana jawatan itu selalunya adalah landasan untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Mac dan Perhimpunan Agung UMNO juga dinanti-nantikan kerana bermula di situlah akan berlakunya peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada penggantinya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peralihan kuasa itu juga kelak pastinya akan melibatkan rombakan kabinet ekoran barisan kepimpinan baru UMNO yang melalui proses pemilihan. Selain bakal berlaku pertukaran portfolio, pasti ada juga pertukaran tokoh.

Sekiranya tiada apa-apa rombakan kabinet ekoran percaturan komponen BN kini, peralihan kuasa Mac nanti pasti melibatkan juga tokoh-tokoh dalam parti-parti berkenaan, khususnya MCA di bawah presidennya yang baru, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Apa lagikah yang akan berlaku pada tahun 2009 ini? Banyak orang berkata, hanya Allah sahaja yang mengetahui, tetapi ada pakar meramalkan tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa, Ampang Selangor, akan berulang dalam masa enam bulan lagi. Jika benarlah itu yang akan berlaku, satu lagi musibah boleh dielakkan jika tindakan proaktif diambil.

Dalam bidang sukan, perhatian tentulah terus kepada bolasepak. Pencapaian pasukan negara pelbagai peringkat yang tidak menonjolkan sebarang peningkatan sepanjang 2008 atau sebelumnya akan terus diperhatikan oleh para peminat tanahair.

Dalam masa yang sama putera badminton negara, Lim Chong Wei dan puteri skuasy Nichol David yang kedua-duanya bergelar 'Datuk' awal-awal lagi menyatakan cabaran paling berat untuk digalas ialah mengekalkan pencapaian masing-masing.

Semangat seperti ini tentulah wajar diterapkan dalam jiwa setiap orang kerana dengan demikian, kita akan sentiasa berusaha untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Semoga 2009 menjanjikan sesuatu yang lebih baik.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com