20090102

Kesengsaran Palestin Tidak Terjawab ?

Dr Novandri Hasan Basri

Pihak Zionis Israel mahu kekejaman mereka dilihat sebagai ‘act of defence’ dan di antara lain, mereka memperalatkan Resolusi 1559 anjuran Bangsa-bangsa Bersatu untuk melancarkan serangan.

Resolusi 1559 diluluskan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2hb September 2004 yang di antara lain menetapkan ‘pengunduran tentera-tentera asing daripada bumi Lebanon’ dan ‘pelucutan serta perletakkan senjata semua militia di Lebanon’

Oleh kerana masih wujud militia Hizbullah dan militia yang lain, maka tindakan pihak Zionis dihalalkan!

Akibat daripada sandiwara Israel tersebut, dunia telah dikelirukan.

Yang paling mengaibkan sekali, pemimpin-pemimpin negara kuasa terbesar dunia turut melaung-laungkan kronologi songsang ini. Yang terpampang di dalam suratkhabar harian di dunia hari ini ialah rakyat Palestin dan Lebanon yang mengundang bala.

Akibatnya, segala malapetaka yang menimpa rakyat Palestin dan Lebanon serta pencerobohan tentera Israel berlaku seolah-olah disebabkan oleh rakyat itu sendiri.

Padahal jika kita perhatikan fakta-fakta sejarah, segala kesengsaraan rakyat Lebanon dan Palestin telah dimulakan oleh rejim Zionis itu sendiri !

Realitinya, kita masih ternanti-nanti suatu jenis tindakan yang efektif, segera dan mungkin radikal untuk mengatasi masalah di Timur Tengah itu. Diantaranya:-

1. Suatu jenis mekanisme patut dibentuk untuk berada di tengah-tengah dua negara yang bertelingkah ini. Mekanisme ini akan dipertanggungjawab untuk memastikan tiada lagi pencerobohan dan pembunuhan di antara mereka. Hanya selepas itu, kedua-dua pihak patut bersua-muka dan berbincang untuk bersama-sama mengatasi isu mereka.

Contoh terbaik ialah Resolusi 425 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa penggunduran Israel dan juga pembentukan Pasukan Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lebanon pada tahun 1978.

2. ‘Kuasa rakyat’ penduduk dunia perlu dilaung-laungkan di dalam satu suara yang bersatu padu. Protes dan tunjuk perasaan perlu melibatkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, usia, agama dan bangsa.

Ada baiknya jika pemimpin-pemimpin politik di negara ini dapat mengenepikan perbezaan politik mereka buat seketika dan bersatu tenaga serta hati di dalam menggerakkan suara rakyat Malaysia.

Realitinya, kita sendiri yang terlebih dahulu perlu bersatu padu dan mantap sebelum kita melaung-laungkan kerjasama di antara negara-negara Islam dan seluruh dunia.

Tun Dr Mahathir pernah berkata ‘In any struggle, in any war, nothing is more important than concerted and co-ordinated action. A degree of discipline is all that is needed.’

Penulis pasti bahawa rakyat sedang menanti-nantikan saat dan ketika berlakunya penyatuan suara serta tindakan di antara parti-parti politik di negara ini.

3. Mengimbangi kuasa Amerika Syarikat dengan mengurangkan pergantungan ekonomi dunia kepada negara tersebut. Kaedah unortodoks atau radikal yang pernah diusulkan ialah menggunakan matawang lain seperti ‘dinar OIC’ atau pun Euro sebagai alternatif kepada dollar Amerika terutamanya perdagangan minyak yang di monopoli oleh negara-negara di bawah OIC.

Seperkara lagi, kita, terutamanya generasi muda, perlu betul-betul faham mengenai kronologi krisis Palestin-Israel-Lebanon yang berlaku di Timur Tengah ini.

Terdapat isu-isu yang berlaku turut disebabkan oleh perpecahan sesama umat Islam itu sendiri!

Malah terdapat perancangan dan tindakan ketenteraan yang tidak memikirkan kesan buruknya terhadap bangsa dan generasi seterusnya di dalam jangka masa panjang.

Semasa Persidangan OIC tahun 2003, Tun Dr Mahathir pernah berkata, ‘There must be a way. And we can only find a way if we stop to think, to assess our weaknesses and our strengths, to plan, to strategise and then to counter-attack.’

Pandangan Tun Dr Mahathir amat benar.

Berhenti atau berundur bukan bermakna umat di Palestin mengaku kalah atau lemah tetapi untuk menuruti strategi Nabi Muhammad s.a.w. yang‘berundur’ apabila dicemuh dan diugut semasa Islam hanya sebagai pihak minoriti, baru bertapak dan ‘lemah’.

Strategi baginda bukannya bererti pengecut tetapi menunjukkan kebijaksaan baginda yang berfikir untuk jangka masa panjang.

Buktinya, penganut agama Islam bertambah ramai dan dapat disatu padukan di bawah kepimpinan baginda manakala kuasa dan kekuatan ekonomi serta ketenteraan umat Islam semakin disegani serta dihormati.

Kita tentu bertanya, krisis di Palestin sedang berlaku dan pembunuhan rakyat tidak berdosa terus berleluasa, dimanakah logiknya strategi ‘berundur’?

Jawapannya terletak di bahu pemimpin-pemimpin Palestin dan negara-negara Islam yang lain. Mereka perlu kembali kepada yang asas. Atmosfera politik umat Islam perlu teratur terlebih dahulu serta wujudnya tolak ansur sesama pemimpin. Mereka perlu memfokusan usaha mereka ke arah menilai kelemahan-kelemahan yang sedia ada serta memperbaikinya.

Seperkara lagi, jika strategi ‘berundur’ dipersetujui dan digunapakai sejak ianya dicadangkan dulu, pertumpahan darah di Palestin mungkin dapat dielakkan.

MINDA INTELEK MELAYU

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com