PULAU PINANG: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meminta Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat(PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan pemimpin parti itu lebih berdisiplin dalam usaha mengekalkan Pakatan Rakyat terus diterima rakyat.
"Anwar harus memastikan pemimpin-pemimpin PKR lebih berdisiplin," katanya mengulas soalan wartawan berhubung terdapat beberapa pemimpin PKR bergaduh dengan pemimpin PAS di Perak baru-baru ini yang boleh menjejaskan peluang Pakatan Rakyat untuk menang pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan ini.
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata Pakatan Rakyat akan melihat sejauh mana pergaduhan yang timbul antara pemimpinpemimpin berkenaan dan akan mencari jalan bagi mengatasinya.
"Saya rasa mungkin satu atau dua pemimpin PKR yang bergaduh dengan PAS. Pakatan Rakyat akan lihat sejauh mana perkara itu (pergaduhan) dan akan mencari jalan untuk mengatasinya," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Sementara itu, Lim berkata DAP akan menyokong penuh calon Pakatan Rakyat dari PAS yang bertanding pada pilihan raya kecil itu.
"Daripada segi calon, terpulang pada parti itu (PAS) dan DAP sebagai komponen dalam Pakatan Rakyat akan menyokong serta bekerjasama bagi memastikan calon yang telah dipilih itu memenangi pilihan raya kecil itu," katanya.
Semalam Presiden PAS Datuk Seri Abdul hadi Awang mengumumkan anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut sebagai calon PAS. BERNAMA
No comments:
Post a Comment