Perdebatan antara Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Syed Husin Ali dan pelawat blog Maharaja telah berlarutan hampir seminggu. Ia telah mendedahkan beberapa fakta tentang ISA yang tujuannya adalah untuk keselamatan negara tetapi digunakan untuk keselamatan dan cita cita politik pemimpin tertentu.
Dalam kes Syed Husin Ali bekas pemimpin Party Sosialis Rakyat Malaysia amat jelas beliau pernah dipaksa untuk membuat confession menjadi pengantara antara Dr.Mahathir dengan pergerakan komunis di bawah tanah. Samad Ismail (Wartawan Negara) juga dipaksa untuk membuat pengakuan yang sama tetapi kerana keangganan mereka berbuat demikian telah menyelamatkan Dr.Mahathir ke tangga Perdana Menteri. Jika tidak tentulah Menteri Dalam Negeri Ghazali Shafee yang menjadi Perdana Menteri.
Buku Memoirs Of Lee Kuan Yew (PM Singapura) juga jelas menunjukan bahawa Perdana Menteri Malaysia Hussein Onn menerusi Ghazali Shafee telah diperalatkan oleh LKY untuk menangkap musuh politik Ghazali Shafee di Malaysia.
Dalam buku Zainuddin Maidin( Zam) Surat Surat Daripada Dr.Mahathir (edisi tambahan dari buku Mahathir di Sebalik Tabir ) juga menceritakan tentang Mahathir kerana takut akan ditangkap oleh Ghazali Shafee telah meminta dikembalikan pita rakamah interviunya dengan seorang wartawan Utusan Melayu pada malam yang sama beliau diinterviu kerana mengadungi kenyataannya tidak percaya tangkapan beberapa orang di bawah ISA sebagai komunis.
Bagaimanapun ISA adalah ibarat agama yang pada keseluruhannya lebih banyak membentuk peradaban manusia dan menyumbang kepada keselamatan dunia tetapi dalam pada itu terdapat ulama' yang menyalahgunakan agama untuk membina feudalisme agama (contohnya Nik Aziz di Kelantan) tetapi tidaklah kerana itu agama mesti dihapuskan.
Sejarah akan menghukum mereka yang menyalahgunakan kuasa tetapi pandangan terhadap kebenaran tetap terletak kepada sentimen di mana sesaorang itu berdiri. Maka itu kita dapat melihat orang yang bermoral seperti Syed Husin Ali sanggup bersubahat dengan Anwar Ibrahim sehingga mengorbankan dasar dan prinsip hidop dan falsafah politiknya.
Bahawa Syed Husin Ali mempunyai prangsangka tentang tuduhan liwat terhadap Anwar adalah haknya tetapi adalah amat naive untuk seorang intelektual sepertinya tidak dapat melihat Anwar berada dalam rangkaian kuasa besar khususnya AS bagi menjadikan Malaysia ejennya setaraf dengan Singapura.
Ini mengherankan apabila mengingatkan beliau dapat melihat Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak sebagai boneka Imperialisme,kapitalisme dan neokolonialisme Barat.
Bagaimanapun ini tidak mengherankan kerana dia tidak pernah sedar suatu masa dahulu menjadi alat kepada Comintern (Communist International) untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia.
Sehingga hari ini pun beliau masih melihat penyelesaian masalah kemiskinan rakyat menerusi kacamata ideologinya dan tidak nampak langsung hakikat bahawa generasi petani, nelayan dan orang kampong sebelum merdeka telah melahirkan generasi baru dengan taraf hidup baru dan kesedaran baru yang turut menyumbang kearah menghakiskan feudalisme di negara ini.
Kemajuan politik hari ini ini adalah merupakan evolusi dalam proses kearah matlamat teakhir.
Dalam hal ini kita seharusnya mengangkat topi dan memberikan tabik hormat kepada rakan seperjuangan Syed Husin Ali , saudara Kassim Ahmad ( gambar) seorang yang dapat melihat kesan positif pragmatisme UMNO dalam membawa perubahan sosial yang besar dalam masyarakat Melayu di Malaysia. (Hamid Tuah hanya mengajar orang merampas tanah secara haram berbanding dengan ribuan orang kampung menjadi makmur menerusi Felda)
Universiti Kedua ( tahanan ISA) telah memberikan kesedaran baru kepada Kassim Ahmad yang telah menyertai perjuangan kiri sejak tahun 60 an dan menjadi Presiden Party Sosialis Rakyat Malaya sejak berumur 35 tahun . Dalam bukunya "Mencari Jalan Pulang "Kassim Ahmad mengakui bahawa "Saya gagal dalam bidang politik.Saya seorang pemuda yang idealistik: kuat dalam idealismenya dan lemah dalam realismenya.(muka 65).
"Saya kerapkali mengkritik pragmatismeUMNO, tetapi pragmatisme perlu kepada sesuatu pimpinan parti, dengan syarat pragmatisme ini tidak menggantikan idealisme."katanya
Mungkin Tun Dr.Mahathir dan Lee Kuan Yew dapat dilihat sebagai pemimpin yang pragmatik tetapi tetap idealistik dan Kassim Ahmad hari ini sebagai sosialis yang praktis dan Syed Husin Ali masih berada dalam kelambu sosialis teoritis sehingga tidak sedar berjuang bersama sama perasuah dan perompak negara dengan kekayaan berjuta ringgit di luar negara untuk membawa rakyat ke surga atau negara utopian. |
No comments:
Post a Comment