Pelaksanaan dijadualkan Mac atau April
PETALING JAYA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor akan menubuhkan satu badan yang dinamakan Suara Rakyat Selangor (Suaras) bagi menggesa kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat melaksanakan janji mereka.
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamed Khir Toyo berkata, langkah itu adalah usaha pihaknya untuk membuat satu gerakan khusus termasuk kempen kesedaran bagi menyedarkan rakyat bahawa Pakatan di Selangor masih belum melunaskan janji-janji mereka yang dibuat sebelum pilihan raya umum lalu.
"Kita sedang membuat perancangan teliti untuk tujuan itu dan dijadualkan akan dilaksanakan sepenuhnya pada bulan Mac atau April nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.
Dr. Mohamed Khir yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, rakyat perlu sedar bahawa selama hampir setahun kerajaan Pakatan mentadbir Selangor, mereka masih lagi dalam keadaan 'berbulan madu'.
"Ramai penduduk yang bertanya kepada saya, bila Pakatan akan melaksanakan janji mereka termasuk menurunkan cukai pintu seperti yang dijanjikan.
"Lebih kurang 70 janji mereka buat untuk manifesto pilihan raya mereka tapi tidak ditunaikan. Rakyat menuntut janji-janji itu," katanya.
Pakatan Rakyat dalam manifestonya sempena pilihan raya umum lalu berjanji akan menurunkan cukai pintu untuk pemilik rumah sebanyak 20 peratus dan untuk komersil sebanyak 10 peratus.
Semalam, Dr. Mohamed Khir turut menyifatkan peletakan jawatan anggota Parlimen Kapar, S. Manikavasagam sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor semalam sebagai satu permulaan kepada perpecahan parti itu.
"Saya katakan perkara ini permulaan kerana akan berlaku lebih besar pada masa akan datang kerana janji yang mereka (kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor) nyatakan kepada kaum India (di negeri itu) tidak dapat dijayakan," katanya.
Beliau berkata, selain kegagalan mereka mengambil alih tampuk kerajaan pusat pada 16 September lepas dengan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua kepada kaum India dan sebagainya, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor juga gagal menangani masalah kuil hingga ke hari ini.
"Jadi ia akan merebak dan saya lihat mereka akan bertindak bukan sahaja meletakkan jawatan malah meninggalkan parti mereka," katanya.
Beliau yang diminta mengulas mengenai permintaan kaum India yang mahukan jawatan Ketua Kampung diberikan kepada mereka di kawasan yang majoriti penduduknya adalah dari kaum itu berkata BN memerintah di Selangor, walaupun hanya terdapat 10 keluarga India di sesuatu kawasan, mereka tetap mempunyai wakil dalam Jawatankuasa Kemajuan Kampung.
"Tapi perkara itu tidak berlaku pada hari ini," katanya yang mengaku sedang menyusun strategi untuk mendapatkan kembali Selangor pada pilihan raya akan datang.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib melihat kedudukan PR yang dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR bagai 'retak menanti belah'.
Beliau berkata Pakatan Rakyat sebenarnya menghadapi perpecahan apabila timbul pertelagahan antara PKR dengan PAS, PAS dengan DAP dan sesama PKR sendiri.
Muhammad yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata sebilangan masyarakat yang dahulunya marahkan BN dan mengundi PKR pada pilihan raya umum Mac tahun lepas, tetapi hari ini mereka merasa kecewa dengan layanan yang diterima daripada kepimpinan PKR.
"Sebenarnya pada hari ini mereka merasa kecewa dengan kepimpinan PKR yang bukan berminat untuk melawat-melawat ke bawah, mereka tak ada masa nak tengok zink (atap zink) terbang, tiada ada masa nak tengok banjir.
"Ini bukan kerja pemimpin dia, pemimpin dia nak duduk (jadi) ahli majlis, hotel-hotel...yang pergi tengok rakyat ini, dia rasa tak payah pergi," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa bahagian, pemimpin sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan di sini semalam.
Bagaimanapun, Muhammad berkata sebaliknya BN memahami masalah rakyat kerana pemimpinnya turun ke bawah untuk menjenguk rakyat dan mengetahui masalah rakyat dan bekerja bagi memajukan negeri ini.
"Landskap kemajuan negara dibina oleh BN, mereka (Pakatan Rakyat) tidak faham yang kita turun ke bawah, kita tahu apa rakyat kehendaki, mereka tak tahu. Dia orang terima negeri yang telah siap, jadi dia orang tak tahu apa sebenarnya nak dibuat," katanya.
Beliau berkata perjuangan BN selama ini berdasarkan rekod sebelumnya berbanding dengan Pakatan Rakyat yang didakwanya suka memanipulasi sesuatu isu bagi meraih sokongan pengundi dan penyokong mereka.
No comments:
Post a Comment