20090103

Rasional Pengambilalihan IJN Oleh Sime Darby.

Dr Novandri Hasan Basri

Sebelum kita pergi lebih lanjut mengenai isu ini, di sini penulis lampirkan kenyataan Perdana Menteri mengenai rasionalnya pengambilalihan IJN oleh Sime Darby :-

"Sekiranya jaminan itu dapat diberikan oleh pihak yang nak mengambil alih, maka mungkin pandangan kita terhadap pengambilalihan ini tidak begitu keras sangat. Ini juga bergantung kepada banyak syarat-syarat lain," katanya.

"Andaian mereka sekiranya pusat itu dijadikan milik swasta, bayaran perubatan akan menjadi lebih tinggi dan tidak akan dapat dinikmati oleh golongan tersebut," katanya.

Perdana Menteri memberitahu, jika pengambilalihan itu berlaku, ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan terhadap rakyat malah kerajaan akan membina hospital yang serupa dengan IJN sekiranya ada kemampuan termasuk di luar Kuala Lumpur.

Menurutnya, cadangan pengambilalihan itu perlu diberikan pertimbangan sewajarnya terutama dalam meningkatkan lagi kemampuan IJN daripada segi menyediakan rawatan, ubat dan pakar-pakar yang terbaik.

''Dalam bidang perubatan ini, banyak perubahan yang berlaku dalam erti kata hospital yang kita nak jadikan paling canggih mesti ada alat paling baik begitu juga ubatnya dan pakarnya juga yang terbaik.

"Ini mungkin memerlukan kita membayar gaji lebih, bergantung pada siapa yang memilikinya, jadi banyak kos yang perlu dikeluarkan bagi menambah kekuatan dan keupayaan serta menambah lagi bilangan katil untuk pesakit serta bilik bedah," katanya - Utusan Malaysia.

Secara ringkas, tujuan asas pengambilalihan IJN adalah untuk meningkatkan kemampuan IJN dari segi menyediakan rawatan dan ubat-ubatan yang terbaik.

Sebagai seorang doktor, penulis juga memikirkan usaha pengambilalihan tersebut supaya IJN dapat menyediakan tangga gaji yang lebih lumayan kepada pakar-pakar jantung dan staf-staf terlatih agar mereka tidak keluar daripada IJN.

Penulis tidak sekali-kali mahu memperkecilkan kewibawaan pakar-pakar dan staf-staf tersebut tetapi ini adalah senario asas yang perlu diketahui oleh orang ramai.

Tangga gaji doktor dan staf hospital kerajaan tidak mengikut market value yang sepatutnya dan perkara ini telah berlanjutan untuk sekian lama.

Malah, jika kita selidiki dengan lebih lanjut, beban kerja pakar-pakar dan staf hospital IJN adalah jauh lebih banyak dan berat jika dibandingkan dengan pakar-pakar di hospital swasta.

Akan tetapi, seberat mana pun kerja mereka, pakar-pakar jantung dan staf-staf IJN tetap bekerja dengan penuh dedikasi dan penuh tanggungjawab. Malah IJN telah mencapai pelbagai kecemerlangan dari segi pengurusan sumber manusia dan ISO.

Jika kita rujuk web IJN :-

IJN ditubuhkan pada bulan September 1992 untuk memenuhi keperluan pesakit jantung dengan menyediakan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik bagi pesakit dewasa dan kanak-kanak.

Sebagai sebuah pusat rujukan kebangsaan bagi penyakit kardiovaskular, IJN menerima kes-kes baru yang dirujuk dari seluruh negara dan juga kes-kes ulangan di klinik pesakit luar.

Satu-satunya pusat perubatan yang menangani dan mengurus penyakit jantung, IJN menyediakan pelbagai rawatan yang komprehensif seperti perkhidmatan rawatan kardiologi intervensi bagi tujuan diagnostik dan terapeutik, pembedahan jantung terbuka, tertutup dan torasik dan pemindahan jantung serta paru-paru.

Semenjak ditubuhkan, IJN telah berjaya menangani kes kardiovaskular dari kes yang paling mudah seperti merawat penyakit jantung berlubang kepada menjalankan pemindahan Jantung dan paru-paru.

Jika kita bandingkan sub-kepakaran dan beban kerja pakar-pakar IJN, kita akan sendiri mengakui bahawa gaji mereka tidak pernah setimpal.

Sejak penubuhan IJN pada 1992, lebih daripada 1.3 juta pesakit telah datang kepada IJN untuk mendapatkan rawatan; daripada jumlah itu, lebih 131,000 orang telah dirawat di wad IJN.

Pada tempoh yang sama, 35,000 pembedahan telah dijalankan, yang antara 24,000 kesnya ialah pembedahan jantung terbuka.

Sejumlah 78,000 daripada pesakit IJN juga telah menjalani prosedur kardiologi intervensi sejak IJN mula beroperasi.

IJN juga telah berjaya mengekalkan rekod yang baik dalam perubatan jantung kanak-kanak dengan 8,000 kes pediatrik - kardiotoraks dan 14,000 kes kardiologi pediatrik sebagai kebanggaan IJN.

Sesungguhnya, beban kerja IJN kini telah bertambah hampir empat kali ganda berbanding pada tahun IJN mula beroperasi.

Pada 2006 sahaja, IJN telah menangani 149,000 orang pesakit, 12,000 bukan pesakit; menjalankan 3,110 pembedahan kardiotoraks dalam tempoh tahun tersebut dengan 2,100 pembedahan jantung terbuka, 827 pembedahan jantung tertutup dan 183 pembedahan toraks serta lebih 8,000 prosedur kardiologi intervensi.


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Inilah ungkapan ringkas yang penulis dapat katakan apabila melihat statistik IJN seperti di atas dan beban kerja yang perlu dihadapi oleh staf-staf IJN.

Hanya mereka yang berwibawa, ikhlas dan passionate sahaja yang dapat bekerja di IJN dan kita semua perlu akuinya.

Yang menimbulkan permasaalahan sekarang ialah apakah tanggungjawab sosial IJN akan diketepikan atau dikurangkan dengan kehadiran sebuah syarikat GLC yang berlandaskan kepada keuntungan dan kepentingan pemegang-pemegang saham ?

Persoalan ini patut dicanang-canangkan kerana proses perbincangan masih berjalan dan kerajaan perlu berhati-hati sebelum terlewat. Realitinya, kerajaan tidak terdesak untuk menjual saham Kementerian Kewangan kepada Sime Darby kerana IJN bukannya sedang berada di dalam krisis kewangan yang teruk.

Perkara ini telah diterangkan oleh Perdana Menteri :-

Perdana Menteri berkata, pengambilalihan itu jika berlaku bukan bermakna kerajaan tidak mampu menanggung kos operasi Institut Jantung Negara (IJN), tetapi mahu melihat hospital yang khusus dalam rawatan jantung itu dapat diperbesarkan dan dipertingkatkan lagi kecemerlangannya. - Utusan Malaysia.

Penulis khuatir walau apa pun perjanjian dan jaminan yang bakal dikatakan oleh pihak Sime Darby, jaminan itu tidak sehebat protokol pengambilan pesakit ke dalam IJN seperti hari ini di mana ketelusan dan niat sosial itu jelas terbukti.

Ketika ini, IJN dilihat sebagai non-profitable organisation yang benar-benar berlandaskan khidmat sosial tanpa diskriminasi bangsa dan kekayaan pesakit itu.

Malah, jika jaminan di buat secara bertulis dan dipersetujui, ianya masih tidak dapat menjamin ketelusan pihak pengurusan IJN yang baru di dalam menapis dan menerima kemasukan pesakit-pesakit. Sime Darby perlu menjaga 'orang-orang mereka' dahulu dan konflik ini pasti akan berlaku.

Inilah masalah yang bakal timbul jika 51% saham IJN diberikan kepada satu syarikat yang mempunyai kepentingan asas untuk mencari untung dan menjaga pemegang-pemegang sahamnya.

Realitinya, pakar-pakar jantung dan staf-staf hospital tidak boleh sesekali dibebankan dengan perasaan bersalah kerana terpaksa merawat seorang pesakit yang lebih kaya daripada seorang pesakit miskin yang amat memerlukan rawatan ketika itu.

Jika fenomena ini berlaku, IJN sudah menjadi organisasi yang tidak lagi mendokong visi dan cita-cita pencetusnya. Tentunya kita sedang menanti komentar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, mengenai isu ini.

MINDA INTELEK MELAYU


No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com