20090104

PKR bermasalah...media dipersalah

Ekoran perang mulut antara Ahli Parlimen PKR kawasan Kapar, S. Manikavasagam yang mengancam untuk keluar parti itu kerana tidak berpuashati dengan cara pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang dikatakan mengabaikan rakyat, mengundang campur tangan kepimpinan tertinggi parti itu.

Menariknya, seperti mana biasa, walaupun pertelagahan itu berpunca daripada kenyataan terbuka Manikavasagam sendiri, akhirnya media dipersalahkan kerana dituduh cuba memperbesar-besarkan isu Ahli Parlimen itu akan keluar meniggalkan PKR.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, beliau mengingatkan semua pemimpin PKR dan juga pakatan pembangkang agar tidak membuat reaksi terbuka mengenai perbezaaan pendapat dan perbalahan sesama mereka melalui media yang dikuasai parti pemerintah yang disifatkannya sengaja mempesar-besarkan isu berkenaan.

"Saya menggesa dan merayu kepada semua pemimpin Pakatan agar berhenti mengemukakan perbezaan serta pertentangan mereka melalui media, terutama yang dikuasai parti pemerintah BN," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari Ahad.

Pertelagahan politik dalaman PKR itu hangat diperkatakan apabila, Jumaat lepas Manikavasagam mengumumkan bahawa beliau akan keluar daripada PKR kerana tidak bersetuju dengan Khalid dan cara Menteri Besar itu mentadbir negeri itu yang disfatkannya mengabaikan kepentingan rakyat.

Khalid pula membalas, Manikavasagam bebas untuk meletakkan jawatan dan keluar parti dan beliau tidak berminat untuk bertemu dengan Ahli parlimen Kapar tersebut.

Malah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memanaskan suasana apabila meminta Manikavasagam meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kapar jika hendak keluar PKR kerana beliau menang pilihan raya atas tiket parti itu.

Kenyataan Hadi itu tentunya menarik kerana selama ini pakatan pembangkang berusaha untuk menarik Ahli Parlimen BN bagi melompat parti tetapi tidak pula menghiraukan bahawa perbuatan itu juga tidak bertanggungjawab kerana Ahli Parlimen BN dipilih oleh rakyat atas tiket BN.

Manikavasagam pula telah membuat kenyataan bahawa beliau akan membuat keputusan sebelum Rabu depan sama ada akan terus dengan keputusannya keluar PKR atau sebaliknya.

Apa yang jelas, kalangan pemimpin PKR kini sedang berusaha memujuk Manikavasagam agar menarik balik hasratnya untuk keluar PKR.

Dr Syed Husin dalam kenyataan tersebut juga memberitahu, Biro Politik parti itu akan bermesyuarat Rabu ini bagi membincangkan isu Ahli parlimen Kapar tersebut.

Katanya, biro itu akan membincangkan semua perkara yang berkaitan dan mencari penyelesaian dan berharap, pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang seharusnya duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian secara dalaman.

"Ada beberapa saluran dan prosedur bagi berbuat demikian," katanya.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com