Pergerakan Pemuda Barisan Nasional(BN) meminta kerajaan supaya memberi pengecualian cukai kepada syarikat-syarikat korporat atau individu yang memberi sumbangan bagi membantu meringankan beban yang dihadapi rakyat Palestin di Genting Gaza.
Perkara itu disuarakan oleh Naib Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin ketika sidang media selepas menyertai perarakan secara aman anjuran 'Barisan Bertindak Menentang Kezaliman Rejim Israel' dari Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak ke Kedutaan Palestin di Jalan U Thant, lebih kurang 700 meter pada petang Jumaat.
Beliau berharap dengan cara itu akan lebih ramai pihak dapat memberi sumbangan.
Sambil itu Khairy menyeru rakyat Malaysia agar prihatin terhadap penderitaan rakyat Palestin yang kini sudah enam hari menghadapi serangan ganas bertubi-tubi dari rejim Zionis.
'Barisan Bertindak Menentang Kezaliman Rejim Israel' yang diterajui Pemuda BN dan Pemuda UMNO Berjaya mengumpul dana sebanyak RM100,000 yang diserahkan oleh Khairy kepada Duta Palestin ke Malaysia Abdel Aziz Abu Ghoush.
Dalam sidang media itu juga Khairy menegaskan bahawa rakyat Palestin tetap mendapat sokongan dari rakyat Malaysia sehingga dapat membebaskan negara mereka dari cengkaman Israel.
"Matlamat kita adalah untuk melihat rakyat Palestin mempunyai sebuah negara yang berdaulat, Palestin yang merdeka…bebas, bekerajaan sendiri dan rakyatnya tidak disekat untuk ke sana ke mari serta keluar masuk ke negaranya sendiri…Palestin perlu dibebaskan dari mendapat sumber keperluan rakyatnya tanpa sebarang sekatan," kata Khairy.
Tambah Khairy, "saya merayu kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada usaha untuk menghulur bantuan kepada rakyat Palestin di Genting Gaza yang kini menghadapi krisis kemanusiaan".
Turut bersama dalam perarakan tersebut adalah ahli-ahli Majlis Belia Malaysia (MBM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang diketuai oleh Presidennya Datuk Reezal Merican Naina Merican, Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO/BN Malaysia Datuk Abdul Rahman Dahlan, Bendahari Pemuda UMNO Malaysia Datuk Abdul Hamid Nazahar dan pemimpin-pemimpin pemuda parti komponen BN.
Selain itu seramai 50 orang pelajar timur tengah yang menuntut dibeberapa pusat pengajian awam dan swasta di Ibu Negara turut serta dalam perarakan tersebut.
No comments:
Post a Comment