20090103

Salahkah Blog Ini?

Dr Novandri Hasan Basri

Rakan blogger, Nobisha, telah menyentuh isu ini. Isunya ialah calon-calon yang bertanding pada pemilihan UMNO Mac depan boleh dikenakan tindakan disiplin jika menggunakan blog sebagai bahan kempen mereka.

Penulis perlu mengulas isu ini juga kerana penulis terlibat secara langsung di dalam pemilihan Pemuda UMNO Mac ini.

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Mana-mana calon yang menggunakan blog untuk berkempen sebarang jawatan parti sama ada di peringkat cawangan, bahagian atau Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan UMNO Mac depan boleh dikenakan tindakan disiplin kerana ia melanggar Tataetika Ahli UMNO.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, ahli-ahli parti masih dibenarkan memiliki blog sendiri tetapi ia tidak boleh sama sekali memiliki sebarang unsur yang boleh ditafsirkan sebagai berkempen untuk diri sendiri atau pihak lain.

Katanya, Tataetika Ahli UMNO mempunyai garis panduan yang jelas berhubung perkara itu.

"Perkara 5.3 Tataetika Ahli UMNO menghalang apa jua penerbitan, penyiaran, penulisan dalam risalah, majalah, makalah, buku atau lain-lain karya yang mengandungi unsur menyokong, memfitnah, mencela dan mengeji ahli-ahli parti," katanya - Utusan Malaysia.

Penulis telah menjadi blogger sejak tahun 2005 lagi. Terdapat artikel-artikel penulis yang disiarkan di dalam media cetak dan penulis berpendapat adalah lebih baik jika ianya disimpan di dalam blog ini untuk rujukan penulis dan juga bahan bacaan untuk rakan-rakan siber sekalian.

Penulis juga memberi info serta menyediakan kolum foto-foto aktiviti penulis bersama pasukan penulis, Klinik Kesihatan Bergerak Pemuda UMNO Malaysia, bertujuan untuk mempromosikan program kebajikan ini supaya digunapakai oleh bahagian-bahagian UMNO lain di Malaysia.

Penulis juga mempunyai sedikit masa untuk menaip pandangan penulis mengenai pelbagai isu yang menarik di dalam blog ini. Tentunya, topik yang selalu dibincangkan ialah isu-isu politik negara ini kerana ianya sungguh menarik serta membuka minda ini untuk meneliti 'wajah' dan senario politik hari ini.

Malah, penulis juga telah menerima banyak komentar yang bernas daripada anda sekalian apabila artikel mengenai politik disiarkan di dalam blog ini.

Persoalannya sekarang, apakah blog ini perlu ditutup sehingga bulan Mac ini kerana penulis merupakan salah satu daripada calon Exco Pemuda UMNO Malaysia?

Apakah kesalahan kemudahan IT seperti blog ini?

Penulis ingin bertanya, pernahkah di dalam artikel penulis sebelum ini yang sengaja menjatuhkan atau memburuk-burukkan nama calon-calon Exco Pemuda UMNO Malaysia yang lain?

Setahu penulis, tidak ada. Malah penulis menggalakkan calon-calon Exco memiliki blog masing-masing agar ahli-ahli Pemuda UMNO dapat mengenali dengan lebih dekat lagi calon-calon tersebut.

Ahli-ahli Pemuda UMNO juga akan dapat mengetahui visi, konsep pemikiran dan sumbangan calon-calon tersebut. Perkara ini amat penting kerana Pemuda UMNO tidak perlu lagi Exco yang tidak mampu berfikir sendiri, tidak mempunyai visi dan tujuan, aktif hanya semasa pemilihan sahaja dan menghilangkan diri selepas itu, tidak konsisten dan hanya mengharapkan sesuatu untuk diri sendiri.

Web Pemuda UMNO Malaysia turut menyediakan satu kolum khas untuk blog calon-calon Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda Malaysia. Salahkah begitu?

Bagaimana pun, penulis pasti pihak Lembaga Disiplin UMNO mempunyai pelbagai bentuk saringan untuk memastikan calon-calon tidak menyalahgunakan blog-blog secara total. Realitinya, perkara yang baik perlu disokong terutamanya perkhidmatan blog, web, yahoo messenger dan sebagainya.

Presiden UMNO pernah berkata bahawa BN dan UMNO telah kalah di dalam penggunaan siber dan semua orang tahu mengenainya. Makanya, penggunaan IT mesti dipupuk dengan lebih agresif dan intensif selagi ianya digunakan dengan betul dan positif.

Secara peribadi, penulis mengganggap bahawa menolak penggunaan IT seperti blog atau pun web adalah seperti UMNO dan BN telah awal-awal lagi rela dijadikan 'shooting target' yang kaku kepada pembangkang pada PRU-13 kelak.

Realitinya, PRU-13 akan bakal menyaksikan penggunaan IT yang lebih signifikan jika dibandingkan dengan PRU-12. Kehadiran jumlah generasi muda yang ramai serta peka IT di dalam kelompok pengundi juga perlu diberi tempat di dalam strategi pilihanraya UMNO dan BN.

Dan proses menggerakkan strategi pilihanraya tersebut mesti bermula daripada sekarang. Jika dilengah-lengahkan, PRU-13 akan bakal menyaksikan kesedihan yang sudah tidak bermakna lagi.

MINDA INTELEK MELAYU

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com