Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang memulakan tugas hari Rabu menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa daftar pemilih bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak bersih.
Ini kerana katanya, daftar berkenaan telah pun dikaji dan disahkan pada 5 Disember lalu.
Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya selepas memasuki pejabat di Putrajaya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan kononnya daftar pengundi bagai pilihan raya kecil berkenaan tidak bersih.
Berdasarkan pengalaman lepas, setiap kali adanya pilihan raya baik umum mahupun pilihan raya kecil, isu daftar pemilih sering mendapat perhatian kerana ia dikatakan tidak bersih dan ada kaitan dengan pengundi hantu.
Namun, isu berkenaan kebanyakkan menjadi isu politik semasa kempen pilihan raya semata-mata.
Abdul Aziz yang ditanya mengenai pembaharuan yang akan dibawanya sebagai Pengerusi SPR yang baru berkata, hal itu bergantung kepada isu dan masalah yang sedang dihadapi suruhanjaya itu.
Janjinya, beliau akan memperkemaskan dan memperbaiki aspek-aspek yang difikirkan memerlukan tindakan konstruktif.
"Di mana yang boleh kita perbaiki. Kita akan lihat satu demi satu dan kita akan perkemaskan," katanya.
Beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri menggantikan Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman yang bersara hari Selasa.
Ditanya mengenai cadangan Abdul Rashid semalam supaya SPR diberikan kuasa autonomi, Abdul Aziz berkata, hal itu akan dikaji dengan teliti selepas ini.
"Kita akan lihat sama ada ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya. SPR kini mempunyai koordinasi dengan pelbagai badan berkaitan termasuk PDRM (Polis Diraja Malaysia) bagi kawalam keselamatan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk daftar pemilih dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk mencetak dokumen," katanya.
Mengenai pilihan raya kecil Kuala Terengganu, beliau yang akan ke Kuala Terengganu untuk melihat sendiri persiapan berkata, setakat ini, kerjasama rapat sedang dijalankan dengan PDRM bagi memastikan kawalan keselamatan terutamanya semasa pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari ini berjalan lancar.
No comments:
Post a Comment