Ketika Terengganu dan Kelatan di bawah kerajaan Pas, saya pernah bertanya kepada seorang kawan yang rapat dengan Pas tentang kemungkinan di wujudkan satu program pemberian tanah kepada orang-orang India yang tidak memiliki tanah. Pertanyaan ini muncul pada tahun 2000 yang lalu.
Kini, pada tahun 2009, 5 buah negeri telah di miliki oleh pentabiran kerajaan Pakatan Rakyat – sebuah pakatan yang menjanjikan kesejahteraan warga bukan mengikut bangsa atau agama tetapi berpandukan keperluan.
Justeru pertanyaan saya sembilan tahun dahulu ingin saya jadikan satu cadangan. Saya mencadangkan agar di wujudkan satu skim pemberian tanah berkelompok kepada bangsa India yang tidak memiliki tanah.
Saya bukan ahli akademik atau pun tukang kaji selidik – maka saya tidak tahu peratus dan jumlah keluarga India yang jatuh ke dalam status miskin tegar, daif dan hidup dalam kesesakan.Tetapi secara impirikal kita tidak dapat menafikan bahawa gulungan ini wujud.
Dari apa yang saya baca mereka ini adalah buruh-buruh ladang getah yang telah di tinggalkan bagitu sahaja apabila ladang-ladang ini beralih tuan, dari getah menjadi ladang kelapa sawit atau ladang-landang ini bertukar status dari pertanian ke perumahan.
Rasa saya adalah tepat jika bangsa India yang memiliki pengalaman dalam hal perladangan getah ini di berikan tanah agar mereka dapat menggunakan pengalaman lama mereka untuk perladangan sawit.
Tanah untuk yang mereka yang memerlukan tanah wajib dijadi dasar Pakatan Rakyat. Tanah untuk penggarap adalah dasar pertanian yang tepat. Jika kita menolak Tuan Tanah British yang duduk di London maka kita juga wajib menolak Tuan Tanah yang duduk di Country Heights. Siapa menggarap maka dialah yang seharusnya menjadi pemilik tanah.
Generasi muda hari ini mungkin kurang sedar bahawa masyarakat India yang kelihatan terbiar hari ini telah memainkan peranan pembangunan ekonomi yang bagitu penting dalam negara ini. Laluilah jalan-jalan dari kota ke kampung-kampung pendalaman. Dari bandar ke pekan-pekan kecial. Semua jalan-jalan ini adalah hasil dari tenaga buruh bangsa India.
Mereka juga bertanggung jawab membanting tulang untuk membariskan landasan keretapi dari Singapura hingga ke Padang Besar – dari Gemas hingga ke Wakaf Baru. Mereka juga memburuh membanting tulang penyumbang 60% untuk ekonomi British ketika kerajaan kolonial British menjajah Tanah Melayu.
Masyarakat imigran dari India yang di bawa oleh Britsh ke Tanah Melayu ini memiliki struktur sistem budaya berkasta-kasta. Justeru, secara licik dan sedar sistem kasta ini telah di ekploit ke maksima oleh penjajah British. Kasta yang paling terendah dijadikan kuli di ladang-ladang milik British. Kasta yang lebih tinggi dijadikan mandor atau pegawai rendah. Untuk melalai dan mententeramkan kehidupan kuli-kuli ini kedai-kedai todi telah disediakan oleh Tuan Ladang.
Seperti mana yang berlaku terhadap masyarakat Melayu, bangsa India juga telah di jual oleh para pemimpin mereka kepada kepetingan ekonomi British. Kalau bangsa Melayu telah di jual kepada British oleh kelas feudal Melayu, buruh-buruh India pula telah dijual bulat-bulat oleh pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja mereka.
Sejarah penjualan kuli dan buruh India di Tanah Melayu ini berterusan dari zaman British hingga ke hari ini. Pemimpin-pemimpin bangsa India yang kita kenali atau kita baca nama-nama mereka sama ada dalam parti Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat kebanyakan adalah dari kasta yang lebih tinggi dari kasta yang menjadi kuli dan buruh. Atau pun mereka, walau pun Tamil, tetapi bukan datang dari tanah besar India tetapi dari pulau Ceylon.
Malah banyak diantara mereka ini bukan sahaja tidak tahu berbahasa Tamil malah dari segi budaya mereka ini adalah saki baki dari kumpulan Anglo-Indian – yang berbontot hitam tetapi pengampu Mat Saleh. Bila Mat Saleh balik kampong mereak menjadi pengambu gerombolan United Malays National Organisation.
Masyarakat Melayu hari ini wajib menyedari jika kita membuat perbandingan diantara Melayu/India dan Melayu/Cina – maka kita akan menemui hubungan yang amat intim dan rapat diantara budaya Melayu dengan budaya bangsa India. Dalam sejarah pembudayaan negara bangsa, budaya Melayu di seluruh kepulauan Melayu ini amat rapat pertalian budayanya dengan budaya tanah besar India dari budaya tanah besar China.
Struktur feudal budaya Melayu yang kita gunapakai hari ini adalah serpihan dari budaya feudal India. Secara bijak pembentukan budaya feudal Melayu telah menapis keluar struktur kasta kolot dari tanah besar India. Secara positif bangsa Melayu telah menerima bangsa India tanpa melihat kasta dan keturunan mereka. Bangsa Melayu tidak mengenali Brahmin, Chettiar, Pariah atau Mandor. Bangsa Melayu tidak memiliki nilai untuk memisah-memisahkan bangsa India mengikut kasta-kasta mereka. Dalam mata hati bangsa Melayu semua bangsa India itu sama. Ini amat positif.
Dari segi pembudayaan bahasa – Bahasa Melayu tanpa menapis telah menerima pakai bukan sahaja perkataan-perkataan dari Sanskrit tetapi menghayati konsep-kosep yang dibawa oleh perkataan-perkataan ini. Mungkin ramai yang kurang sedar bahawa konsep dosa dan pahala itu memiliki akar umbi dari bahasa India Sanskrit.
Apa yang saya tulis diatas adalah sebagai hujah untuk menyokong cadangan saya agar bangsa India yang menjadi penduduk miskin kota ini di sediakan satu skim pemberian tanah berkelompok. Adalah adil untuk kerajaan Pakatan Rakyat melahirkan satu dasar skim tanah berkelompok sama seperti bangsa Melayu yang tidak bertanah yang telah mendapat skim tanah Felda.
Cadangan saya ini adalah sebagai jawapan positif kepada tuntutan Hindraf. Tuntutan Hindraf ini jika kita baca kelihatan tidak masuk akal dan kebudak-budakan. Tuntutan Hindraf ini mengingatkan saya ke zaman kemahasiswaan yang naif tetapi penuh dengan idealisma.
Masanya telah sampai untuk kita semua tidak lagi menyalahkan penjajah British. Itu adalah sejarah. Kita berkeupayaan untuk menyusun dan mendirikan sebuah masyarakat negara bangsa yang adil. Lesong di tangan dan lada dalam mangkuk maka kitalah yang wajib menumbuknya untuk menjadikan sambal. Menyalahkan British memang senang kerana mereka tidak wujud lagi dalam percaturan siasah harian kita.
Kita seharusnya menghadapi masaalah penduduk India yang miskin tegar ini dengan fikrah terbuka. Kemiskanan membawa pelbagai bentuk permasalahan. Masalah mereka akan menjadi masaalah kita semua. Kesusahan mereka adalah kesusahan kita semua. Jika mereka senang kita juga akaan menikmati kesenangn itu.
Kerajaan Pakatan Rakyat yang berpaksikan Ketuanan Rakyat jika ingin dilihat adil dan melintasi politik perkauman wajib melakukan langkah-langkah yang bukan retorik tetapi dapat di pegang, di cium dan di makan. Jesturu satu skim tanah untuk bangsa India yang miskin tegar adalah satu cadangan dari saya.(TT)
No comments:
Post a Comment