20090104

Siapa punya angkara

Kisah ini telah pun berlarutan hampir satu bulan. Puncanya sebuah laman blog yang dikesan menyiarkan tulisan serta lakaran gambar yang menghina Nabi Muhammad serta agama Islam. Menariknya, laman blog itu menggunakan gambar dan menyiarkan maklumat peribadi seorang wanita Melayu yang kononnya menjadi pengendali blog tersebut.

Wanita berkenaan telah pun membuat laporan polis meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melakukan siasatan terhadap blog berkenaan kerana mendakwa namanya telah digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika diminta mengulas kejadian tersebut berkata, beliau telah mengarahkan pihak polis menjalankan siasatan berhubung dengan kewujudan laman berkenaan.

Katanya, perkara itu jika tidak dibendung dan dibiarkan berlarutan, ia boleh menimbulkan masalah lebih besar dalam negara ini.

Sehubungan itu beliau menginatkan, jangan ada mana-mana pihak menghina agama dan kepercayaan yang dipegang oleh rakyat negara ini.

"Kita bukan bermusuhan sesama kita, kita bukan bergaduh sesama kita. Sebenarnya kita semua rakyat Malaysia yang hendak negara kita ini aman, selamat dan makmur dan semuanya hidup dalam keadaan senang, sama-sama maju dan kita sama-sama berjaya dan negara kita sama-sama aman dan makmur," katanya.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika mengulas mengenai perkara yang sama mengesahkan, wanita yang namanya dikaitkan dengan blog itu telah menemui beliau dua minggu lalu.

Katanya, wanita berkenaan memohon bantuan RTM untuk menyiarkan berita mengenai kewujudan blog berkenaan yang bertujuan untuk membersihkan dirinya.

"Wanita itu yang berusia dalam lingkungan 20-an ada berjumpa dengan saya untuk meminta pertolongan bagi membersihkan nama serta identitinya yang digunakan dalam sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad S.A.W," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Nur Sejahtera peringkat Parlimen Kemaman hari Sabtu.

Menurut Shabery, wanita itu memohon bantuan RTM supaya menghebahkan perkara itu kerana laman blog yang turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu itu bukan dilakukan oleh dirinya dan telah menjejaskan nama baik dirinya serta syarikat tempat dia bekerja.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan polis akan menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang menyiarkan artikel menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam sebuah laman blog, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan marah dan tersinggung khususnya kepada umat Islam dan orang Melayu serta mengundang konflik perasaan, agama dan bangsa.

Sebuah akhbar tempatan hari ini mendakwa terdapat sebuah laman blog, yang kononnya milik seorang wanita Melayu, yang dikesan melemparkan penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W dan menggunakan gambar dan lukisan.

Laporan itu juga memberitahu selain penuh dengan tohmahan, artikel tersebut turut disertakan gambar wajah orang yang diubah suai bagi tujuan menghina dan memburuk-burukkan Nabi Muhammad S.A.W.

Ketika dihubungi Bernama, katanya dari sudut perundangan, ia dianggap satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan polis akan segera menyiasat pemilik serta penulis blog berkenaan.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com