20081004

ABDULLAH DIJANGKA PERTAHANKAN KERUSI PRESIDEN UMNO?

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti Mac 2009. Begitulah pendapat beberapa pemerhati politik yang saya temui dan segolongan surfers yang mengirimkan komen ke blog ini.

Keputusan ini dijangka diumumkan oleh Abdullah sebelum atau pada 9 Oktober 2008 ini. Abdullah mengambil keputusan ini setelah para pegawai dan orang-orangnya mengaudit jumlah pencalonan yang boleh beliau perolehi daripada bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara.

Daripada tinjauan rambang, menerusi “pujuk rayu yang kreatif dan pelbagai cara”, beberapa pemerhati politik berpendapat, Abdullah boleh memperolehi jumlah kouta yang diperlukan untuk membolehkan beliau mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Contohnya, Abdullah dijangka memperolehi sekurang-kurangnya 4 pencalonan daripada Johor, 2 daripada Melaka, 6 daripada Negeri Sembilan, 4 daripada Selangor, 4 daripada Perak, 12 daripada Pulau Pinang, 3 daripada Kedah, 5 daripada Kelantan, 2 daripada Terengganu, 3 daripada Pahang, 5 daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, dan 10 daripada Sabah.

Ramai pemerhati politik berpendapat, jika para pegawai dan orang-orang Abdullah berusaha secara “pujuk rayu yang kreatif dan pelbagai cara” jumlah 60 pencalonan di atas mungkin boleh dimaksimakan mungkin hingga sekurang-kurangnya 65 pencalonan.

Untuk memaksimumkan jumlah pencalonan ini, para pegawai dan orang-orang Abdullah dijangka mensasarkan tumpuan mereka kepada para perwakilan cawangan ke bahagian-bahagian.

Diberi Pangkat

Ini kerana para perwakilan cawangan inilah yang akan mengundi dan menentukan corak serta sentimen pencalonan Presiden dan lain-lain jawatan yang akan dipertandingkan dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) pada Mac 2009 kelak.

Ketua-ketua bahagian yang tidak memihak kepada Abdullah pula dijangka dimenangi hati mereka menersi “pangkat dan darjat”.

Contohnya, mantan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang baru dilantik sebagai penasihat PM mengenai Koridor Utara juga akan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH). Banyak lagi perlantikan seperti ini dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

Lantaran itu, Abdullah sedang didesak oleh inner circlenya untuk berikhtiar merobah keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 26 Disember 2008 supaya persidangan perwakilan bahagian-bahagian UMNO mulai 9 Oktober 2008 ini juga ditangguhkan ke Januari atau Februari 2009.

Asas kukuh untuk menangguhkan persidangan perwakilan bahagian ini ialah untuk mengelakkan tempoh berkempen yang terlalu panjang bagi seluruh calon yang bertanding dalam pemilihan parti di peringkat pusat – MT UMNO, Pergerakan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO.

Bagaimanapun, beberapa pemerhati politik yang sinis berkata, penangguhan persidangan perwakilan bahagian ini dijangka akan memudahkan orang-orang Abdullah memenangi hati dan sokongan perwakilan cawangan-cawangan yang akan memilih calon-calon pucuk pimpinan tertinggi UMNO dalam perwakilan bahagian masing-masing.

Ubah Keputusan?

Jika Abdullah akur dengan desakan seperti di atas, beliau terpaksa merujuk kembali kepada MT UMNO untuk merobah keputusannya baru-baru ini mengenai persidangan bahagian-bahagian yang akan bermula pada 9 Oktober 2008.

Soalnya, adakah MT UMNO akan setuju dengan usaha merobah keputusannya. Mungkinkah Abdullah akan diberika muka untuk berbuat demikian. Atau, mungkinkah MT UMNO akan bertegas mempertahankan seluruh keputusannya baru-baru ini tanpa sebarang perubahan?

Demikianlah spekulasi mengenai Abdullah oleh segolongan pemerhati politik tanahair pada saat dan ketika ini. Spekulasi ini adalah berasaskan sikap Abdullah yang sentiasa “flip-flop” dan berdolak-dalik dalam banyak tindakan dan keputusannya selama ini.

Spekulasi ini juga berasaskan pendirian dan keputusan Abdullah yang selama ini didakwa amat dipengaruhi oleh segelintir anggota keluarganya.

Jika Abdullah mempertahankan kerusi Presiden UMNO dan memperolehi pencalonan secukupnya, bagaimanakan pendirian Datuk Seri Najib Tun Razak?

Jika Najib juga menerima pencalonan secukupnya bagi kerusi Presiden UMNO, adakah beliau sedia untuk menandingi Abdullah? Apakah reaksi para penyokong Najib yang kini bertungkus lumus berusaha mendapatkan pencalonan jawatan tertinggi ini sekarang?

Harapan UMNO

Dan, bagaimana pula jika ditakdirkan Allah, Tengku Razaleigh Hamzah juga menerima pencalonan secukupnya untuk jawatan Presiden UMNO? Mungkinkah akan terjadi pertandingan tiga penjuru? Atau, mungkinkah Najib akan menarik diri dan hanya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden?

Jika Najib hanya mempertahankan jawatannya sekarang, bagaimana pula Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa lagi calon “dark horse” yang berhasrat memenangi jawatan Timbalan Presiden?

Begitulah rumitnya keadaan jika Abdullah yang sudah memutuskan akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya Mac 2009 ini, tetapi terus mahu mempertahankan jawatan Presiden UMNO kali ini.

Dalam keadaan seperti ini, ramai warga UMNO menggantungkan harapan semoga sebelum atau pada 9 Oktober 2008 ini Abdullah dengan sukarelanya mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO.

Mereka menggantungkan harapan sedemikian kerana amat khuatir Abdullah tidak akan menerima pencalonan secukupnya walaupun “dipujuk rayu secara kreatif dan pelbagai cara.”

Kini, segala-galanya terserah kepada Abdullah dan perkiraan serta percaturan politik segelintir anggota keluarganya. Jika mereka menitikberatkan kepentingan agama, bangsa dan tanahair, Abdullah pasti tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Jika, sebaliknya, UMNO terpaksalah berhadapan dengan situasi dan kemelut yang rumit dan sengit!


No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com