20081009

Hakim arah media tidak siar pertuduhan Anwar terhadap Gani

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Sesyen di sini, mengarahkan beberapa pertuduhan dalam afidavit yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Peguam Negara, Tan Seri Abdul Gani Patail tidak disiarkan dalam laporan media.

Hakim SM Komathy Suppiah memberikan arahan itu setelah membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berhubung perkara itu.

Dalam permohonan tersebut, Mohamed Yusof menyatakan afidavit yang dikemukakan Anwar dan dihujahkan peguam bela Sulaiman Abdullah dalam prosiding semalam, mengandungi beberapa eksibit yang antaranya termasuklah laporan polis dan penyataan tuntutan daripada Datuk Mat Zain Ibrahim.

“Walaupun semua hujahan yang berlaku dalam mahkamah ini berlangsung secara terbuka (open court) dan ia boleh ditulis atau dilaporkan, tetapi ingin dinyatakan bahawa hujah berkenaan afidavit yang turut mengandungi beberapa eksibit adalah bersifat ‘hearsay’ (dengar cakap). Oleh itu, semua eksibit yang dihujahkan tadi (oleh peguam bela Anwar, Sulaiman Abdullah) tidak dikira sebagai dokumen awam.

“Dengan itu, pihak pendakwaan mohon agar laporan atas hujahan pembelaan berhubung eksibit dan penyataan tuntutan yang terkandung dalam afidavit (yang diikrarkan Anwar) tidak disiarkan dalam media,” katanya yang turut dibantu Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat dan Shamsul Sulaiman.

Terdahulu, prosiding yang ditetapkan untuk mendengar hujahan lanjut pihak pembelaan berhubung bantahan kesahihan sijil perakuan yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pihak pendakwaan turut menyerahkan surat jawapan yang diterima daripada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Kompleks Mahkamah Jalan Duta atas permohonan semakan yang telah difailkan Mohamed Yusof melalui surat bertarikh 7 Oktober 2008.

Dalam surat berkenaan, pihak pendakwaan dimaklumkan bahawa semakan di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (Komathy) berhubung isu untuk memindahkan kes liwat yang dihadapi Ahli Parlimen Permatang Pauh terbabit, tidak harus dibuat pada peringkat ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menyatakan demikian setelah meneliti surat permohonan yang dikemukakan Mohamed Yusof, kelmarin.

Mohamad Zabidin berpendapat, Hakim Mahkamah Sesyen harus diberi peluang untuk mendengar dan memutuskan merit bantahan awal pihak pembelaan sebelum sebarang tindakan semakan patut dibuat. Justeru itu, pendengaran atas merit bantahan awal pihak pembelaan harus diteruskan di Mahkamah Sesyen.

Sulaiman yang mengetuai barisan pembelaan turut dibantu Sankara N Nair, Leela Jesuthasan, Edmud Bon, Mohd Radzlan Jalaludin, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad dan Latheefa Koya. Komathy kemudian menetapkan prosiding bersambung pagi ini.

Terdahulu, Anwar yang juga merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun 2008 antara jam 3.01 dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium No.99, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan atas tuduhan ini, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Anwar melahirkan rasa kecewa terhadap arahan yang dikeluarkan Komathy dan menyifatkan tindakan Mohamed Yusof yang menghalang liputan berita sebagai mengulangi tindakan pihak pendakwaan 10 tahun lalu.

“Saya tidak bersetuju kerana dokumen itu sudah menjadi dokumen awam. Dokumen Mat Zain telah dihantar kepada saya. Itu jadi hak saya dan telah diedarkan.

“Pihak media seharusnya diberi hak untuk menulis berikutan ia adalah dokumen awam dan masyarakat mempunyai hak untuk mengetahui perkara tersebut,” tambahnya.

Selain itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menegaskan, pendakwaan terhadapnya telah tercemar berikutan penglibatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Pendakwaan yang melibatkan Abdul Gani tidak akan memberi jaminan keadilan dan ini diperkuatkan dengan hujah apa yang berlaku, taktik kotor yang memalsukan dan mereka-reka fakta baru yang berlaku sejak 10 tahun lalu,” katanya dan menambah akan terus melawan pada setiap peringkat di mahkamah.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com