20081009

Bimbang politik wang berleluasa :: Ku Li

KUANTAN – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menyatakan kebimbangannya mengenai politik wang yang semakin berleluasa terutamanya menjelang pemilihan UMNO bahagian yang bermula hari ini.

Beliau yang ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, ada pihak yang memberitahunya duit pada masa ini mencurah-curah di banyak tempat dan ada pemimpin UMNO mengakui ia berlaku.

Kata beliau, ada juga di kalangan pemimpin UMNO yang berkuasa mengugut ahli-ahli UMNO yang tidak menyokong mereka dan ini semua tidak menimbulkan suasana yang baik serta tidak boleh menjamin keadilan dan pemilihan secara bebas.

Tengku Razaleigh harap keadaan ini tidak akan berterusan apabila perwakilan bahagian mengadakan mesyuarat-mesyuaratnya untuk menentukan masa depan parti kita dan negara ini.

“Memang kita terima banyak aduan bermula dengan salah guna duit kerajaan, dalam mana ketua-ketua cawangan dihimpunkan di Kuala Lumpur untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin besar kita dan dalam pertemuan itu ada mendakwa pemimpin-pemimpin cawangan yang dibawa ke Kuala Lumpur bukan sahaja dibiayai perbelanjaan tempat tinggal, makanan dan pengangkutan tetapi juga diberi wang saku.

“Aduan dibuat kepada BPR oleh sesetengah pemimpin-pemimpin yang prihatin tentang soal ini dan ia sememangnya melanggar kod etika perlembagaan parti,” katanya semalam.

Tengku Razaleigh juga menegaskan amalan tersebut bukan sahaja melanggar kod etika parti, tetapi perbuatan itu telah tidak melayakkan seseorang yang menawarkan diri untuk bertanding hilang kelayakan untuk bertanding dan Jawatankuasa Disiplin Parti perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang sudah didakwa.

Ditanya mengenai peralihan kuasa Presiden kepada Timbalannya, Tengku Razaleigh menegaskan beliau tidak mengiktiraf peralihan kuasa tersebut dan ia bertentangan dengan perlembagaan parti kerana perlembagaan parti tidak ada peralihan kuasa atau rancangan memindahkan kuasa daripada seseorang pemimpin kepada pemimpin yang lain.

“Yang ditentukan perlembagaan parti ialah di dalam mesyuarat-mesyuarat tahunan di semua peringkat di mana ahli-ahli diberi kuasa memilih menerusi perwakilan yang dilantik dan sebarang perkara yang dibuat di luar perlembagaan parti adalah tidak sah,” katanya.

Pada sidang media itu juga, Tengku Razaleigh tidak menafikan bahawa beliau ada berjumpa dengan pemimpin-pemimpin pembangkang seperti yang digembar-gemburkan sejak kebelakangan ini.

“Saya berkawan rapat dengan mereka mengikut amalan demokrasi dalam negara dan tak semestinya orang dari parti pembangkang perlu berjauhan dengan kita kerana sekiranya mereka dapat bekerjasama dengan kita banyak masalah rakyat dapat diselesaikan bersama dan itu digalakkan dalam demokrasi.

“Perjumpaan saya dengan parti-parti pembangkang bukan berlaku sehari dua atau setahun, tetapi ia sudah berlaku sejak di zaman Tun Abdul Razak lagi sebagai usaha untuk kita menubuhkan Barisan Nasional dan kerajaan campuran di Kelantan. Saya antara yang ditugaskan untuk berjumpa dengan mereka dan ia membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan negara,” katanya.

Tengku Razaleigh yang menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Parti yakin beliau akan menerima pencalonan yang mencukupi dan berharap sokongan daripada perwakilan di peringkat cawangan dan akar umbi mampu membantu hasratnya untuk merebut jawatan tersebut.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com