PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau gembira apabila jangkaannya bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan berundur sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, adalah silap.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau terperanjat apabila mendengar pengumuman Abdullah semalam bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dan akan melepaskan teraju kepimpinan negara.
“Saya gembira kerana UMNO akan dapat dibina semula,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Dr Mahathir, yang selama ini begitu lantang meminta Abdullah berundur sejak pilihan raya umum 8 Mac lepas berkata, beliau berharap Abdullah tidak akan mengenakan sebarang sekatan dan halangan dalam tempoh peralihan kepimpinan itu.
Menjawab soalan sama ada beliau akan kembali menganggotai UMNO selepas Mac tahun depan, Dr Mahathir berkata, beliau akan berbuat demikian dengan syarat mereka yang meninggalkan parti itu bersama beliau, turut diterima semula.
Ditanya apakah yang perlu dilakukan oleh Abdullah mulai sekarang hingga Mac tahun depan, Dr Mahathir berkata: “Diam.”
Diminta mengulas tentang Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin yang berkemungkinan menjadi Perdana Menteri selepas ini, Dr Mahathir berkata, beliau tidak tertarik dengan prestasi Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang.
Beliau menyifatkan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri yang tidak cekap kerana tidak mempunyai pendirian sendiri dan sering mengikut nasihat Abdullah dan oleh itu, Najib perlu membuat perubahan apabila mengambil alih teraju kepimpinan negara kelak.
Mengenai orang yang berkemungkinan menjadi timbalan Najib, Dr Mahathir berkata, ia sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pesaing lain yang ada sekarang bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden UMNO hanyalah 'pak lawak' semata-mata. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment