20081009

Laluan Tengku Razaleigh Makin Cerah

Image

Sekiranya benar Ralzaeigh kini sudah memiliki 40 bahagian bakal mencalonkan beiau, angka itu akan bertambah sehingga 60 atau 70 bahagian apabila sekurang-kurang 25 hingga 30 bahagian yang setia atau bersimpati dengan Abdullah akan berubah angin kepada Razaleigh. Ini pun sekiranya Abdullah memberi restu.

ANTARA KITA

Oleh MOHD SAYUTI OMAR

DENAI atau laluan untuk bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menempatkan dirinya sebaga calon Presiden Umno nampaknya semakin hari semakin terang. Kalau peringkat awal dulu ura-ura Tengku Razaleigh itu di lihat sebagai satu impian tidak bertepi, namun kini ia semakin serius dan tidak boleh di pandangan ringan lagi. Bahawa Razaleigh tidak main-main dan berusaha keras bagi memastikan pencalonannya mencukupi.

Tahun 1987 beliau hampir-hampir menang apabila kalah dengan 53 undi di tangan Mahathir Mohamad dalam pertandingan sengit untuk jawatan nombor satu dalam Umno itu. Manakala dalam tahun 2004 beliau tidak cukup pencalonan untuk berhadapan dengan Abdullah. Kali ini nampaknya harapan ahli Parlimen Gua Musang itu bagi mencuba nasib untuk kali terakhir agak terserlah.

Sudah ada sedikit cahaya di hujung terowong. Ini berikutan perkembangan semasa yang berlaku dalam Umno telah membuka ruang itu kepada Razaleigh. Permasalahan yang dihadapi Abdullah Ahmad Badawi di ancam dan dikhianati oleh timbalannya Mohd Najib Razak membawa dimensi baru dan memberi rezeki buat Razaleigh.

Barang kali inilah dikatakan politik. Ia berkembang mengikut keadaan dan tidak mudah untuk di duga dan di telah. Dalam politik panasnya sering kali tidak sampai ke petang dan suasananya terubah dengan hanya hujan sekali saja. Sesungguhnya tidak ada perkara mustahil dalam politik!

Mohd Najib yang sebelum ini di lihat sebagai tidak suka melawan taukeh kini sudah bertukar arah dan melangkau batas tradisi dan kesopanannya – play save apabila tidak bersedia untuk terus bersetia dengan Abdullah dan enggan menumpahkan simpati lagi.

Orang ramai masih ingat kenyataan Mohd Najib sebaik di lantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. "Saya tidak akan menikam dari belakang...". Itulah kata-kata yang keluar dari mulutnya. Kenyataan Mohd Najib itu di kira sindiran kepada aksi politik Anwar Ibrahim terhadap Mahathir sebelum itu dan sekaligus bagi menunjukkan kesopanan politiknya (Mohd Najib) kepada Abdullah.

Mulanya ramai orang percaya dan yakin dengan kata-kata Mohd Najib itu. Kerana sejarah Mohd Najib tidak pernah berlawan dengan sesiapa. Beliau mendapat jawatan semuanya menerusi talam emas yang terhidang percuma.

Jawatan Ketua Pemuda Pemuda Umno, Mohd Najib perolehi secara percuma apabila Anwar melepaskannya untuk bertanding Naib Presiden. Demikian juga dengan jawatan Naib Presien Umno, Mohd Najib tidak menghadapi jalan berliku. Team wawasan yang disertanya dan diketuai Anwar membawa kemenangan mudah dan cemerlang.

Begitu juga jawatan Timbalan Presiden Umno diperolehi secara percuma apabila Abdullah berganjak ke atas. Tidak ada sesiapa yang mencabar Mohd Najib untuk jawatan itu. Abdullah dengan kuasa presidenya telah melindungi dengan penuh hormat Mohd Najib.

Kenyataan dan jaminan mulut Mohd Najib itu telah dijadikan azimat oleh Abdullah untuk mempercayai timbalannya itu. Beliau tidak mengsyaki apa-apa dan menerima kenyataan Mohd Najib itu sebagai suara seorang anak kepada bapanya. Justeru Abdullah melayan dan memberi ruang cukup luas kepada Mohd Najib. Beliau juga menyerahkan kepada Mohd Najib untuk menguruskan Felda dan mempercayai Mohd Najib mempengerusikan 13 jawatankuasa peringkat Kabinet.

Abdullah tidak hirau langsung apa yang Mohd Najib lakukan di balik tabir hatta kerja-kerja untuk memandulkan kerajaannya.

Apa yang diperolehi Mohd Najib sesuatu yang besar. Kerana itu ada orang beranggapan mengatakan apa yang diserahkan kepada Mohd Najib itu ialah bukan kerana keilkhlasan Abdullah untuk memberi pengalaman kepada Mohd Najib sebagai penggantinya, tetapi kerana Abdullah sendiri tidak mampu untuk menguruskannya sendiri. Abdullah di lihat pemimpin yang lemah dan kurang pengetahuan dalam urusan pentadbiran banyak hal.

Kepercayaan dan kebaikan Abdullah rupanya dieksploitasi oleh Mohd Najib. Dalam Abdullah tekun berkerja untuk membela rakyat dalam senyap Mohd Najib menerusi proksinya membuat kerja –kerja lain. Perkara ini mengejutkan Abdullah kerana sikap dan tindakan Mohd Najib menyalahi daripada tanggapan beliau sebelum ini.

Tidak payah mencari siapa yang mengajar Mohd Najib jadi begitu dan mengubah kesoponan dan menyelak ghairah dengan kerjayanya! Kerana beliau di ajar ataupun di beri semangat agar melawan dan menentang Abdullah itu menyebabkan Mohd Najib terjadi demikian. Lupa daratan! Mohd Najib pula terlupa di sebalik lunak menerima arahan dan tunjuk ajar itu dia diperalat. Bimbangan (nasihat) serta semangat yang di suntik itu telah merosakkan perpaduan dalam Umno.

Perkembangan atau senario itulah yang membuka ruang baru dalam gelanggang Umno kini. Hari ini Mohd Najib sudah tidak ada pilihan lain selain terpaksa melawan dan merempuh Abdullah. Samada Abdullah mengumumkan untuk bertanding atau tidak jawatan presiden, Mohd Najib kena bersiap ke arah itu.

Tindakan Mohd Najib itu katanya benar-benar mengecewakan Abdullah. Perdana Menteri itu tidak sangka sama sekali bahawa Mohd Najib telah memungkiri sumpah dan janjinya sendiri. Keadaan inilah kini yang telah mengorbitkan ruang dan dimensi baru di dalam Umno dan sekaligus membuka jalan terang kepada Tengku Razaleigh. Bolehlah disifatkan permasalahan Abdullah dengan Mohd Najib menguntungkan sedikit bagi pihak Razaleigh.

Kekecewaan Abdullah terhadap Mohd Najib akan di tangguk oleh Razaleigh. Tidak mustahil sekiranya Abdullah tidak bertanding pencalonan yang akan diperuntukan kepadanya nanti akan beralih kepada Razaleigh. Adalah terlalu baik kalau hendak dikatakan Abdullah tetap memberi sokongan kepada Mohd Najib sedangkan beliau tidak dihormati oleh timbalannya itu lagi.

Perkembangan dan situasi inilah di lihat bakal memberi peluang kepada Razaleigh. Abdullah mungkin akan melepaskan Razaliegh untuk berhadapan dengan Mohd Najib. Walaupun kemenangan Razaleigh tidak akan memulihkan kedudukannya, sekurang-kurang beliau akan merasa terbela atas perbuatan Mohd Najib.

Dalam hitungan ini yang pastinya dengan keadaan terkini menyebabkan Razaleigh yang naif untuk mendapat pencalonan akan memperolehi pencalonan bagi melayakkan beliau bertanding jawatan presiden. Razaleigh sendiri sudah mengatakan beliau tetap akan mencuba ke jawatan itu tanpa mengira siapa regunya.

Sekiranya benar Ralzaeigh kini sudah memiliki 40 bahagian bakal mencalonkan beiau, angka itu akan bertambah sehingga 60 atau 70 bahagian apabila sekurang-kurang 25 hingga 30 bahagian yang setia atau bersimpati dengan Abdullah akan berubah angin kepada Razaleigh. Ini pun sekiranya Abdullah memberi restu.

Jika ini menjadi kenyataan pertandingan Mohd Najib – Razaleigh adalah menarik. Dengan kedudukan pencalonan dari bahagian; 65:120 pertandingan itu kelak akan mengulangi peristiwa 1987. Apa lagi kombinasi kini seperti akan berlaku antara Razaleigh-Abdullah dengan Mohd Najib-Mahathir!

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com