Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat di ibu negara malam ini, dipercayai untuk membincangkan opsyen-opsyen baru bagi merealisasikan usaha membentuk kerajaan baru persekutuan.
Mesyuarat itu, yang diadakan kurang seminggu sebelum Dewan Rakyat bersidang, berlangsung di kediaman Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertemuan itu dihadiri oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar.
mStar Online dimaklumkan, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, dipercayai mengenai isu yang sama.
Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS telah meletakkan sasaran 16 September lalu untuk mengambil alih kerajaan pusat dengan membawa masuk ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini Anwar mendakwa mempunyai bilangan wakil rakyat BN yang mencukupi untuk tujuan tersebut tetapi tidak membentuk kerajaan pada tarikh tersebut.
Pada 16 September lalu, Anwar berkata, pemimpin Pakatan Rakyat mahu menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan membincangkan peralihan kerajaan secara aman dan lancar.
Permintaan itu telah ditolak. Malah permintaan Pakatan Rakyat supaya sidang khas Parlimen pada 23 September juga ditolak Abdullah.
Tengah hari tadi, Anwar ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkata, beliau akan menemui pemimpin-pemimpin malam ini bagi membincangkan beberapa strategi baru termasuk membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Pada Isnin ini Anwar selaku Ketua Pembangkang akan membahaskan Bajet 2009.
Dalam pada itu, Dewan Rakyat belum menerima sebarang usul undi tidak percaya, yang luas diperkatakan ketika sesi sidang Parlimen lalu.
mStar Online difahamkan, sehingga semalam Parlimen tidak menerima sebarang usul daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang.
"Tak ada apa-apa usul yang cuba dibawa setakat sekarang. Saya fikir ada usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri, mungkin tak timbul lagi sekarang," kata sumber.
Bagaimanapun katanya jika pihak pembangkang ingin membawa usul undi tidak percaya seperti mana yang dihebohkan, mereka boleh berbuat demikian sehari sebelum Parlimen bersidang.
http://mt.m2day.org
No comments:
Post a Comment