Di alkesahkan maka orang-orang kampung pun berkumpulah untuk melihat dan melangok. Maka gendang pun di palu dan canang di pukul. Ada yang mencangkung ada yang berdiri melihat gelagat segala peri.
DARI JELEBU
Hishamuddin Rais
Ketua cawangan naik proton
Ketua bahagian naik wira
Kontrektor kelas f naik honda
Putera datang naik tongkang
Puteri datang membawa kangkang
Para yb naik mercedes
Menteri datang takut muflis
Datang berkumpul bukan menangis
Dolah berundur amatlah trajis
Mereka datang berkumpul untuk melihat muka Dolah kali terakhir sebagai Perdana Menteri Malaysia, sebagai Presiden United Malays National Organisation dan sebagai Pengerusi Barisan Nasional.
Mari mendengar surah saya tentang apa yang berlalu lima tahun dahulu.
Ketika Mahathir Muhamad meletakan jawatan, saya masih berada di kem tahanan Kamunting. Berita tangisan Mahathir saya sambut dengan ketawa terbahak-bahak. Gambar Mahathir menangis di Perhimpunan Agung itu amat lucu sekali. Sampai sekarang saya tidak dapat melupakan kasut Rafidah yang terpatah kerana hendak mengejar dan mencium lutut Mahathir. Semenjak hari itu Dolah telah mula memasang badan sebagai Perdana Menteri
Pada maklam saya hendak di hantar ke Kamunting ( June 2001) – surat arahan tahanan – telah di tanda tangani oleh Abdullah Ahmad Badawi kerana ketika itu dia menjawat Menteri Dalam Negeri. Pernah wartawan bertanya kepada Abdullah tentang 10 Reformis yang di tahan di bawah ISA. Dolah telah menjawab “…saya tidak tahu….”
Di Kamunting, apabila saya mendengar ‘ saya tidak tahu’ dari Dolah Badawi maka terlintas juga di kepala saya mungkin si Mamat ini seorang jantan politik yang licik. Dapat mengelak soalan dari para wartawan.
Apabila saya dibebaskan dua tahun kemudian saya telah mementaskan teater Tok Sloo dan Bilik Sulit. Bilik Sulit ialah tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri/ISA. Manakala Tok Sloo adalah teater komidi. Dua buah drama ini telah dibawa keliling Semenanjung untuk dipertontonkan kecuali di Perlis.
Tok Sloo memecahkan perut saya sendiri. Saya menulis watak Tok Sloo berdasarkan watak Abdullah Ahmad Badawi dan orang-orang disekelilingnya. Dolah pada ketika teater ini ditulis baru sahaja menjadi Perdana Menteri. Scomi – syarikat milik Kamaluddin anaknya - masih belum heboh dan masih belum glamour lagi. Penjenayah bom nuklear A.B. Tahir belum menjadi hiasan muka depan majalah Times. Khairy Jamaluddin baru selesai bersunat politik kerana dapat kahwin dengan Nori. Kak Endon masih hidup. Kalimullah masih belum kaya raya. Moonsoon Cup dan Jackie Chan belum pernah sampai ke Seberang Takir.
Selesai pementasan keliling di Semenanjung saya telah bertemu dengan seorang kawan lama saya – Cik Gu Hashim dari Perlis. Kami bersembang di sebuah warong pokok ketapang di hadapan pejabat MalaysiaKini Bangsar Utama. Sambil ketawa sambil kami berlabun tentang siasah semasa.
Akhirnya sampai kepada watak Tok Sloo. Kami ketawa berdekah-dekah. Akhirnya kawan saya ini memberi satu nasiha “… kamu janganlah lawan Dolah Badawi ini…..kalau kamu tulis keras sangat tetang dia… macam kamu lawan orang cacat…..” Inilah kata-kata yang membuatkan saya terbarai ketawa hingga ke hari ini.
Bila saya duduk bersendirian di hadapan komputer dan ingin menulis sesuatu tentang Abdullah Badawi maka saya teringat pesanan kawan saya itu. Apabila saya perhatikan gerak dan tingkah laku politik Dolah maka saya cukup yakin bahawa susuk yang bernama Abdullah Ahmad Badawi ini adalah ‘orang cacat’ dari segi pemahaman politik.
Akhirnya saya menarik diri dari me‘lampoon’ Dolah. Saya rasakan cukup tidak adil jika saya terus menulis tentang manusia ‘cacat’ ini. Saya rasa macam saya bergaduh dengan kanak-kanak.
Dari awal lagi saya telah menulis bahawa Abdullah Badawi ini adalah Perdana Menteri ‘fluke/acidental’ – atau PM yang tidak tersengaja. Dolah Badawi tidak memiliki ciri dan pola-pola yang boleh dinobatkan sebagai pemimpin negara. Dolah di jadikan Perdana Menteri hasil perancangan licik Mahathir Muhamad.
Mahathir Muhamad tidak salah pilih, dia sengaja memilih ‘si cacat’ ini agar dia sendiri akan menjadi Pak Dalang dibelakang tabir. Hanya satu silap Mahathir, dia kurang sedar ada ramai dalang-dalang lain – Khairy, Kamaludin, Kak Endon dan Kalimullah - yang telah juga bersiap sedia untuk menjadi Pak Dalang kepada si Dolah.
Pada tahun pertama Dolah sebagai PM, cerita mula tersebar bagaimana Dolah ini suka tidur ketika bekerja atau dalam mesyuarat. Pada awalnya saya rasa ini hanyalah kempen ‘hitam’ oleh musuh-musuh Dolah dalam United Malays National Organisation. Tetapi apabila gambar demi gambar mula muncul memperlihatkan ‘Dolah Tidur’ maka saya yakin ‘kecacatan’ Dolah ini tidak mungkin dapat di perbaiki.
Teman-teman sekolah saya yang menjadi ahli perniagaan mula bercerita betapa Dolah tidak memilki keupayaan untuk mendengar taklimat projek-projek yang cuba dibangunkan. Dolah tidak memiliki daya fikir yang lampan dan luas. Saya juga difahamkan si Dolah ini tidak membaca dan tidak memiliki daya fikir yang dapat melihat dengan jauh dan dengan terperinci.
Pilihanraya 2004 Dolah telah di beri mandat besar tetapi Dolah kurang arif untuk memahami makna mandat itu. Semua perancangan yang di rancangnya tinggal terbengkalai setengah jalan. Dolah mengajukan Islam Hadari, tetapi saya juga was was apakah Dolah sendiri memahami konsep yang diajukan itu.
Para kroni, anak dan menantu Dolah makin naik tocang. Mereka membedal dan membelasah apa sahaja dana negara yang boleh mereka sebat. Dolah sebenarnya tidak memahami satu pun teori ekonomi, jauh sekali untuk mehazam pergolakan politik global.
Dolah bukan seorang insan yang jahat, ganas dan licik seperti Mahathir Muhamad. Dolah tidak memiliki sifat membunuh seteru politiknya. Dolah ini seorang yang warak dan berperangai baik. Dolah seorang ritualis agama. Kalau di kampung saya di Jelebu. Dolah ini akan dilantik sebagai Tok Siak. Sekali sekala kalau Tok Imam masjid demam mungkin dia akan dibenarkan mengepalai sembahyang.
Dalam adat Perpatih di Jelebu Dolah ini tidak akan duduk di anjung rumah bersama kepala adat. Dia akan duduk di tepi pintu untuk mengangkat dulang dan cawan. Kalau di penanggah di kampung saya Dolah ini akan menjadi pengacau beras di kawah ketika kenduri kendara - tidak lebih dari itu.
Akhirnya Dolah betul-betul menjadi watak Tok Sloo. Ada kesedihan juga dalam hati saya apabila Dolah berundur. Saya sedih dan kasihan melihat Dolah yang ‘cacat’ di tibai Muhyidin yang menjadi barua Mahathir Muhamad. Dolah terkapai-kapai hilang nafas. Penasihat politik Dolah hanyalah budak yang baru bersunat politik – tidak dapat melakukan apa-apa selain dari meminta tanda tangan akhir dari Dolah untuk projek-projek skim cepat kaya.
Apakah agaknuya yang akan kita ingati tentang Abdullah Ahmad Badawi sepuluh tahun dari hari ini?
Mungkin kita akan teringat tentang Dolah yang suka tidur. Atau Dolah bapak mentua Kj. Atau Dolah yang cuba membuka ruang demokrasi di Malaysia tetapi telah di gagalkan oleh Mahafiraun kerana Mahafiraun telah menyediakan budak suruhannya yang akan bersumpah bersetia agar tidak di hantar ke Mogolia untuk menjadi duta.
Hari-hari akhir seorang dolah sampai
Kamal datang dengan scomi
Kj datang dengan nori
Kali datang dengan air asia
Jean datang dengan kain tudung baru
A.B. Tahir datang memakai topeng
Saat akhir akan berlalu
Mereka amat bersedih dan terharu
Dolah terlupa memakai celana dan sepatu
Maka demikianlah berakhir kesah Tok Sloo
Untuk dijadikan tauladan dan sempadan
Dari anak kepada cucu dari cicit pada menantu
Untuk jadi ingat-ingatan sepanjang zaman
No comments:
Post a Comment