20081006

Mengapa 2 pengikut setia Abdullah berminat cabar Muhyiddin?

A Kadir Jasin

RAMAI pembahas mencadangkan agar saya mengulas mengenai pertandingan Majlis Tertinggi Umno yang ditangguhkan daripada Disember kepada Mac ini.

Memikirkan hal itu, ingatan saya kembali ke zaman muda saya - zaman rock-n-roll, limbo rock dan kungfu fighting.

Dalam pertandingan sukan, palang ada dua kegunaan. Tetapi umum lebih biasa dengan palang sebagai halangan lompat tinggi dan lompat bergalah. Lagi tinggi ahli sukan itu boleh lompat, lagi baguslah dia.

Bagi mereka yang hidup atau menjadi remaja pada era awal rock-n-roll, palang mempunyai makna berlainan kerana dalam lagu (dan tarian) limbo rock oleh Chubby Checker, kita dikehendaki melepasi bawah palang dan bukan atas palang.

Kita terpaksa lentokkan badan kita ke belakang dengan dada kita menghala ke langit dan cuba menari di bawah palang. Siapa yang boleh melepasi palang di paras paling rendah, dia menang.

Dalam politik Umno era Abdullah Ahmad Badawi, palang telah direndahkan. Maka ramailah yang sebelum itu gagal melepasinya, berjaya dengan cemerlang seperti yang dimanifestasikan oleh keputusan pemilihan Majlis Tertinggi 2004.

Tetapi kalau palang yang direndahkan oleh Abdullah itu digunakan untuk pertandingan limbo rock (limbo lower now, limbo lower now, how low can you go?), saya yakin barisan kepemimpinan Umno akan terdiri daripada mereka yang cergas tubuh badan dan cerdas fikiran. Kita sering diingatkan bahawa dalam badan yang cergas itulah terletak otak yang cerdas.

Kemelut pertandingan limbo rock menjadi pertandingan lompat tinggi ini dikhuatiri akan menjadi lebih teruk dan lucu pada pemilihan Umno Mac ini jika ahli Umno tidak diberikan kebebasan atau jika mereka boleh terus digula-gulakan dan disogok dengan wang, kontrak, kain pelekat, sejadah dan lawatan ke Siam.

Namun nampaknya ada sedikit bayangan cahaya di hujung terowong. Kalau pada tahun 2004, Abdullah dan Mohd Najib Abdul Razak menjadi Presiden dan Timbalan Presiden tanpa bertanding, kali ini nampaknya kedua-dua jawatan itu akan ada pencabar.

Ahli Parlimen Gua Musang, bekas Menteri Kewangan dan bekas Naib Presiden Tengku Razaleigh Hamzah sudah pun menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden manakala Muhyiddin Yassin bersedia dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Tahniah dan terima kasih kepada Ku Li dan Muhyiddin. Nampaknya keberanian mereka telah memberi semangat dan menyembuhkan penyakit "koro" (sindrom di mana kemaluan menyusup masuk ke dalam badan) beberapa pembesar Umno.

Saya sengaja menggunakan istilah "nampaknya" kerana saya tidak mampu memastikan sama ada mereka ini benar-benar telah pulih semangat dan sembuh daripada penyakit koro atau "dipaksa" untuk tunjuk berani.

Zahid Akan Tanding Timbalan?

Dalam rencana bertajuk "Race for Umno deputy president no longer restricted" (The Star, 4 Oktober) penulis politik Joceline Tan berkata, ahli Majlis Tertinggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.

(Tan melabelkan Zahid sebagai "likeable" (mudah disukai atau didekati).

Tan berkata, bekas Menteri Besar Selangor yang bersara akibat tangkapan di Australia pada tahun 1996 kerana gagal mengisytiharkan wang tunai sebanyak RM2.4 juta, Muhammad Muhammad Taib juga sedang berusaha mendapatkan pencalonan.

Soalnya, mengapakah dua orang pengikut setia Abdullah ini tiba-tiba berminat mencabar Muhyiddin?

Kalau tujuan mereka adalah untuk memberi peluang kepada bahagian dan perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan, saya sokong.

Tetapi ada tanda-tanda bahawa cabaran ini besar kemungkinan ada kena mengena dengan kritikan Muhyiddin terhadap Abdullah.

Umum maklum bahawa Zahid dan Muhammad amat berterima kasih kepada Abdullah kerana memberikan tempat yang tinggi kepada mereka dalam kerajaan dan dengan itu membantu meneruskan proses pemulihan mereka.

Kerjaya politik Muhammad terbantut akibat kes wang tunai di Australia serta perkahwinan dan perceraian sensasi dengan puteri Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah pada tahun 1990an.

(Dia bebas daripada tuduhan di Australia atas alasan tidak faham notis dalam bahasa Inggeris yang mewajibkan wang sebanyak itu diisytiharkan).

Dalam era global ini, sewajarnyalah seorang yang ingin memimpin Malaysia menguasai bahasa Inggeris secukupnya selain pakar dalam bahasa Melayu dan kata Ibnu Khaldun, seseorang pemimpin hendaklah tidak terlalu kaya kerana kekayaannya itu boleh menjadi beban.

Begitu juga Zahid. Dia adalah antara watak utama yang terpaksa memilih antara kekal dalam Umno atau menyertai Anwar pada tahun 1998 kerana dia adalah antara penyokong tegar Anwar.

Zahid memilih untuk kekal dalam Umno dan dengan itu mengekalkan kepentingan (kekayaan) korporatnya yang bernilai ratusan juta ringgit.

Cerita soal-jawab belakang tabir antara Zahid dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Perdana Menteri) mengenai "kekayaan" beliau bukanlah rahsia lagi.

Zahid Cabar Najib?

Soalnya, Zahid juga rapat dengan Mohd Najib. Jadi apakah dia bersedia mencabar Mohd Najib kerana buat masa ini, Mohd Najib kekal Timbalan Presiden?

Mohd Najib belum menyatakan sebarang pendirian mengenai jawatan Presiden melainkan dalam masa beberapa hari ini Abdullah mengumumkan yang dia tidak akan mempertahankan jawatan itu.

Sekalipun Abdullah mengundurkan diri, belum tentu Mohd Najib akan mendapat jawatan Presiden tanpa bertanding melainkan Tengku Razaleigh menarik diri atau dia gagal mendapat pencalonan minimum 58 daripada bahagian.

Andaiannya ialah harapan Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden lebih cerah kalau Abdullah masih mempertahankannya.

Tetapi kalau Abdullah mengundurkan diri dan Mohd Najib mengambil alih, harapan beliau memperoleh pencalonan yang mencukupi menjadi lebih tipis.

Exco Yang Tewas

Sabtu lalu saya berpeluang berbincang dengan seorang bekas Exco Selangor yang tewas pada pilihan raya 8 Mac lalu. Dia masih ketua bahagian dan akan merasmikan mesyuarat agung tahunan bahagiannya.

Saya katakan kepada beliau begini: Kalau Umno masih relevan dan hendak dipulihkan, para pembesar yang ingin memimpinnya dan orang Melayu yang masih mahu menjadi ahli atau menyokongnya perlu memikirkan hal-hal berikut:

1. Kembali kepada sejarah dan perjuangan serta hormati veteran parti dan gunakan pengalaman dan pengaruh mereka; dan

2. Kepemimpinan di semua peringkat wajib menggabungkan orang lama yang berpengalaman dengan generasi muda yang berdedikasi dan ikhlas; dan

3. Kembali kepada akar umbi untuk mendapatkan maklum balas dan dampingi generasi muda dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun.

Bagi ahli pula, mereka tidak boleh terus pasif dan hanya bersungut di kedai kopi. Mereka wajib merangka "manifesto" mereka sendiri dan sampaikan kepada kepemimpinan melalui dialog, surat, e-mel, SMS, surat kepada pengarang, blog dan apa jua jalan yang ada.

Buat permulaan, mereka perlu mengingatkan para pembesar Umno iaitu kepemimpinan (leadership) adalah untuk semua dan bukan sekali-kali untuk isteri, anak, menantu dan konco-konco. Kita pilih pemimpin. Kita tidak pernah pilih isteri, anak, menantu dan konco-konco mereka.

Dalam konteks ini, keputusan pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri sama pentingnya dalam menentukan kelangsungan (survival) Umno. -kadirjasin.blogspot.com_

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com