20081003

UPDATE: KUOTA PENCALONAN AKAN DIMANSUH, PERWAKILAN BAHAGIAN AKAN DITUNDA....

Maklumat yang baru saya terima mengesahkan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memang akan mencadangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi menundakan persidangan perwakilan UMNO bahagian daripada 9 Oktober 2008 kepada Februari 2009.

Abdullah juga dijangka merujuk kepada MT UMNO untuk mengadakan satu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas bagi memansuhkan kuota yang dikenakan kepada sesiapa yang berhasrat bertanding jawatan tertinggi dalam parti di peringkat bahagian dan pusat, termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan ahli MT.

Usaha ini membuktikan bahawa Abdullah akan meneruskan niatnya mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Tetapi, oleh kerana tidak yakin memperolehi kuota pencalonan yang diperlukan, iaitu 58 pencalonan daripada bahagian bagi jawatan Presiden, Abdullah pula berusaha untuk memansuhkan kuota itu menerusi PAU Khas.

Pembatalan kuota ini, jika dipersetujui oleh PAU Khas, akan menimbulkan anamoli kepada warga UMNO yang bertanding jawatan di peringkat bahagian.

Oleh kerana persidangan cawangan UMNO di seluruh negara sudah berakhir baru-baru ini, dan mereka yang akan bertanding di peringkat bahagian sudah pun diketahui, maka adakah MT UMNO juga akan memutuskan supaya pertandingan di peringkat bahagian tidak akan terikat dengan sistem kuota?

Bagaimanapun, tafsirlah sendiri apakah erti dan implikasi kepada semua tindakan ini. Dan, bayangkanlah sendiri bagaimana bercelarunya keadaan berikutan perkembangan ini.

Akhir sekali, mungkinkah MT UMNO akan akur kepada saranan Abdullah untuk menundakan persidangan perwakilan bahagian kepada Februari 2009 di samping mengadakan PAU Khas untuk memansuhkan kuota berkenaan? Kita tunggu dan lihat apakah kesudahannya tidak lama lagi! – Ruhanie Ahmad

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com