20081009

Semoga berjaya kepada Khairy - Dr M

Abdul Aziz Mustafa, Harakah

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, mereka yang bercita-cita hendak bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti itu 2004 lalu "menerima panggilan telefon dari ahli keluarga Perdana Menteri,Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan penyokong-penyokong lain yang berpengaruh supaya jangan melakukan apa-apa" yang menjejaskan keinginan menantunya, Khairy Jamaluddin untuk memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding.

Dr Mahathir seterusnya mendakwa, pada pemilihan itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga memberi amaran kepada mereka yang berkemungkinan akan dicalonkan ke jawatan itu supaya jangan bertanding kerana jawatan itu dikhaskan untuk menantu Perdana Menteri.

Akhirnya, Khairy yang disebut oleh Dr Mahathir sebagai tidak mempunyai sebarang rekod prestasi memenangi jawatan itu.

Untuk pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno kali ini, dengan nada sinis yang dilihat menjadi kebiasaannya, bekas Presiden Umno itu menyatakan beliau begitu sedih dengan nasib Khairy yang mendakwa kononnya beliau dihalang dari menemui ahli-ahli Pemuda.

"Saya menasihatkan beliau supaya tidak merasa kecewa. Terdapat begitu banyak cara untuk mempengaruhi Pemuda selain bertemu mereka.

"Saya tidak akan menyebutkan satu persatu kerana beliau akan tahu menggunakan cara-cara lain itu," Dr Mahathir meneruskan nada sinisnya sambil menyatakan Khairy akan menang dengan mudah walaupun anaknya, Datuk Mukhriz juga akan bertanding sebagai Ketua Pemuda.

"Saya tidak tahu adakah orang pernah mendengar tentang pencuri yang menjerit-jerit 'pencuri, pencuri!'.

"Pencuri itu terlepas kerana mereka yang tidak begitu cerdik mengejar ke arah yang berlainan (kerana menyangka pencuri berada di situ). Pencuri yang berpendidikan tinggi itu terlepas begitu sahaja dengan barang curiannya.

"Saya ucapkan semoga berjaya kepada Khairy. Kamu pintar dan berbaloi menjadi graduan pintar institusi hebat, Universiti Oxford," kata Dr Mahathir lagi.

Sebelum ini, menantu Perdana Menteri itu yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno mendakwa beliau disekat daripada bertemu dengan ahli-ahli pergerakan itu.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com