KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 November untuk mendengar permohonan injunksi inter-parte (antara pihak) supaya Raja Petra Raja Kamarudin menarik balik tiga artikel dalam laman blog Malaysia Today yang didakwa memfitnah peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.
Keputusan itu dibuat di dalam kamar Hakim Datuk Tee Ah Sing semalam.
Dalam samannya, Muhammad Shafee turut memohon perintah injunksi agar Raja Petra menarik balik semua komen oleh pelawat laman blog itu yang disiarkan berhubung ketiga-tiga artikel berkenaan.
Beliau juga memohon perintah injunksi bagi menghalang Raja Petra atau ejen-ejennya daripada menyiarkan atau menyebabkan ketiga-tiga artikel tersebut disiarkan.
Selain itu, Muhammad Shafee memohon penulis laman blog itu mendedahkan sumber kepada maklumat yang terkandung dalam ketiga-tiga artikel itu dan juga identiti semua pelawat yang memberikan komen dalam tempoh tiga hari.
Peguam itu memfailkan saman terhadap Raja Petra pada 13 Ogos lalu kerana menyiarkan tiga artikel dalam laman blog Malaysia Today yang didakwa memfitnahnya.
Tiga artikel yang disiarkan pada 6, 7 dan 11 Ogos lalu bertajuk ‘Shafee Abdullah: Sodomologist Extraordinaire, Money, Power and Sex: What Motivates Man’ dan ‘The Real Dalang Behind The Anwar Sodomy Allegation’.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment