20081009

Kenapa lepas jawatan kalau tidak bersalah :: Nik Aziz

PASIR PUTEH - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempersoalkan untuk apa Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan sekiranya beliau tidak melakukan kesalahan dalam pentadbiran.

Menurut Nik Aziz, Perdana Menteri sepatutnya meminta bukti apa kesalahan yang dilakukannya sehingga timbul desakan agar dia berundur.

“Kalau dia (Pak Lah) yakin dia betul, kenapa mesti melepaskan jawatan dan kalau dia rasa dia bersalah, kenapa mesti menangguhkannya, berhenti saja dan tak perlu tangguh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah yang tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti Mac tahun depan dan melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu diumumkan Abdullah semalam selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Nik Aziz menambah, beliau pernah didesak meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar tetapi pihak yang mendesak gagal mengemukakan bukti kesalahannya sehingga orang yang mendesak ‘tersembam’ kerana tidak mendapat kepercayaan rakyat.

“Saya pernah didesak dengan begitu hebat oleh Pengerusi UMNO negeri ini agar meletakkan jawatan, saya teruskan juga kerana saya yakin saya betul dan terbukti, Pas semakin mendapat sambutan.

“Kalau saya jadi PM, saya akan minta bukti kenapa saya mesti melepaskan jawatan dan kalau terbukti saya bersalah, saya akan berhenti, buat apa nak kumpul dosa,” katanya ketika hadir pada majlis Perasmian dan Hari Terbuka Aidilfitri Baitul Taubah, Jeram Pasu dekat sini.

Bersempena dengan perasmian tersebut, Nik Aziz melepaskan anak ikan keli di kolam buatan dalam kawasan Baitul Taubah sebagai memberi peluang kepada Anak-Anak Bina di pusat rawatan penagihan dada menggunakan kaedah Islam itu berjinak-jinak dengan kerja-kerja pertanian.

No comments:

Alexa Traffic Rank

Subscribe to dunia-politik

Subscribe to dunia-politik
Powered by groups.yahoo.com